Monday, June 2, 2014

Keputusan Cukai Pintu Belum Dibuat, Demonstrasi PAS Berniat Tidak Baik


"Menteri Besarmenegaskan dengan jaminan bahawa keputusan mengenai cukai pintu ini yang akan dibuat kelak, meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan...Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengkaji semula perjalanan cadangan pihak berkuasa tempatan itu melalui prosedur yang melibatkan dasar dan akta berdasarkan kepentingan rakyat."

Oleh Hambali Abdul Latiff

Kerajaan Negeri belum membuat keputusan mengenai penaksiran semula cukai pintu yang dicadangkan pelaksanaannya oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Menghairankan kenapakah Badan Perhubungan PAS negeri melalui Jawatankuasa Bertindak Membantah Cukai Pintu beria-ia merancang untuk mengadakan ‘demonstrasi rakyat' secara aman pada hari Rabu ini?

Melalui demonstrasi itu, PAS merancang untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar pada hari tersebut.

Kita tertanya-tanya, apakah demonstrasi dan tindakan oleh PAS itu sebagai perjuangan rakyat atau untuk kepentingan politik?

Pengerusi penganjur perhimpunan , Encik Yahaya Ali, berpendapat dengan pendapatan kerajaan negeri yang besar setiap tahun, sepatutnya ia mampu untuk tidak mengutip tambahan cukai daripada rakyat jika dilakukan pengurusan kewangan yang sempurna bagi menampung keperluan.

Mungkini inilah asas kepada penentangan kenaikan cukai pintu dalam kawasan MBKT.

Isu cukai pintu berbangkit apabila MBKT bercadang untuk menaikkan kadar yang tidak pernah dilakukan sejak 1981.

Cadangan itu ekoran kadar nilai hartanah terus melonjak, kadar sedia ada sudah menjadi terlalu kecil apabila bersandarkan kadar nilaian semasa kini.

Namun, MBKT memberikan peluang untuk membantah dan tempoh bantahan yang dikeluarkan oleh MBKT berakhir semalam.

Datuk Bandar, Datuk Adzlan Dagang sebelum ini turut mengatakan bahawa kenaikan cukai pintu itu belum dimuktamadkan.

Hanya selepas tamat tempoh bantahan, baharulah MBKT membuat rumusan untuk dibawa kepada pihak perunding, seterusnya ke peringkat jawatankuasa mesyuarat Ahli Majlis MBKT.

Bagaimanapun ketetapan kadar cukai sebenar akan dibuat mengikut kesesuaian melalui kata putus berasaskan bantahan rakyat dan perundingan.

Namun, sekiranya terlalu banyak bantahan dan setelah dirumuskan bahawa perlu diturunkan kepada kadar baharu, MBKT akan membawa cadangan itu kepada kerajaan negeri untuk membuat sebarang keputusan. Ini bermakna ia melalui beberapa proses dan keputusan mengenainya akan mengambil masa bukan dalam tempoh yang segera.

Di pihak kerajaan negeri, melalui kepemimpinan Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, beliau sudah membuktikan bahawa kerajaan negeri benar-benar prihatin dengan keresahan penduduk dalam daerah Kuala Terengganu mengenai isu berkenaan.

Menteri Besar sudah memaklumkan bahawa kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkan penaksiran semua cukai pintu yang dikatakan akan menyebabkan kenaikan yang dicadangkan pelaksanaannya oleh MBKT itu.

Dengan penagguhan itu bermakna isu kenaikan cukai pintu itu tidak lagi berbangkit.


Ia juga tidak wajar diperbesar-besarkan. Jika perkara ini berkenaan terus mahu dijadikan isu, ia boleh diterjemahkan sebagai suatu bentuk kepentingan politik bertujuan dijadikan modal bagi memberikan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri.

PAS tidak wajar terus menjadikan isu ini untuk kepentingan politik mereka apa lagi mengajak rakyat untuk berdemonstrasi.

Jika inilah pilihan mereka, ternyata parti pembangkang itu berniat serong sedangkan kerajaan negeri bertindak mengikut prosedur dan mendahulukan rakyat. Benar seperti ditegaskan Datuk Ahmad Razif bahawa isu ini tidak harus dijaja untuk mempengaruhi rakyat bagi mendapatkan pengaruh politik.

Menteri Besar sudah beberapa kali menegaskan dengan jaminan bahawa keputusan mengenai cukai pintu ini yang akan dibuat kelak, meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Menteri Besar menegaskan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengkaji semula perjalanan cadangan pihak berkuasa tempatan itu melalui prosedur yang melibatkan dasar dan akta berdasarkan kepentingan rakyat dan mahu agar semua pihak berpuas hati

 Memanglah isu kenaikan cukai pintu ini menjadi perbualan hangat penduduk dalam kawasan MBKT sejak awal tahun ini, namun keputusan yang akan ditentukan kelak akan mendahulukan rakyat.


Bukan pemimpin PAS sahaja yang bimbang mengenai kemungkinan kenaikan cukai pintu, malah Kerajaan Negeri sendiri turut sudah menerima memorandum UMNO Bahagian Kuala Terengganu mengenai perkara tersebut.

Ketua UMNO bahagian berkenaan Datuk Mohd. Sabri Alwi dilaporkan menyerahkan memorandum berhubung rungutan penduduk terhadap kenaikan yang dicadangkan itu, di pejabat Menteri Besar di Kuala Terengganu, semalam.

Berikutan itu, benar seperti persoalan dikemukakan Menteri Besar, kenapakah PAS perlu berusaha mengadakan perhimpunan besar-besaran hanya untuk menyerahkan memorandum?

Selain itu, dengan kedudukan kerajaan belum memutuskan apa-apa keputusan berhubung cadangan itu, sebilangan rakyat negeri ini tidak wajar diheret turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi.

Sepatutnya apa-apa bantahan hanya boleh apabila keputusan mengenainya sudah dimuktamadkan.

Pada ketika itu, jika tidak berpuas hati juga, sekiranya tetap mahu buat bantahan, barulah ada asas melakukannya.

Sebaliknya, jika diadakan juga demonstrasi itu ketika ini, ia tidak lain dan tidak bukan menonjolkan bahawa pemimpin PAS hanya untuk wujudkan persepsi yang buruk terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional negeri semata-mata.

Nota - Sebahagian besar bahan ini sudah disiarkan dalam Bicara Terengganukita, Trg FM, 2 Jun 2014, jam 1.30 tgahri.

No comments:

Post a Comment