Thursday, May 29, 2014

Nur Aisyah Raih Emas Acara Ujian Masa Individu Berbasikal Lebuh Raya


Pelumba Terengganu Nur Aisyah Mohamad Zubir meraih pingat emas dalam acara ujian masa individu berbasikal lebuh raya sejauh 33.4km, kilometer di Lebuh raya Changlun-Kuala Perlis, selepas mencatat masa terpantas 53:04.314s.

Mengekori di belakang beliau ialah pelumba Pahang, Nurul Nadia Mohamad Fauzi, ketinggalan 1:52.607s dengan masa 54:56.921s dan pingat gangsa menjadi milik Siti Fatimah Ismail dari Kedah dengan catatan masa 55:04.720s.

"Saingan hari ini (semalam) agak kuat juga khususnya daripada pelumba Melaka dan Wilayah Persekutuan. Saya bertanding sepenuh tenaga untuk tunaikan harapan negeri Terengganu untuk memenangi pingat emas.

"Laluan ini saya sudahpun membiasakan diri tetapi saingan menjadi agak sukar dengan angin hadapan pada masa mula perlumbaan. Saya jadi agak penat," kata pelajar Tingkatan Lima SMK Bukit Mentok, Kemaman ini.

Menurut pelumba yang mahu berjaya seperti idolanya dalam arena berbasikal negara, Fatehah Mustafa, secara peribadi beliau menyasarkan dua pingat emas pada Sukma kali ini iaitu bagi acara ujian masa individu dan berpasukan.

Bagi acara lelaki, ia membuahkan hasil buat Ahmad Fahmi Farhan Fuat dari Pahang. Pelumba berusia 21 tahun ini pertama kali mewakili Pahang pada temasya Sukma Melaka pada 2010 tetapi hampa tanpa merangkul sebarang pingat dan hanya sekadar menduduki tangga kelima pada Sukma 2012 di Pahang.

Namun kali ini dalam acara ujian masa individu berbasikal lebuh raya sejauh 40.1 kilometer di Lebuh raya Changlun-Kuala Perlis, Ahmad Fahmi Farhan berjaya mencatat masa terpantas 55:15.699s.

Pingat perak menjadi milik Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Terengganu dengan masa 55:51.608s sementara gangsa menjadi milik pelumba Johor, Muhammad Mustazlee Ishak dengan catatan masa 56:06.142s.

"Saya memang tidak sangka yang saya akan menang pingat emas. Berlumba dalam keadaan cuaca yang panas terik serta angin yang kuat sedikit sukar, tetapi saya cuba melakukan yang terbaik.

Keadaan angin hadapan semasa menuju ke garisan penamat agak memenatkan dan kira-kira 200 meter sebelum sampai, angin bertambah kuat.

"Selepas ini saya akan cuba untuk meraih pingat dalam acara berpasukan dan juga acara lepas beramai-ramai," kata pelumba berusia 21 tahun ini yang berasal dari Pekan.


No comments:

Post a Comment