Monday, June 2, 2014
SUKMA 2014 - Wilayah Persekutuan Pintas Terengganu Di Persada Carta
Impian Terengganu untuk memburu gelaran kelima juara keseluruhan semakin suram selepas dipintas oleh Wilayah Persekutuan pada hari kesembilan temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17.
Selepas ketinggalan dua pingat emas dengan pendahulu Terengganu semalam, Wilayah Persekutuan menamatkan saingan hari ini dengan menambah 15 pingat emas manakala Terengganu hanya mengutip lima emas.
Acara gimrama menjadi lubuk emas Wilayah Persekutuan apabila meraih enam emas, untuk membantu memiliki kelebihan lapan pingat emas di persada carta pungutan pingat.
Wilayah Persekutuan kini mengumpul sejumlah 47 emas, 29 perak dan 42 gangsa sementara Terengganu di tangga kedua dengan 39 emas, 39 perak dan 20 pingat gangsa.
Sarawak, bakal tuan rumah edisi 2016, kekal di tangga ketiga dengan 33 emas, 22 perak dan 25 pingat gangsa.
Dalam pada itu, Perlis gagal ke final bola sepak selepas dikecewakan oleh Perak 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Tuanku Syed Putra.
Perak akan menentang Johor pada final, Selasa ini. Johor pula menempah slot final apabila menang tipis 1-0 ke atas Kedah dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Hanya satu rekod kebangsaan dicipta menerusi acara olahraga apabila wakil Johor, Iskandar Alwi merekodkan ketinggian 5.15 meter dalam acara lompat bergalah, sekali gus memadam rekod kebangsaan 5.10m miliknya sewaktu Sukan SEA Myanmar tahun lepas. Iskandar, 20, turut memperbaharui rekod Sukma miliknya iaitu 4.80m pada edisi 2012 di Pahang
Acara olahraga yang menutup tirainya di Stadium Tuanku Syed Putra sekali lagi menyaksikan kehebatan kuartet wanita Terengganu selepas mereka berjaya meleburkan rekod Sukma 4x400m berusia 24 tahun. Kuartet emas Terengganu - Azreen Nabila Alias, Siti Nur Afiqah Abdul Razak, Nur Farahana Musa dan Nur Shahira Muliadi - mencatat masa 3:49.45s, mengatasi catatan terdahulu yang dibuat kuartet Pulau Pinang pada edisi ketiga Sukma di Sarawak pada 1990.
Selain daripada itu, lima lagi rekod Sukma diperbaharui melalui acara angkat berat, menembak dan renang. Esok, sebanyak 48 pingat emas menjadi rebutan pada hari ke-10 dengan acara perahu layar menawarkan jumlah pingat terbanyak iaitu 13 pingat.
No comments:
Post a Comment