Friday, September 18, 2015

THT Bertemu KLHC Pada Perlawanan Akhir Piala TNB


Juara Liga Hoki Malaysia (LHM) 2015, Terengganu Hockey Team (THT) akan menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada perlawanan akhir Piala TNB, Ahad ini.

Perlawanan akhir itu akan menyaksikan ulangan edisi tahun lepas di mana THT muncul juara buat kali pertama selepas menundukkan KLHC. 

Di separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, KLHC terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas menewaskan Sapura 2-1 untuk kemenangan dengan agregat 8-1 manakala THT bangkit memadamkan defisit 3-5, dengan kenduri gol 7-2 ke atas Maybank, untuk mara dengan agregat 10-7. 

Kejayaan KLHC melangkah ke final itu adalah yang ke-15 buat pasukan yang dibimbing Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, di mana mereka menang lima dan tewas sembilan kali.

Sebelum ini, kelab hoki berkenaan dikenali sebagai Kelab Hoki Arthur Andersen dan Kelab Hoki Ernst & Young. 

"(Untuk kali ini) ia sesuatu yang sukar untuk diramalkan. Apa yang penting ialah prestasi pemain," kata Muhammad Dhaarma Raj mengenai perlawanan akhir Ahad ini.

Bagaimanapun, Sapura terlebih dahulu membuka jaringan selepas Mohammad Imran menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan sebelum KLHC bangkit menerusi Muhammad Razie Abd Rahim (m29) dan Ali Shan (m52).

THT menunjukkan kesungguhan bangkit memadamkan defisit awal dengan menghasilkan tiga gol pada suku pertama melalui Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil pada minit kedua dan kelapan sebelum Jose Leandro Tolini menjadikan 3-0 seminit selepas itu bagi menjadikan agregat 6-5.

Lain-lain gol THT diperolehi menerusi Faizal Saari (m33 dan 51), Muhammad Firhan Ashari (m45) dan Nicolas Cicileo (m48) manakala Maybank meraih dua gol melalui Muhammad Toseeq (m39) dan Deepanshu Bhargav (m59).

KEPUTUSAN: 

KLHC 2 SAPURA 1 KLHC - Muhammad Razie Abd Rahim (29'), Ali Shan (52') SAPURA - Mohammad Imran (9') 

THT 7 MAYBANK 2 MAYBANK - Muhammad Toseeq (39'), Deepanshu Bhargav (59') THT - Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (2', 8'), Jose Leandro Tolini (9'), Faizal Saari (33',51'), Muhammad Firhan Ashari (45'), Nicolas Cicileo (48'),

No comments:

Post a Comment