Thursday, September 24, 2015

1MDB - Mohamad Hasan Bersuara Demi Masa Depan Rakyat, Negara


"Tindakan melepaskan aset strategik negara kepada pihak asing mungkin membawa masalah yang lebih besar pada masa hadapan...dalam kerangka yang lebih besar daripada hanya aktiviti perniagaan semata-mata, negara terdedah kepada ancaman terhadap kelangsungan keselamatannya jika aset strategik seperti itu berada dalam penguasaan orang asing."

Apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kebimbangannya dengan cadangan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu menjual 13 aset tenaga Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada firma milik asing, janganlah pula beliau dianggap menyanggah kepimpinan utama negara.

Sebagai orang yang berpengalaman dalam perniagaan, sudah pasti Mohamad mempunyai pandangan dan sebab tersendiri menyatakan demikian. 
Jangan ada pula ‘lembu dan kambing yang dok makan rumput hasil isu 1MDB’ cuba mengadu domba apa yang cuba diketengahkan oleh Mohamad.

Sebagai pemimpin UMNO dan negeri, Mohamad memahami apa yang sedang dihadapi oleh 1MDB.

Amat nyata, walaupun memahami 1MDB mengalami tekanan hebat untuk melaksanakan cadangan berkenaan, beliau berkata, tindakan melepaskan aset strategik negara kepada pihak asing mungkin membawa masalah yang lebih besar pada masa hadapan.

Mohamad memberikan pandangannya dengan mengatakan, dalam kerangka yang lebih besar daripada hanya aktiviti perniagaan semata-mata, negara terdedah kepada ancaman terhadap kelangsungan keselamatannya jika aset strategik seperti itu berada dalam penguasaan orang asing.


“Saya bukanlah seorang yang anti kepada perniagaan yang dilakukan oleh orang asing tetapi cadangan seperti ini secara umumnya tidak baik untuk negara ini. Secara peribadi saya meminta 1MDB, Kementerian Kewangan dan kerajaan agar memikirkan semula secara masak-masak dan banyak kali cadangan untuk melepaskan aset tenaga ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Seremban semalam.

Beliau terdorong membuat ulasan itu selepas membaca laporan di Utusan Malaysia semalam  mengenai 1MDB yang dijangka mengumumkan satu daripada tiga firma asing sebagai pemenang bida untuk mengambil alih 13 aset tenaga Edra miliknya yang bernilai RM10 bilion atau AS$2.3 bilion.

1MDB melakukannya dalam usaha mengurangkan hutang piutang syarikat tersebut.

Menurut satu sumber, firma tenaga berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power International dan Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar dikatakan berada di hadapan dalam senarai empat pembida, bersama satu lagi entiti asing dan juga firma tenaga tunggal dari Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Lebih membimbangkan ujar sumber industri itu lagi, penjualan Edra kepada entiti asing akan menutup peluang kepada vendor-vendor tempatan termasuk Bumiputera yang telah berjaya dibimbing selama ini.

1MDB pada asalnya, mengumumkan rancangan untuk menyenaraikan perniagaan tenaganya pada Julai 2014, untuk menjana dana sebanyak RM11 bilion.

Sebahagian daripada dana itu bertujuan untuk membayar balik hutangnya yang menggunung kepada RM42 bilion setakat 31 Mac 2014.

Menurut laporan, 1MDB ha­­rus memba­yar antara RM2.4 bilion hingga RM2.7 bilion setahun dari segi faedah pinjaman.

Rancangan tersebut bagaimanapun, telah dibatalkan dengan 1MDB memutuskan untuk menjual kepentingannya dalam Edra.

Aset Edra terdiri daripada lima loji jana kuasa tempatan dan lapan antarabangsa termasuk di Bangladesh dan Mesir selain merupakan yang kedua terbesar di Malaysia selepas Malakoff Corp Bhd. Syarikat kerajaan itu juga mempunyai asetnya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan di Pakistan menerusi syarikat usaha sama.

Keseluruhannya Edra memiliki kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 5,500 MegaWat yang dianggarkan bernilai RM10 bilion oleh bank-bank.

1MDB sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Pembelian dan Penjualan Saham (SSPA) dengan TNB untuk mengambil alih 70 peratus kepentingan di dalam Jimah East Power Sdn. Bhd. (JEP), yang dimiliki 1MDB dengan nilai RM46.98 juta.

Bagi Mohamad, walaupun jangka masa keputusan bidaan hampir dibuat (atau sudah dibuat), Menteri Besar Negeri Sembilan itu tetap berharap TNB adalah pihak yang paling tepat dan sesuai diberi kepercayaan mengambil alih aset-aset berkenaan walaupun tawaran yang dikemukakan oleh syarikat utiliti kebangsaan itu.

Tidak mengapalah mungkin lebih rendah sedikit berbanding firma lain tetapi Mohamad percaya jika aset itu dimiliki oleh TNB, semua pihak terutamanya rakyat akan menikmati faedah yang lebih terjamin kerana aset berkenaan adalah milik tempatan.

Beliau menarik perhatian, pada masa yang sama, orang ramai perlu mengetepikan sentimen buruk terhadap TNB atau 1MDB sekiranya syarikat utiliti kebangsaan itu diberikan kepercayaan mengambil alih aset-aset berkenaan.

“Sejauh mana pun kita mungkin membenci 1MDB tetapi dalam hal ini kita kena berfikir secara rasional dan meletakkan kepentingan negara lebih atas daripada kebencian kita itu. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku, mari kita bergerak ke hadapan dan tidak menilai setiap perkara berdasarkan sentimen semata-mata,” ujarnya.

Tabik kepada Mohamad kerana berani menyuarakan pandangan dan tidak bimbang dengan kemungkinan akan dikenakan’ tindakan’ atau ‘hukuman’ kerana suaranya itu.

Inilah pemimpin yang berani menyuarakan pandangan untuk rakyat bukan jenis yang berkokok berdentam-dentum tetapi kokoknya itu demi kedudukan diri dan peribadi.

1 comment:

  1. Hello, Saya Puan Sandra Ovia, wang pemberi pinjaman swasta, adakah anda dalam hutang? Anda memerlukan rangsangan kewangan? pinjaman untuk merancang untuk tahun baru, untuk memenuhi sehingga bil anda, mengembangkan perniagaan anda pada tahun ini dan juga untuk pengubahsuaian rumah anda. Saya memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat tempatan, antarabangsa dan juga pada kadar faedah yang sangat rendah sebanyak 2%. Anda boleh menghubungi kami melalui E-mel: (sandraovialoanfirm@gmail.com)
    Anda dipersilakan untuk syarikat pinjaman kami dan kami akan memberikan anda perkhidmatan yang terbaik kami.

    ReplyDelete