Dua fokus utama diberi dalam pelaksanaan projek
akuapolitan, kata Menteri Besar Haji Ahmad Razif Abd Rahman.
Pertama, projek di laut melibatkan ternakan ikan dalam sangkar, lobster dan ketam nipah manakala di daratan, akan diwujudkan kilang pemprosesan hasil laut, restoran, pasar ikan dan muzium maritim.
"Ini secara tidak langsung akan mewujudkan satu lagi daya tarikan pelancong ke Terengganu untuk melihat sendiri satu pusat penempatan nelayan dengan hasil laut segar yang diwujudkan secara terancang dan sistematik.
"Apa yang menarik, kita bercadang untuk buat pasar ikan mengikut konsep yang digunakan di Sydney, Australia.
"Di pasar itu akan di titikberatkan dari segi kebersihan malah kewujudan restoran di dalam pasar ikan akan memudahkan orang ramai untuk memilih hasil laut dan diproses (dimasak) mengikut kehendak mereka," katanya kelmarin.
Ahmad Razif bercakap kepada pemberita selepas program gotong-royong Puspanita, Kementerian Pengangkutan dan IM4U Bersama Penduduk Kampung Batin di Seberang Takir kelmarin (13 Mei 2015).
Projek akuapolitan itu pertama kali diumumkan beliau dalam majlis Penyerahan Bantuan Banjir Gelombang Kedua dan Penyampaian Kunci Rumah Mampu Milik di Dataran Permata, Seberang Takir dekat Kuala Terengganu, kelmarin.
"Buat permulaan, 500 keluarga nelayan akan menyertai program perintis itu di kampung Seberang Pak Abu dekat Seberang Takir yang akan dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) .
"Projek yang menelan belanja RM180 juta itu akan dilaksanakan secara dua fasa bermula tahun ini.
"Untuk fasa pertama, kita akan bangunkan tanah seluas lapan hektar di Kampung Seberang Pak Abu manakala bagi fasa kedua akan dibina kemudahan termasuk perumahan untuk nelayan, seluas lebih satu hektar di Kampung Batin.
"Pemilihan peserta juga akan dibuat pada tahun ini dan mereka akan diberi kursus yang berkaitan sebelum memulakan projek Sea-Felda pada tahun kedua (2017)," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar tentang gejala pil kuda yang semakin berleluasa di Pantai Timur termasuk Terengganu, Ahmad Razif berkata perkara itu memerlukan penguatkuasaan lebih ketat dari agensi berkaitan, bukan sahaja di darat tetapi juga di laut.
"Ini kerana pengedaran pil kuda turut membabitkan golongan nelayan dan urusan itu dilakukan di laut...jadi sudah tentulah penguatkuasaan perlu diperhebatkan agar ia tidak lagi diseludup masuk ke negeri ini.
"Bagi kerajaan negeri pula, agensi berkaitan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu turut turun padang dengan membantu keluarga yang mempunyai penagih ini, dari pelbagai sudut termasuk kaunseling agar penagih pil kuda dapat dipulihkan," katanya.
No comments:
Post a Comment