Monday, July 7, 2014

PPDNKK Perluas Operasi Pemantauan Harga Barang

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu akan memperluas operasi pemantauan di pasar serta bazar di seluruh Terengganu sepanjang Ramadan ini. 

Pengarahnya, Syamsul Badrin Mohsin berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan terutamanya ketika bulan puasa.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di beberapa pasar dan bazar sekitar negeri ini, pihaknya mendapati peniaga mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kita telah melakukan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa pasar dan bazar di negeri ini dan tiada kenaikan harga barang berlaku.

"Namun, kita akan melakukan pemantauan yang lebih kerap menjelang Aidilfitri nanti bagi menggelakkan sebarang kemungkinan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya setakat ini PPDNKK tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bahan mentah seperti ayam dan daging walaupun permintaan agak tinggi pada bulan Ramadan sehingga Aidilfitri ini. 

Bekalan bahan mentah termasuk minyak masak diyakini mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sepanjang bulan puasa ini, katanya.

Tinjauan Bernama di Pasar Tani Mega Padang Hiliran di sini mendapati para peniaga masih mengekalkan harga yang sama seperti tahun lalu dengan daging dijual sekitar RM25 sekilo manakala ayam sekitar RM7.50.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu Hassan Jusoh berkata pihaknya mempunyai 10 anggota penguatkuasa yang menjalankan pemantauan di setiap pasar basah dan pasar tani untuk memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang Ramadan.

Katanya operasi dilakukan setiap dua kali seminggu di pasar tani terpilih bagi memastikan bekalan mencukupi menjelang musim perayaan.

No comments:

Post a Comment