Friday, June 20, 2014

UMT Jadikan Tasik Kenyir Geopark Kebangsaan

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memilih satu kawasan di Tasik Kenyir untuk dibangunkan sebagai Geopark Kebangsaan.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata UMT telah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk dibangunkan kawasan itu.

"Sekarang kerajaan negeri telah melihat dan sedang mengkaji kertas cadangan kita. Kalau dipersetujui projek itu akan dimulakan akhir tahun ini," katanya.

Dr Ibrahim berkata, di seluruh negara terdapat 20 kawasan yang berpotensi untuk dijadikan taman geologi.

Katanya, Tasik Kenyir dipilih kerana ia mempunyai kawasan yang sesuai seperti Gua Bewah - tempat penemuan rangka manusia pra sejarah yang dipercayai berusia antara 8,000 hingga 10,000 tahun iaitu kediaman manusia terawal di negara ini.

Rangka tersebut yang dipercayai mayat seorang remaja zaman pra-sejarah yang menghuni gua tersebut dan ia ditanam dalam keadaan merengkok, masih dikekalkan di tempat asal ia ditemui.

Artifak berkenaan ditemui semasa kerja-kerja ekskavasi diketuai Prof Nik Hasan Shuhami Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan bantuan Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Turut dijumpai serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik, yang terdapat tulisan corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh negara.

Dr. Ibrahim berkata jika ia dibangunkan kelak, sudah pasti kawasan itu menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir.

No comments:

Post a Comment