Wednesday, May 14, 2014

Muhyiddin, Hishamuddin Minta Rakyat Teerengganu Tenang hadapi Kemelut Politik

Sebilangan ahli UMNO Ajil membantah tindakan ADUN mereka keluar UMNO.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa meminta rakyat Terengganu bertenang dan bersabar dalam menghadapi kemelut politik di negeri itu.

"Insya-Allah kita akan dapat jalan yang terbaik untuk selesaikan kemelut ini," kata timbalan perdana menteri menerusi mesej Twitternya semalam.

Muhyiddin juga ialah Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN). Terengganu menjadi tumpuan susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar kelmarin, selain turut mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas bagi kerusi Kijal.

Turut mengikut jejak Ahmad ialah Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi). Roslee kini menarik balik surat keluar Umno.

Berikutan perkembangan terbaharu itu, BN kini mempunyai 15 daripada 32 kerusi DUN Terengganu, PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2). Jika dicampur kerusi Speaker, BN kini mempunyai 16 kerusi.

Berikutan peletakan jawatan Ahmad, Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu. Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Sementara itu Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu kedudukan kerajaan BN di Terengganu harus dipertahankan demi memelihara mandat yang diberi oleh rakyat kepada Umno pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

Menurutnya,Umno khususnya Umno Terengganu mempunyai cara dan pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan masalah dan konflik yang wujud.

"Pada masa sama, semua pihak harus beri ruang dan masa untuk pucuk pimpinan parti menggunakan segala saluran yang ada bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Hishammuddin berkata Ahmad Said melakukan kesilapan apabila mengambil keputusan keluar daripada parti kerana beliau sepatutnya akur dengan surat yang telah ditandatanganinya sebelum ini.

"Justeru, tidak ada sebab untuk beliau bertindak begini sehingga tergamak mencemar imej parti," katanya dan menambah Umno Terengganu perlu sentiasa matang, setia dan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan tatkala berhadapan kemelut politik ini.

Beliau berkata ketika Terengganu diperintah oleh pembangkang pada satu masa dahulu, banyak masalah rakyat tidak mampu diselesaikan dan ramai yang putus harapan.

"Oleh itu, jangan kita biarkan pisang berbuah dua kali dan rakyat berada dalam situasi sukar," kata Menteri Pertahanan dan juga pemangku Menteri Pengangkutan itu.

Hishammuddin yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu turut menyeru semua pihak agar rasional, bertindak bijak dan tidak mengambil keputusan melulu sehingga melangkaui kepentingan parti ketika berhadapan insiden terkini itu.

"Jangan terburu-buru atau melatah ketika kita berhadapan dengan ujian sebegini kerana pihak lawan sentiasa menunggu untuk mengambil kesempatan.

Sebaliknya, marilah rapatkan barisan demi parti keramat ini khususnya Umno Terengganu," katanya.

No comments:

Post a Comment