Sunday, October 11, 2015

Tembakan Terhadap Alias Ada Kaitan Dengan Kes Tembakan Sepupunya?


“Polis Terengganu setakat ini belum mendapat motif khusus berhubung insiden tembakan itu dan sedang mengkaji dari pelbagai sudut termasuk hal-hal peribadi, perniagaan dan hutang serta tugas mangsa sebagai pengamal undang-undang.”


Polis Terengganu menolak kemungkinan motif pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat Alias Abdullah berunsur politik.
 
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, bagaimanapun siasatan dari semua aspek sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca utama kejadian yang melibatkan mangsa yang juga seorang peguam.
 
Polis turut menyiasat sama ada kes kematian bekas ADUN Alor Limbat yang dipercayai ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat mempunyai kaitan dengan kematian sepupunya yang turut ditembak sebelum ini.

"Polis juga sedang menyiasat sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan kes tembakan yang melibatkan seorang pesara guru yang juga merupakan sepupu kepada mangsa pada Ogos lalu," kata Rosli.

Pesara berkenaan Mat Jusoh Ali, 56, maut dipercayai terkena tembakan jarak jauh di kawasan rumahnya di Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden tersebut dilakukan pihak yang sama namun menggunakan senjata berbeza.

"Jika kita lihat, kedua-dua kes berlaku pada tarikh sama (iaitu 9 Ogos dan 9 September)," katanya dan menambah pihak polis menubuhkan pasukan bagi menjalankan siasatan terperinci dan mencari petunjuk bagi kes berkenaan.


Katanya, seramai 10 individu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan jiran Alias dipanggil bagi memberi keterangan.

Rosli berkata kes tersebut memang dirancang terlebih awal.

Polis Terengganu setakat ini belum mendapat motif khusus berhubung insiden tembakan itu dan sedang mengkaji dari pelbagai sudut termasuk hal-hal peribadi, perniagaan dan hutang serta tugas mangsa sebagai pengamal undang-undang.
 
"Kita sedang mengkaji dan menjalankan siasatan terperinci merangkumi pelbagai sudut namun kita percaya kejadian ini tidak berkaitan dengan politik," kata Rosli hari ini.

Menurutnya satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dan mengesan kedua-dua suspek yang terlibat dalam kes tembakan tersebut dan pihak polis juga yakin kedua-dua suspek masih berada dalam negara.

Pada Jumaat, Alias, 51, maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.
   
Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.
   
Susulan kejadian itu, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payung oleh jiran mangsa untuk diberikan rawatan kecemasan sekitar 2.15 petang, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
   
Rosli berkata, suspek yang memakai topi keledar berwarna merah dan bervisor itu terus melarikan diri ke bahagian hadapan rumah di mana terdapat seorang lagi rakan suspek yang sedang menunggu di atas motor jenis Honda EX-5 berwarna hitam dan terus memecut laju ke jalan utama.
   
Jelasnya polis percaya suspek yang melepaskan tembakan itu berkemahiran tinggi menggunakan senjata api dan hasil daripada kelongsong peluru yang dijumpai, suspek menggunakan senjata jenis revolver .38.
   
Namun, katanya, sehingga kini masih tiada tangkapan dilakukan.

No comments:

Post a Comment