Monday, September 21, 2015

THT Pahat Sejarah Piala TNB Di Bukit Jalil


Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mempertahankan kejuaraan Piala TNB musim lalu apabila menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 menerusi penentuan penalti shoot out selepas terikat 1-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Lebih manis, THT turut berjaya melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara berganda dua kali berturut-turut selepas terdahulu memenangi saingan Divisyen Satu Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.
Pada aksi tersebut, KLHC terlebih dahulu mengasak kubu lawan menerusi pukulan sudut penalti ketua pasukan, Muhammad Razie Abd. Rahim yang berjaya diselamatkan oleh benteng pertahanan THT sebaik perlawanan bermula.
THT lantas mengambil kesempa­tan tersebut dengan melakukan serangan balas dan akhirnya berha­sil mendapat gol pertama menerusi percubaan padang Faizal Saari pada minit kesembilan.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Nazmi Kamarudin membatalkan gol tersebut selepas mendakwa bola sudah terkena kaki Faizal sebelum dia melepaskan pukulan deras ke gawang KLHC.
Gol yang dicari-cari akhirnya tiba apabila Faizal berjaya membuka tirai jaringan buat THT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-36.
Tidak sempat wakil Pantai Timur tersebut ‘berehat’, KLHC bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi gol pukulan sudut penalti daripada Razie yang juga pakar flick dua minit selepas itu.
Faizal yang juga penyerang pasukan hoki kebangsaan berpeluang menggandakan kedudukan buat THT, namun gagal melepasi kawalan penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin biarpun berdepan situasi satu lawan satu sebelum tamat suku masa ketiga.
Aksi tersebut turut dicemari insiden pergaduhan antara Faizal dan pemain KLHC, Muhammad Umar Butta sehingga mereka berdua dilayangkan kad kuning pada penghujung permainan.
Malah, kapten kedua-dua pasukan, Razie dan Mohd. Sharun Nabil Abdullah juga menerima nasib malang apabila turut dilayangkan kad hijau gara-gara gagal mengawal emosi rakan sepasukan mereka itu.
THT bagaimanapun masih berjaya mempertahankan kejuaraan musim lalu apabila memenangi aksi final Piala TNB kali ini dengan kemenangan 5-4 menerusi penentuan pukulan shoot-out.
Pada penentuan shoot-out itu, penjaga gol THT, Muhammad Hafizudin Othman muncul wira apabila berjaya menafikan percubaan penye­rang KLHC, Mohd. Syamim Mohd. Yusof.
http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment