Pembinaan hospital baharu, Kuala Terengganu Specialist (KTS) milik Kumpulan Terengganu Development Management (TDM) Berhad di Batu Buruk di Kuala Terengganu, kini sudah siap 61 peratus.
Pengerusi TDM Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata projek pembinaan hospital pakar swasta kedua di negeri itu, yang dimulakan pada November 2012, di kawasan tumpuan pelancong dan tidak jauh dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dijadual siap pada suku keempat tahun ini.
"Dalam tempoh empat hingga lima bulan lagi atau November ini, hospital tersebut dijadual siap dan mula beroperasi pada awal 2015.
"Justeru itu, saya telah minta pihak pengurusan memberi perhatian khusus bagi memastikan KTS beroperasi seberapa cepat yang boleh," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-49 TDM Berhad di Kuala Terengganu.
Menurut Wan Abu Bakar hospital lapan tingkat dengan kos pembinaan kira-kira RM180 juta di kawasan seluas 2.3 hektar itu, dan mampu menempatkan 130 katil, dibina bagi menggantikan Hospital KTS lama di Jalan Kamaruddin yang sudah tidak mampu menampung jumlah katil dan pesakit yang meningkat.
KTS baharu itu dibangunkan berikutan masyarakat negeri ini sudah mula memilih hospital swasta sebagai alternatif yang terbukti dengan peningkatan bilangan pesakit yang mendapat rawatan di keempat-empat hospital pakar milik kumpulan TDM di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Kuantan dan Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment