Jangan cepat naik angin dan marah.
Ada berbagai pendapat apabila kerajaan negeri mengambil
keputusan untuk menamatkan jawatan Kluster yang diwujudkan pada September tahun
lalu.
Kerajaan negeri memang semakin kering kantongnya. Tetapi
mungkin ada sebab lain yang tidak diumumkan.
Walaupun ia tindakan wajar dalam konteks kewangan negeri
tetapi jika jawatan itu penting untuk Menteri Besar dan Kerajaan Negeri, kenapa
perlu jawatan Kluster dihapuskan?
Ketika diwujudkan, bagi mereka dilantik menganggap mereka ‘tuan
penasihat’ kepada Menteri Besar dan orang penting kepada politik dan kerajaan.
Apakah Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman tidak memerlukan khidmat mereka
lagi?
Penamatan yang dijangka berkuat kuasa esok, iaitu tiga
bulan sebelum tempoh kontrak berakhir bagaimanapun tidak diketahui untuk semua kakitangan atau
sebahagian.
Dengan kata lain, jumlah kakitangan kontrak yang terlibat belum diketahui.
Dengan penamatan ini, dijangkakan ramai ‘penasihat’
Menteri Besar akan kehilangan kerja dan pendapatan. Mungkin sambutan puasa dan
Hari Raya Aidilfitri tahun ini suram bagi mereka.
Jawatan Kluster diwujudkan Menteri Besar selepas mengambil alih pentadbiran negeri dua tahun lalu.
Setiap kluster dipertanggungjawabkan portfolio berbeza, iaitu
agama, politik, pendidikan, pelancongan, pelaburan dan media.
Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan orang
persaorangan yang dianggap ‘mampu menyumbang kepada Menteri Besar’ dalam
pelbagai bentuk dilantik secara kontrak memegang jawatan itu.
Mereka dibayar insentif bulanan sebanyak RM5,000 sebulan.
Kluster ini turut dipertanggungjawabkan untuk membantu
menjamin program Tansformasi Terengganu Baharu (TTB). Persoalannya apakah TTB
kini semakin malap dan tanpa seri lagi?
Atau mereka ini gagal untuk mempromosikan Menteri Besar
dan TTBnya?
Laporan BeritaHarian hari ini memetik seorang bekas kluster yang enggan namanya disiarkan
berkata, surat penamatan jawatan kluster itu diterima Ahad lalu.
Katanya, berdasarkan kontrak yang ditandatangani pada
September tahun lalu, kontrak itu sepatutnya tamat pada September depan.
"Kami diberitahu bahawa penamatan kontrak itu
bertujuan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
"Kami berharap Menteri Besar dapat melanjutkan
tempoh perkhidmatan sehingga September ini seperti perjanjian yang
ditandatangani tahun lalu," katanya.
Rasanya belanja untuk membiayai kumpulan kluster ini tidaklah begitu berat bagi kerajaan negeri jika beberapa peruntukan lain dipotong atau dikurangkan.
Mereka bertugas untuk membantu imej Menteri Besar dan mengekalkan kepimpinan yang sedia ada sekurang-kurangnya hingga Pilihan Raya Umum akan datang.
tetapi jika Menteri Besar berpendapat sebaliknya, tidak tahulah.
Penamatan pegawai Kluster ini turut mengundang persoalan apakah
mereka tidak diperlukan lagi kerana mungkin ada perubahan politik di Terengganu
dalam masa terdekat?
Ini hanya pertanyaan – jangan marah!!!
Ini hanya pertanyaan – jangan marah!!!
No comments:
Post a Comment