Thursday, May 29, 2014
Pengajaran Maya - KP Pelajaran Minta Ikut Langkah Terengganu
Menurutnya, inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri Terengganu sejak 2011 itu juga secara tidak langsung melancarkan usaha untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang disasarkan pada 2025.
“Kita sememangnya menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Terengganu ini (kelas maya) kerana di dalam pelan kita (PPPM) juga turut memastikan menjelang 2025 kita berupaya melengkapkan penguasaan ICT.
“Justeru kita menggalakkan negeri-negeri lain untuk turut memperkenalkan sistem yang dibuat di Terengganu ini dan di dalam pelan di peringkat kementerian juga kita turut bercadang memperluaskan lagi (kelas maya) di negeri-negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh ke-41 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kelmarin.
Khair berkata, pihaknya tidak meletakkan syarat tertentu kepada sekolah untuk melaksanakan sistem kelas maya, sebaliknya ia terpulang kepada negeri masing-masing menggunakan idea atau cara tersendiri.
“Kita sememangnya menggalakkan usaha sebegini (kelas maya), di mana konsepnya juga turut terkandung dalam pelan pendidikan negara, namun terpulang kepada negeri lain sama ada ingin memperkenalkan sistem yang sama atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, pembabitan semua pihak sama ada ibu bapa, komuniti, badan korporat atau kerajaan negeri sangat dialu-alukan dalam usaha memantapkan lagi bidang pendidikan negara pada masa akan datang.
Sementara itu, dalam acara tahunan yang memasuki edisi ke -41 itu, sebanyak 68 sekolah berasrama penuh di seluruh negara mengambil bahagian dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud dipilih menjadi tuan rumah bagi tahun ini.
No comments:
Post a Comment