Saturday, April 23, 2016

DUN Terengganu Goyah - Raja Bahrin atau Malaysia Dateline Sengaja Reka Cerita?


Oleh Hambali Abdul Latiff

Sudah tiba masanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi dan ADUN Ajil melakukan sesuatu untuk membersihkan dirinya dengan fitnah terbaru terhadap mereka.

Laporan blog Malaysia Dateline semalam yang menyebut Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu kini tergantung dan menteri besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman disaran tidak membiarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terus dalam keadaan sedemikian, juga suatu tuduhan kepada menteri besar berkenaan.

Malah, blog berkenaan (kononnya) memetik sumber dari Terengganu memberitahu, seramai dua ADUN  akan menyertai Ahmad untuk mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas. Jika keadaan ini berlaku, ia akan menjadikan BN 14 kerusi, pembangkang (15) dan bebas (3).

“Saya percaya Ahmad tidak keseorangan dalam gerakannya. Mesti ada dua tiga orang yang akan ikut beliau dan menjadikan DUN Terengganu sangat tidak menentu. Keadaan di Terengganu masih tidak menentu dan hanya menunggu masa sahaja,” kata sumber berkenaan.

Ulasan seperti ini sudah lama didengar. Sehingga kini tiada kebenarannya. Dua ADUN berkenaan sebelum ini turut menyatakan sokongan mereka kepada Ahmad Razif.

Kerana itu, adalah baik jika dua ADUN berkenaan menyatakan pendirian mereka sekali lagi dengan menafikan ‘tuduhan’ ini.

Jika ia fitnah, laporkan sahaja kepada pihak berkuasa mengenai blog dan penulisanya (Hazayani Zakaria) yang ternyata menyebar dan memfitnah mereka.
Ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pula dipetik sebagai berkata, Razif perlu menimbangkan untuk membubarkan DUN kerana kedudukan kerusi DUN antara BN dan pembangkang di negeri itu hampir sama selePAS bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan undi tidak percaya ke atasnya awal Mac lalu.

Ketika itu, BN hanya melebihi pembangkang sebanyak dua kerusi iaitu 17 manakala pembangkang 15 kerusi.

Namun pada 8 Mac lepas, Ahmad mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada persidangan DUN namun ditolak Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zubir Embong.

Menurut blog berkenaan, apabila Ahmad mengemukan usul undi tidak percaya itu bermaksud dia sudah hilang kepercayaan kepada menteri besar sekarang dan secara automatik dia dianggap wakil rakyat pembangkang.

“Ini menjadikan kerusi BN dan pembangkang sama iaitu 16-16. Keadaan ini sangat tidak stabil dan akan mempengaruhi pentadbiran negeri Terengganu,” kata Raja Kamarul Bahrin kepada Malaysia Dateline.

“Kesan tindakan itu, Ahmad Razif  menarik balik peruntukan kawasan DUN Kijal daripada Ahmad pada akhir Mac lalu. Peruntukan DUN Kijal kini diuruskan pejabat Menteri Besar, sekaligus memperlihatkan layanan yang diterima Ahmad kini sama seperti di kawasan pembangkang di negeri itu, “ menurut blog berkenaan.

Satu lagi fitnah nyata oleh blog dan penulis ini ialah secara tidak bertanggungjawab memetik berita palsu yang sudahpun dinafikan oleh Bernama dan PAS sendiri.

Blog ini melaporkan, PAS dilihat sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri Terengganu dalam masa terdekat. Parti itu dilapor mengadakan pertukaran besar-besaran kepada calon-calon yang akan bertanding termasuk menukar semua wakil rakyatnya di kawasan Kuala Terengganu.


Menurut blog berkenaan, laporan Bernama 19 April lalu, di Kuala Terengganu, semua penyandang di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan digugurkan iaitu Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Batu Burok) dan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang).

Muka baru yang ditampilkan, Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Ahmad Amzad Hashim (Bandar), Dr. Mohamad Khazani Abdullah (Batu Burok) dan pendakwah, Wan Sohor Bani Leman (Ladang).

Sebaliknya, Bernama melaporkan pada 20 April lalu, pihaknya sudahpun  membuat laporan polis berhubung penyebaran berita palsu mengenai politik Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu oleh Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah.

Zalina Maizan berkata berita palsu bertajuk 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri' itu disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak 19 April lalu. Beliau dimaklumkan bahawa ia telah diviralkan dalam kalangan pemimpin UMNO negeri.

"Keadaan sebegini telah dua kali berlaku. Bezanya cuma olahannya mengenai parti pembangkang iaitu PAS dan yang sebelumnya melibatkan UMNO. Kes ini akan disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti individu yang melakukan perkara itu bagi mengelak ia terus berlaku dan menjadikan Bernama sebagai sumber berita bagi kepentingan peribadi.

Sudah-sudahlah menganggu-gugat UMNO dan BN Terengganu!!!

No comments:

Post a Comment