Empat bekas pemain bola sepak
pasukan T-Team HARI INI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas pertuduhan memberi keterangan palsu berhubung kes mengatur perlawanan
antara T-Team, Terengganu, Pahang dan Selangor pada 2014.
Keempat-empat tertuduh, Mohd Hafiz Mohd Noor, 26;
Muhammad Shafiquddin Ibrahim, 25; Mohd Nazmeer Hisham Mohammad, 25 dan Mohd
Hanifzam Muda, 26, didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa prosiding di
Mahkamah Sesyen 3, Kuala Terengganu, antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari,
6 Mei 2014.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27(2)
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah
seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan keempat-empat tertuduh boleh
dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda sehingga RM100,000
atau kedua-duanya.
Hakim Mohd Azhar Othman kemudian membenarkan tertuduh
diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Beliau kemudian menetapkan 17 Mei depan bagi lantikan
peguam dan sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM Amer
Abu Bakar Abdullah.
No comments:
Post a Comment