Wednesday, May 21, 2014

Ahmad Razif Sedia Kerjasama Dengan Siapa Sahaja Yang Dipilih Terajui Umno Terengganu


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Beliau turut mengakui tidak mempuyai masalah jika jawatan itu diberikan kepada orang lain dan akan bekerjasama dengan individu yang dilantik demi memajukan Umno.

"Kita serahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan perkara itu kerana apa yang penting ialah kebersamaan dalam memperjuangkan parti.

"Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Sukan Malaysia (Sukma) kepada Kontinjen Terengganu lewat Isnin malam.

Menurutnya lebih mustahak semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui Umno Terengganu.

Beliau berkata perpaduan dalam saat-saat begini amat penting lebih-lebih lagi dalam keadaan Terengganu sekarang di mana Barisan Nasional menduduki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara pembangkang 15.

Ahmad Razif berkata demikian ketika mengulas cadangan sebuah kolum akhbar tempatan Ahad lepas yang mengaitkan nama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai calon yang sesuai untuk jawatan itu.

No comments:

Post a Comment