Saturday, May 17, 2014

Razif Serah Kepada PM Tentukan Pengerusi Umno Terengganu

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menyerahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan siapa pengerusi baharu Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Hanya perdana menteri sebagai presiden parti yang layak ulas dan menentukan siapa bakal menerajui Umno Terengganu, katanya.

"(Datuk Seri) Najib akan berada di Terengganu Sabtu ini (untuk hadir) majlis persandingan anak Datuk Seri Ahmad Said, bekas menteri besar Terengganu," katanya ringkas.

Ahmad Razif dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu pada Isnin bagi menggantikan Ahmad Said.

Setiausaha Perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang sementara itu berkata ketika ini jawatan itu dianggap masih dipegang oleh Ahmad Said.

Ahmad Said bertindak keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam Umno pada Isnin, ekoran peletakan jawatannya sebagai menteri Besar.

Namun kelmarin beliau menarik balik keputusan itu. Datuk Tengku Putera berkata mengikut perlembagaan parti, jawatan pengerusi Perhubungan Umno Negeri adalah atas pelantikan anggota Majlis Tertinggi (MT) di peringkat pusat.

"MT yang dipengerusikan oleh presiden parti (Najib) berhak untuk melantik siapa penyelaras (pengerusi Perhubungan Negeri) di peringkat negeri iaitu pada kebiasaannya ialah menteri besar," katanya.

Katanya Terengganu mempunyai lapan Bahagian dan 1,200 Cawangan Umno.

No comments:

Post a Comment