Sunday, June 8, 2014

UMT Perkenal Program Diploma Baharu Untuk Sesi Kemasukan September

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memperkenalkan beberapa program baharu di peringkat diploma untuk sesi pengambilan pelajar, pada September ini bagi mempertingkatkan mutu akademik universiti berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Anuar Hassan berkata kini hanya terdapat satu program peringkat diploma di universiti berkenaan iaitu Diploma Perikanan dan bercadang memperkenalkan beberapa program baharu termasuk Diploma Akuakultur.

"Sekarang ini, kita juga merupakan satu-satunya Institut Pengajian Tinggi Awam yang memperkenalkan Diploma Perikanan di Semenanjung Malaysia dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Pelajar Baharu-Diploma Sesi Jun 2014/2015 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur UMT Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar. 

"Selasa lalu, seramai 92 pelajar lepasan SPM mendaftar sebagai mahasiswa di UMT dalam Diploma Perikanan ini dan kita jangkakan bilangan ini akan bertambah apabila sesi rayuan dibuka dalam masa seminggu dan mencapai unjuran sebenar 162 pelajar," katanya.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dan soal jawab dengan pelajar, didapati lebih 60 peratus pelajar memilih jurusan itu sebagai pilihan pertama dan merupakan sesuatu yang membanggakan UMT.

"Apabila selesai Diploma, memang ramai pelajar membuat keputusan untuk terus menyambung pelajaran di UMT di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang berkaitan," katanya

 Anuar berkata sehingga kini UMT mempunyai lapan pusat pengajian dan satu pusat pendidikan dengan menawarkan 25 program pengajian peringkat Sarjana Muda dan satu program Diploma.

No comments:

Post a Comment