Monday, July 7, 2014

Najib Rakam Penghargaan Kepada Ahmad Said Selama Mentadbir Terengganu


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said atas jasa yang disumbangkannya sepanjang mentadbir negeri ini.

Beliau berkata jasa Ahmad sepanjang bergelar Menteri Besar tidak harus dipandang mudah kerana beliau melakukan pelbagai sumbangan dan usaha untuk membangunkan negeri Terengganu.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sebelum mengumumkan pemberian dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad dan duit raya kepada warga peneroka Felda di Kompleks Pejabat Felda Wilayah Terengganu di Tepoh di Kuala Terengganu, semalam.

Najib juga menyokong penuh konsep pembangunan yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam memajukan pembangunan dan pentadbiran negeri. 

Katanya Ahmad Razif juga bersedia meneruskan kesinambungan usaha yang dilakukan oleh Ahmad Said.

"Apa sahaja yang baik yang dilakukan oleh Ahmad Said, Ahmad Razif akan teruskan bagi memastikan negeri ini terus berkembang," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri  mengumumkan pembayaran dividen akhir Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) kepada peneroka Felda berjumlah RM72.9 juta.

Sehubungan itu, semua 112,635 warga peneroka seluruh negara akan menerima imbuhan sebanyak RM647.78 seorang.

Pembayaran dividen akhir FGV ini membabitkan jumlah 10 sen sesaham yang mana ia akan dibayar menerusi Tabung Amanah pada Jumaat ini (11 Julai).

Perdana Menteri yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga peneroka di Pejabat Felda Wilayah Terengganu ketika berucap turut mengumumkan pemberian duit raya kepada peneroka Felda dengan jumlah keselurahan sebanyak RM30.5 juta.

Najib berkata pemberian ini sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda dan membantu perbelanjaan persiapan Hari Raya mereka.

"Kita juga menyerahkan duit raya sebanyak RM300 bagi setiap keluarga peneroka bagi meringankan lagi beban kewangan peneroka dan keluarga mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri Toh Puan Harlina Zakaria, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari serta Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Pada majlis itu juga, Najib turut menyerahkan zakat perniagaan bagi pihak Kumpulan Felda berjumlah RM22.02 juta.

Katanya, jumlah bayaran zakat tersebut bersempena keuntungan FGV yang dicatatkan pada tahun kewangan 2013 iaitu sebanyak RM8.6 juta,

Koperasi Permodalan Felda (KPF) RM12.8 Juta, Felda D'Saji RM321,200 dan koperasi kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP) RM297,985.97.

Zakat perniagaan ini dibayar kepada 14 Pusat Zakat Negeri iaitu bagi negeri-negeri dimana kumpulan Felda menjalankan operasi perniagaannya.

Sementara itu bersempena majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 6,000 orang, kumpulan Felda turut memberikan sumbangan amal dan saguhati kepada masjid Felda yang melibatkan jumlah sebanyak RM927,500 yang akan diagihkan kepada Pengerusi Masjid, Imam, Bilal dan Siak.

Selepas majlis ini, Najib dijadual bersolat Isyak dan tarawih di Masjid Al-Abrar Bukit Tok Beng, Seberang Takir sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

Sementara itu, rata-rata peneroka Felda melahirkan rasa terharu dengan pengumuman dan sumbangan itu oleh Perdana Menteri.

Wakil peneroka Samsudin Othman, 62, bersyukur dengan pengumuman Najib yang sudi memberi sumbangan hari raya sebagai persiapan menyambut lebaran.

"Walaupun jumlah itu tak besar namun ia sedikit-sebanyak menolong dan mampu meringankan beban kami," kata Samsudin yang berasal dari Johor.

Seorang lagi peneroka Ismail Mohamad, 66, dari Felda Neram Satu Kemaman berkata beliau berharap golongan Felda akan terus dilimpahi faedah pada masa akan datang dan usah percaya kata-kata negatif dilemparkan kepada Felda.

"Para peneroka usahlah mendengar kata-kata tidak sahih kerana ia akan mendatangkan rasa kurang senang kepada kita sendiri. "Kerajaan kita sudah cukup baik, apa lagi kita masih tidak puas hati?," katanya.

1 comment:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete