Wednesday, October 14, 2015

Pemimpin PAS, UMNO Perlu Cari Persamaan, Bukan Perbezaan...

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...


"Sebaik-baiknya, pada tahun baru Hijrah ini, PAS dan UMNO menilai semula hubungan mereka. Jangan kerana dendam,kebencian, kepentingan peribadi dan politik, sesama Islam terus berpecah."

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali –sehari sebelum Maal Hijrah 1437 - menegaskan PAS tetap tidak akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO, juga Pakatan Harapan.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS hanya akan kekal bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sahaja.

"Pada waktu ini, dari segi politiknya kita hanya bekerjasama dengan PKR. Kita tidak langsung ada kerjasama dengan Pakatan Harapan dan juga UMNO," katanya pada sidang media selepas pertemuan hampir dua jam antara PAS dan Pertubuhan Pribumi Perkasa di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur semalam.


Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.


Alhamdulilah, pertemuan itu setidak-tidaknya antara sebuah NGO ‘Islam’ dan parti ‘Islam’.

Amat nyata bagi PAS, UMNO tetap musuhnya, apa lagi Amanah.

Kita faham dengan Amanah – serpihan PAS yang terpaksa berjuang di landasan lain kerana tidak lagi boleh bersama kepemimpinan PAS selepas Muktamar terakhir parti berkenaan.

Namun dengan UMNO, sebagai ‘musuh dan rakan’ yang berada dalam satu pakatan – Barisan Nasional- pada awal 1970-an, selama mana lagikah PAS merasakan UMNO sebagai saingan utamanya.

PAS sebenarnya tidak jelas ‘memusuhi UMNO’ selain saingan mereka dalam pilihan raya.


Ada pemimpin PAS yang agak berlembut dan ada yang sampai tak boleh bersua muka.

Apapun bagi pemimpin PAS, khususnya Mustapa sendiri, kenapa mencari kelainan atau perbezaan dan tidak kepada persamaan.

Kalau PAS dan Perkasa sudah tidak boleh duduk bersama lagi dengan DAP, UMNO lagilah.


DAP dilihat bukan sahaja menentang kepimpinan Melayu dan Islam, sebaliknya dasar-dasarnya sangat dipersoalkan oleh orang Melayu dan Islam.

Cuma mungkin UMNO tidak boleh duduk semeja dengan PKR yang dianggap ‘rakan politik’ oleh PAS.

Selain perkara sedemikian, beberapa perkara ini hendaklah direnungi bersama:

1. PAS berjuang untuk Islam, UMNO berjuang untuk Islam dan menjamin kedudukannya dalam Perlembagaan;

2. PAS berjuang untuk orang Melayu Islam, UMNO juga berjuang untuk kepentingan orang Melayu Islam;

3. PAS melindungi bukan Islam, UMNO juga melindungi bukan Islam – melalui UMNO khususnya di Sabah dan melalui Barisan Nasional secara menyeluruh;

4. PAS mahu menegakkan syariat Islam, UMNO juga melakukan yang sama;

5. PAS taat kepada Raja-Raja Melayu, UMNO juga melakukan yang sama dan membentuk Perlembagaan untuk menjamin kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu;

6. PAS mempertahankan Bahasa Melayu, UMNO memperjuang dan menjamin ia menjadi Bahasa Rasmi negara;

7. PAS menyokong Perkara 153 Perlembagaan, UMNO membantu merangka dan mempertahankannya;

Banyak lagi persamaan yang tidak perlu diperkatakan, jika mahu melihat persamaan.

Yang membezakan hanya dua tiga perkara membabitkan politik dan kuasa yang jika dihalusi ia bukanlah suatu perbezaan ketara.

PAS pernah perintah Kedah dan masih kuat di sana, PAS pernah perintah Perak dan masih kuat di sana. PAS berusaha kembali memerintah di Terengganu selepas dua kali berkuasa pada 1959 dan antara 1999- 2004 yang menunjukkan orang Melayu sebenarnya memberikan undi bergantung kepada keadaan semasa.

UMNO pernah menang di Kelantan dan kini diperintah oleh PAS. Pada pilihan raua umum 2008, PAS hanya menang dengan satu kerusi dan kelebihan satu undi. Maknanya tidak jauh perbezaan PAS dengan UMNO.

Di Selangor, sekiranya PAS memilih UMNO bukan PKR, mungkin suasana politik di negeri itu akan jauh berbeza.

Di Kelantan dan Terengganu, ada penyokong PAS dan ada penyokong UMNO dalam satu rumah. Malah ada suami isteri yang berlainan parti tetapi berkeluarga dengan aman dan bahagia.

Sebaik-baiknya, pada tahun baru Hijrah ini, PAS dan UMNO menilai semula hubungan mereka. Jangan kerana dendam,kebencian, kepentingan peribadi dan politik, sesama Islam terus berpecah.

Islam menyuruh kita bersatu dan mengambil persamaan bukan perbezaan berterusan yang kelak akan merugikan umat Islam.

Bermuhasabah dan bersatulah umat Islam di Malaysia dan jauhkan kebencian berasaskan perbezaan yang begitu tipis.

Kita bukan banyak kelompok dan mazhab seperti di sesetengah negara.

Melayu Islam di Malaysia adalah pengikut SunnahWaljamaah. Kita tegakkan Islam berdasarkan Al-Quran dan hadis yang sahih dengan pemahaman para sahabat, tabi'in, dan tabi'ut tabi'in. Rasul kita Muhamad dan hanya Allah yang Satu.

Berdamai dan carilah persamaan dalam hubungan seharian dan politik kita!

Oleh Hambali Abdul Latiff

Sunday, October 11, 2015

Tembakan Terhadap Alias Ada Kaitan Dengan Kes Tembakan Sepupunya?


“Polis Terengganu setakat ini belum mendapat motif khusus berhubung insiden tembakan itu dan sedang mengkaji dari pelbagai sudut termasuk hal-hal peribadi, perniagaan dan hutang serta tugas mangsa sebagai pengamal undang-undang.”


Polis Terengganu menolak kemungkinan motif pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat Alias Abdullah berunsur politik.
 
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, bagaimanapun siasatan dari semua aspek sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca utama kejadian yang melibatkan mangsa yang juga seorang peguam.
 
Polis turut menyiasat sama ada kes kematian bekas ADUN Alor Limbat yang dipercayai ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat mempunyai kaitan dengan kematian sepupunya yang turut ditembak sebelum ini.

"Polis juga sedang menyiasat sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan kes tembakan yang melibatkan seorang pesara guru yang juga merupakan sepupu kepada mangsa pada Ogos lalu," kata Rosli.

Pesara berkenaan Mat Jusoh Ali, 56, maut dipercayai terkena tembakan jarak jauh di kawasan rumahnya di Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden tersebut dilakukan pihak yang sama namun menggunakan senjata berbeza.

"Jika kita lihat, kedua-dua kes berlaku pada tarikh sama (iaitu 9 Ogos dan 9 September)," katanya dan menambah pihak polis menubuhkan pasukan bagi menjalankan siasatan terperinci dan mencari petunjuk bagi kes berkenaan.


Katanya, seramai 10 individu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan jiran Alias dipanggil bagi memberi keterangan.

Rosli berkata kes tersebut memang dirancang terlebih awal.

Polis Terengganu setakat ini belum mendapat motif khusus berhubung insiden tembakan itu dan sedang mengkaji dari pelbagai sudut termasuk hal-hal peribadi, perniagaan dan hutang serta tugas mangsa sebagai pengamal undang-undang.
 
"Kita sedang mengkaji dan menjalankan siasatan terperinci merangkumi pelbagai sudut namun kita percaya kejadian ini tidak berkaitan dengan politik," kata Rosli hari ini.

Menurutnya satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dan mengesan kedua-dua suspek yang terlibat dalam kes tembakan tersebut dan pihak polis juga yakin kedua-dua suspek masih berada dalam negara.

Pada Jumaat, Alias, 51, maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.
   
Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.
   
Susulan kejadian itu, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payung oleh jiran mangsa untuk diberikan rawatan kecemasan sekitar 2.15 petang, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
   
Rosli berkata, suspek yang memakai topi keledar berwarna merah dan bervisor itu terus melarikan diri ke bahagian hadapan rumah di mana terdapat seorang lagi rakan suspek yang sedang menunggu di atas motor jenis Honda EX-5 berwarna hitam dan terus memecut laju ke jalan utama.
   
Jelasnya polis percaya suspek yang melepaskan tembakan itu berkemahiran tinggi menggunakan senjata api dan hasil daripada kelongsong peluru yang dijumpai, suspek menggunakan senjata jenis revolver .38.
   
Namun, katanya, sehingga kini masih tiada tangkapan dilakukan.