Saturday, May 17, 2014

Tahniah Kepada Ahmad Razif, Sedia Bekerjasama Demi Terengganu - Pas

PAS Terengganu sedia bekerjasama dengan pucuk kepimpinan baharu Barisan Nasional (BN) negeri demi kesejahteraan rakyat negeri itu khasnya dalam memberi kritikan yang membina.

Pesuruhjaya PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata PAS Terengganu turut berharap Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Tahniah kepada Ahmad Razif atas amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan PAS Terengganu sedia memberi kerjasama kepada beliau dalam memastikan kelancaran pembangunan di negeri ini.

"PAS Terengganu juga mahu beliau membuat penilaian semula terhadap projek pembangunan sedia ada, sama ada menangguh atau menghentikannya agar projek yang dijalankan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya kelmarin.


Sementara itu semalam PAS berharap peralihan kuasa di Terengganu yang menyaksikan pelantikan Menteri Besar baharu akan menguntungkan rakyat di negeri itu walaupun ia menyebabkan krisis politik.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau berharap penyelesaian yang dibuat mengambil kira kepentingan rakyat dan bukannya individu.


"Penyelesaian sepatutnya untuk rakyat dan bukannya individu," katanya kepada pemberita di Taman Derga Jaya, Alor Setar,  semalam.

Isnin lepas, Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi membolehkan pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar yang baharu.

Pada hari sama, Ahmad yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal mengumumkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas disusuli oleh Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud.

Bagaimanapun, mereka menarik balik keputusan itu dan kembali ke pangkuan Umno pada Rabu.

No comments:

Post a Comment