Monday, November 16, 2015

RM27.1 Bilion Pelaburan Terkini ECER Diluluskan Untuk Negeri Terengganu

Che Mohamad Zulkifly
Sebanyak RM27.1 bilion pelaburan terkini telah diluluskan untuk Terengganu menerusi pelaksanaan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari 2007 hingga suku ketiga tahun ini.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), jumlah pelaburan itu merangkumi sektor pembuatan (RM13.02 bilion), bioekonomi (RM6.39 bilion), pelancongan (RM3.65 bilion), minyak, gas dan petrokimia (RM2.3 bilion).

Hartanah (RM1.095 bilion), perkhidmatan (RM0.45 bilion), pendidikan (RM.19 bilion), pertanian (RM0.05 bilion), pembinaan (RM0.03 bilion) dan logistik (RM0.01 bilion).

"Pelaburan itu akan mewujudkan anggaran sebanyak 25,279 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan," demikian menurut JPM dalam jawapan bertulis kepada Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Mohamad Zulkifly bertanya mengenai jumlah dan jenis pelaburan yang telah berjaya dibawa masuk ke Terengganu sejak ECER dilancarkan.

Menurut JPM, sebanyak RM464 juta pelaburan telah diluluskan bagi daerah Setiu bagi tempoh sama, merangkumi sektor pembuatan (RM450 juta), pertanian (RM7.74 juta) dan pelancongan (RM6 juta), yang dijangka mampu menjana 360 peluang pekerjaan untuk masyarat tempatan.

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) ditubuhkan pada 2007 bagi menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi antara wilayah di Pantai Timur Semenanjung termasuk Terengganu melalui pelaksanaan projek dan program berdaya maju dan mampan.


Sebelum ini,  Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata negeri itu juga mendapat manfaat  daripada ECER apabila Kelantan telah menarik pelaburan swasta sebanyak RM12.2 bilion sejak 2007 hingga September tahun ini.

Ahmad berkata, ia merupakan 14.7 peratus daripada pelaburan terkumpul ECER dan mewujudkan 12,555 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Ia secara langsung membantu membangunkan tahap sosio ekonomi dan ekonomi modal di negeri ini, selaras dengan matlamat ekonomi berteraskan rakyat yang inklusif dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pengarah Urusan Mitra Food Industries Sdn Bhd, Roslaimi Arifin dengan Pengarah Zhuolon (Nanning Guangxi) Co Ltd, Xie Xiaoyu dari China di pejabat ECER Kelantan di Kota Bharu, 8 November lalu.


Ahmad berkata, antara pelaburan di Kelantan sejak 2007 sehingga kini melibatkan RM2.2 bilion bagi pembinaan kilang simen bersepadu di Gua Musang oleh ASN Cement Industries Sdn Bhd dan Biz Markz Cement Industries Sdn Bhd yang telah mewujudkan 515 peluang pekerjaan.

"Kelantan turut menerima komitmen pelaburan daripada Tok Bali Supply Base Sdn Bhd yang mengendalikan Pangakalan Bekalan Tok Bali dengan jumlah pelaburan RM200 juta dengan 350 peluang pekerjaan diwujudkan.

"Di samping itu, Permodalan Nasional Berhad turut melabur sebanyak RM125.46 juta untuk membina Hotel Perdana di sini," katanya.

Sementara itu, Jebasingam berkata, mana-mana pihak yang ingin melabur di bawah ECER perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu pelaburan mestilah mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan melahirkan usahawan.

"Ia sekali gus mampu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat dan setakat ini, saya berpuas hati dengan kejayaan program yang kita lakukan dengan kerjasama baik daripada kerajaan negeri mahu pun pihak swasta," katanya.

No comments:

Post a Comment