Friday, June 6, 2014

Penuntut IPT Akui Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas

Seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan cubaan menyembunyikan kelahiran seorang bayi.

Suzain Aharin, 21, yang beralamat di Kampung Cinta Mata, Kundasang, Ranau, Sabah mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Muhammad Firdaus Abdul Rahin, kelmarin.

Tertuduh yang hadir di mahkamah dengan berbaju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya dan dia ditemani seorang lelaki serta seorang wanita yang merupakan keluarganya. 

Mahkamah menetapkan tarikh 10 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan jatuh hukum serta menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 kepada tertuduh.

Tertuduh bagaimanapun meminta agar tawaran jaminan dikurangkan atas faktor kewangan dan mahkamah memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 oleh seorang penjamin.

Tertuduh yang ditahan pada 24 April lalu didakwa melakukan kesalahan itu jam 2.30 pagi pada 22 April di Blok D-2, Tingkat 4, Flat Awam Padang Hiliran Kuala Terengganu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 318/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming dan kes berkenaan disiasat Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Asri Abu Hashim.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat ditemui mati dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Flat Awam Padang Hiliran yang disewa sekumpulan pelajar sebuah IPT di sini. 

Menurut bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, rakan suspek yang membuat pemeriksaan selepas itu melihat terdapat tompokan darah dan mendapati seorang bayi dalam mangkuk tandas di rumah sewa mereka.

Menurutnya, rakan pelajar berusia 21 tahun itu kemudiannya terus menghubungi ambulans dan suspek dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.

Kejadian itu disedari rakan suspek kira-kira jam 2.30 pagi, apabila melihat rakan serumahnya itu terbaring di hadapan pintu tandas dalam keadaan tidak bermaya.

No comments:

Post a Comment