"Tindakan melepaskan aset strategik negara kepada pihak asing mungkin membawa masalah yang lebih besar pada masa hadapan...dalam kerangka yang lebih besar daripada hanya aktiviti perniagaan semata-mata, negara terdedah kepada ancaman terhadap kelangsungan keselamatannya jika aset strategik seperti itu berada dalam penguasaan orang asing."
Apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan
menyatakan kebimbangannya dengan cadangan syarikat pelaburan strategik negara,
1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu menjual 13 aset tenaga Edra Global
Energy Berhad (Edra) kepada firma milik asing, janganlah pula beliau dianggap
menyanggah kepimpinan utama negara.
Sebagai orang yang berpengalaman dalam perniagaan, sudah pasti
Mohamad mempunyai pandangan dan sebab tersendiri menyatakan demikian.
Jangan ada pula ‘lembu dan kambing yang dok makan rumput hasil
isu 1MDB’ cuba mengadu domba apa yang cuba diketengahkan oleh Mohamad.
Sebagai pemimpin UMNO dan negeri, Mohamad memahami apa yang
sedang dihadapi oleh 1MDB.
Amat nyata, walaupun memahami 1MDB mengalami tekanan hebat untuk
melaksanakan cadangan berkenaan, beliau berkata, tindakan melepaskan aset
strategik negara kepada pihak asing mungkin membawa masalah yang lebih besar
pada masa hadapan.
Mohamad memberikan pandangannya dengan mengatakan, dalam
kerangka yang lebih besar daripada hanya aktiviti perniagaan semata-mata,
negara terdedah kepada ancaman terhadap kelangsungan keselamatannya jika aset
strategik seperti itu berada dalam penguasaan orang asing.
“Saya bukanlah seorang yang anti kepada perniagaan yang
dilakukan oleh orang asing tetapi cadangan seperti ini secara umumnya tidak
baik untuk negara ini. Secara peribadi saya meminta 1MDB, Kementerian Kewangan
dan kerajaan agar memikirkan semula secara masak-masak dan banyak kali cadangan
untuk melepaskan aset tenaga ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Seremban semalam.
Beliau terdorong membuat ulasan itu selepas membaca laporan di
Utusan Malaysia semalam mengenai 1MDB yang dijangka mengumumkan satu
daripada tiga firma asing sebagai pemenang bida untuk mengambil alih 13 aset
tenaga Edra miliknya yang bernilai RM10 bilion
atau AS$2.3 bilion.
1MDB melakukannya dalam usaha mengurangkan hutang piutang
syarikat tersebut.
Menurut satu sumber, firma tenaga berpangkalan di Arab Saudi,
ACWA Power International dan Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar dikatakan berada di
hadapan dalam senarai empat pembida, bersama satu lagi entiti asing dan juga
firma tenaga tunggal dari Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Lebih membimbangkan ujar sumber industri itu lagi, penjualan
Edra kepada entiti asing akan menutup peluang kepada vendor-vendor tempatan
termasuk Bumiputera yang telah berjaya dibimbing selama ini.
1MDB pada asalnya, mengumumkan rancangan untuk menyenaraikan
perniagaan tenaganya pada Julai 2014, untuk menjana dana sebanyak RM11 bilion.
Sebahagian daripada dana itu bertujuan untuk membayar balik
hutangnya yang menggunung kepada RM42 bilion setakat 31 Mac 2014.
Menurut laporan, 1MDB harus membayar antara RM2.4 bilion
hingga RM2.7 bilion setahun dari segi faedah pinjaman.
Rancangan tersebut bagaimanapun, telah dibatalkan dengan 1MDB
memutuskan untuk menjual kepentingannya dalam Edra.
Aset Edra terdiri daripada lima loji jana kuasa tempatan dan
lapan antarabangsa termasuk di Bangladesh dan Mesir selain merupakan yang kedua
terbesar di Malaysia selepas Malakoff Corp Bhd. Syarikat kerajaan itu juga
mempunyai asetnya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan di Pakistan menerusi
syarikat usaha sama.
Keseluruhannya Edra memiliki kapasiti penjanaan tenaga sebanyak
5,500 MegaWat yang dianggarkan bernilai RM10 bilion oleh bank-bank.
1MDB sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Pembelian dan
Penjualan Saham (SSPA) dengan TNB untuk mengambil alih 70 peratus kepentingan
di dalam Jimah East Power Sdn. Bhd. (JEP), yang dimiliki 1MDB dengan nilai
RM46.98 juta.
Bagi Mohamad, walaupun jangka masa keputusan bidaan hampir
dibuat (atau sudah dibuat), Menteri Besar Negeri Sembilan itu tetap berharap
TNB adalah pihak yang paling tepat dan sesuai diberi kepercayaan mengambil alih
aset-aset berkenaan walaupun tawaran yang dikemukakan oleh syarikat utiliti
kebangsaan itu.
Tidak mengapalah mungkin lebih rendah sedikit berbanding firma
lain tetapi Mohamad percaya jika aset itu dimiliki oleh TNB, semua pihak
terutamanya rakyat akan menikmati faedah yang lebih terjamin kerana aset
berkenaan adalah milik tempatan.
Beliau menarik perhatian, pada masa yang sama, orang ramai perlu
mengetepikan sentimen buruk terhadap TNB atau 1MDB sekiranya syarikat utiliti
kebangsaan itu diberikan kepercayaan mengambil alih aset-aset berkenaan.
“Sejauh mana pun kita mungkin membenci 1MDB tetapi dalam hal ini
kita kena berfikir secara rasional dan meletakkan kepentingan negara lebih atas
daripada kebencian kita itu. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku, mari kita
bergerak ke hadapan dan tidak menilai setiap perkara berdasarkan sentimen
semata-mata,” ujarnya.
Tabik kepada Mohamad kerana berani menyuarakan pandangan dan
tidak bimbang dengan kemungkinan akan dikenakan’ tindakan’ atau ‘hukuman’
kerana suaranya itu.
Inilah pemimpin yang berani menyuarakan pandangan untuk rakyat
bukan jenis yang berkokok berdentam-dentum tetapi kokoknya itu demi kedudukan
diri dan peribadi.