Wednesday, May 21, 2014

Terengganu Sedia Tambah Habuan Jika Muncul Juara Sukma Ke-17


Kerajaan Terengganu bersedia menambah habuan kepada atlet yang berjaya merangkul pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 Perlis bermula 24 Mei ini, jika negeri itu muncul sebagai juara.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia bertujuan menggalakkan semua atlet merebut seberapa banyak pingat emas yang boleh.

"Kita bersetuju untuk menaikkan insentif kepada atlet yang berjaya memenangi pingat emas daripada RM5,000 sebelum ini kepada RM6,000, pingat Perak daripada RM3,000 kepada RM4,000, namun gangsa kekal RM2,000.




"Kita juga bersedia untuk menyumbangkan sebuah van kepada pasukan yang berjaya mencapai sasaran pingat yang ditetapkan seperti atlet berbasikal dan kanu sekurang-kurangnya perlu membawa pulang 12 pingat emas atau lebih," katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bendera kontinjen Sukma di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Selain habuan berbentuk wang ringgit kerajaan negeri juga bercadang menghadiahkan sebuah van kepada mana-mana pasukan yang berjaya mencapai sasaran pingat yang ditetapkan dan membantu Terengganu muncul sebagai juara.

Justeru, beliau mengingatkan semua atlet yang bertanding agar tidak menjadikan habuan sebagai sasaran utama, namun berusaha mencapai sasaran pingat sehingga kontinjen Terengganu bergelar juara, pada Sukma kali ini.

Ahmad Razif berkata insentif yang disediakan kerajaan negeri itu adalah yang tertinggi berbanding negeri lain.
Selain itu, katanya insentif kemenangan segera berupa wang tunai juga akan diberikan kepada atlet yang berjaya memperoleh pingat emas iaitu RM300, Perak RM200 dan Gangsa RM100.

No comments:

Post a Comment