Wednesday, October 7, 2015

Isu Penagihan Dadah Di Sebalik Kecemerlangan Pelajar Terengganu…


Kita bangga dengan pencapaian pelajar Terengganu dalam peperiksaan dan sukan.

Kita juga bangga kerana kerajaan negeri amat prihatin terhadap pelajar dan sentiasa berusaha membaiki prestasi pelajar dan cara mngajar dan pembelajaran.

Malah pemimpin negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dilihat mampu membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggu dalam pendidikan negeri.
Hasil MakmalPenyediaan Rangka Tindakan Transformasi Pendidikan Terengganu 2016-2020 yang diumumkan semalam dilihat mampu melaksanakan `penemuan baru’ dalam memperkasakan bidang pendidikan negeri, selaras dengan prinsip kelapan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).
Selain penemuan baharu itu, antara tujuan makmal berkenaan juga menghasilkan kertas kerja bagi mendapatkan sumber kewangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat bagi menambah peruntukan sedia ada kerajaan negeri untuk bidang pendidikan.

Namun ada cabaran penting di mana sebab utama  anak Terengganu gagal meneruskan kecemerlangan  di peringkat universiti adalah kelemahan menguasai bahasa Inggeris yang turut dikesan menerusi  peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
Kerana itu Menteri Besar berharap perlu ada kesinambungan dan bengkel ini sebagai platform untuk kita mendapat formula serta ramuan untuk meneruskan kecemerlangan anak Terengganu. Biar ada kesinambungan supaya akhirnya anak-anak Terengganu ramai yang mendapat `kelas pertama’ dalam bidang-bidang yang diceburi.
Selain cabaran yang boleh dipantau dan dilakukan penambahbaikan seperti diperkatakan oleh Menteri Besar, isu penting yang juga perlu diberikan perhatian bersungguh-sungguh ialah gejala dadah di kalangan pelajar di Terengganu.

Laporan yang menyebu seramai 600 pelajar sekolah menengah di Terengganu yang mempunyai masalah disiplin seperti ponteng dan merokok dikategorikan sebagai golongan berpotensi terlibat dengan dadah, memerlukan perhatian semua pihak..

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A Latiff Awang, Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang ditubuhkan kerajaan negeri telah melakukan ujian air kencing ke atas semua pelajar sekolah negeri itu.

"Melalui ujian itu kita kenal pasti 170 pelajar yang telah terlibat dengan dadah dan melalui kaji selidik serta maklumat sekolah pula, lebih 400 orang dikhuatiri akan terlibat sama jika tiada langkah pencegahan awal diambil.

Menurut A Latiff, jumlah itu masih terkawal dan beberapa langkah proaktif bagi memastikan mereka ini dapat dipulihkan sudah diambil agar tidak lagi mengulangi kesalahan sama.

A Latiff yang juga Pengerusi MTMD berkata langkah awal yang diambil ialah menghantar kesemua 600 pelajar itu ke kem motivasi dan mereka sentiasa dipantau untuk tindakan susulan.

"Ia dikendalikan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Kesihatan.

Kita berharap langkah-langkah yang dijalankan perlu langkah susulan dan berusaha agar mereka tidak kembali kepada tabiat lama.

Benar seperti kata A Latiff : "Pelajar ini tidak boleh dibiarkan kerana kita risau mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai masalah sosial di luar.”

Beliau yakin dengan program yang melibatkan pengisian rohani yang dijalankan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu melalui kem-kem yang dijalankan akan mendatangkan faedah.

Kita mengalu-alukan pnganjuran seminar peranan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Agama dan pemimpin masyarakat dalam memerangi dadah selain makmal-makmal untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar Terengganu.

Malah, usaha kerajaan Terengganu ke arah kecemerlangan pendidikan akan 'terjejas' sekiranya isu dadah dan masalah disiplin di sekolah tidak ditangani dengan baik dan berkesan.

Kita berharap usaha mempertingkatkan pencapaian pelajar dilakukan sepanjang masa dan begitu juga dengan usaha mengatasi masalah dadah hendaklah dilakukan tanpa bermusim.

Nota - gambar Teganukita

No comments:

Post a Comment