Monday, June 2, 2014

Kerajaan Terengganu Tubuh Putra Untuk Memberikan Impak Berkesan Dalam Dasar Kerajaan


Kerajaan Terengganu menubuhkan Pusat Trasformasi Rakyat Terengganu (Putra) bagi menilai prestasi dan impak program dasar kerajaan negeri yang sedang dilaksanakan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata Putra yang ditubuhkan ini akan diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif dan akan ditempatkan di Pejabat Menteri Besar selain itu ia juga akan mempunyai seorang pegawai penyelidik utama sepenuh masa yang bertaraf profesor.

Katanya inisiatif yang dilakukan ini bagi mewujudkan satu transformasi baru dalam pembangunan selain dapat menambah nilai keberkesanan dasar kerajaan yang sedang dan bakal dilaksanakan.

"Putra ini akan bertindak sebagai pusat penilaian maklum balas dalam membantu Menteri Besar melakukan keputusan berimpak tinggi kepada rakyat dalam semua perkhidmatan, gagasan dan dasar negeri disamping mencetuskan inovasi dalam pengurusan serta pembangunan kerajaan.

Bagi menggerakkannya, kita telah melantik Dr Wan Shaari Wan Ismail yang merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu untuk menyandang jawatan Ketua Eksekutif bergandingan dengan Prof Dr Ibrahim Mamat sebagai penyelidik," katanya.

Beliau mengumumkan penubuhan Putra selepas memulakan tugasnya secara rasmi di pejabat rasmi Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam yang disusuli dengan solat hajat dan bacaan yassin.

Selain itu pihaknya juga akan mengenalpasti keperluan segera rakyat dan mencadangkan mekanisme atau tindakan segera untuk menanganinya.

Menurutnya untuk melaksanakan fungsi ini, satu Majlis Perundingan Daerah (MPD) yang akan diketuai oleh Pegawai Daerah dan dianggotai oleh pemimpin semua peringkat dimana mereka akan diberi tempoh tiga bulan menyediakan pelan aspirasi rakyat itu dan hasilnya akan dilaporkan kepada Putra secara berkala. 

Menurutnya Putra juga akan bekerjasama dan mendapat khidmat pakar dari Institusi Pengajian Tinggi tempatan dan pihak swasta bagi membangunkan lagi negeri ini.

Katanya khidmat kepakaran akan memberikan fokus kepada lima kluster pembangunan iaitu Pendidikan, Ekonomi yang merangkumi sektor pelancongan, industri dan pelaburan, Pembangunan Belia dan Sukan, Sosial (Agama dan Kualiti Hidup) serta Pembangunan Politik.

Jelasnya setiap kluster akan dianggotai oleh beberapa pakar dan bertanggungjawab menyumbang kepakaran masing-masing bagi tujuan penambahbaikan dan pengujudan program baharu untuk dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Selain itu mereka juga akan membantu barisan exco yang terlibat bagi memberi idea untuk memajukan kluster masing-masing.

No comments:

Post a Comment