Monday, May 30, 2016

Program Dua Tahun Di Kampus, Dua Tahun Latihan Bekerja, Dilaksana Pada September


Lima buah universiti awam akan mula melaksanakan program yang menetapkan pelajar belajar di kampus selama dua tahun dan dua tahun lagi didedahkan kepada dunia pekerjaan pada September ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata ia dilaksanakan menerusi program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) peringkat ijazah sarjana muda.

"Menerusi program ini, pelajar akan belajar selama dua tahun di kampus dan ditempatkan dalam industri selama dua tahun.

"Kolobrasi ini akan memastikan pelajar didedahkan dengan pengalaman kerja supaya apabila tamat pengajian mereka mudah mendapat tempat dalam industri," katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Program 2u2i di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus, dekat Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Asma Ismail, Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA Tan Seri Datuk Alimuddin Mohd Dom dan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Idris berkata lima-lima universiti itu iaitu UniSZA, Universiti Malaysia Kelantan(UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan melaksanakan 2u2i untuk satu kursus.

"UniSZA akan melaksanakan 2u2i untuk program Produksi dan Kesihatan Haiwan, UMK akan melaksanakan program keusahawanan, UPM akan melaksanakan program Pengurusan Perladangan manakala UTM akan memperkenalkan program Sains Komputer. 

"Kita akan lihat dahulu keberkesanan program 2u2i melalui lima universiti ini dan InsyaAllah program ini juga akan dikembangkan dan dilaksanakan di universiti lain bermula tahun depan," katanya.

Idris berkata menerusi program tersebut beliau yakin kebolehpasaran kerja graduan akan terus meningkat hingga 80 peratus sekaligus dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan.

Sementara itu, Ahmad Zubaidi berkata program 2u2i yang bakal diperkenalkan menerusi kursus Produksi dan Kesihatan Haiwan di universiti tersebut berbeza dengan pelaksanaan universiti lain yang pelajar mula ditempatkan dalam industri sejak semester pertama. 

"Bermula tahun pertama mahasiswa akan didedahkan dengan industri melalui kursus kokurikulum iaitu Sains Ekuin dan kemudian pelajar akan ditempatkan dalam universiti," katanya.

Bagi memastikan kelancaran program 2u2i, UniSZA turut menandatangani memorandum persefahaman dengan lima industri iaitu Kelab Endurance Darul Iman, Terengganu Equestrian Resort, Hijau Akuatik Enterprise, Yun Fook Resources Sdn Bhd dan Touch Milk Sdn Bhd. Pada majlis pemeteraian itu, Ahmad Zubaidi mewakili UniSZA sementara Kelab Endurance Darul Iman diwakili Presidennya Rozi Mamat; Terengganu Equestrian Resort diwakili Pengurus Operasi Mohd Rizwan Tufail Ahmad; Hijau Akuatik Enterprise oleh Pengurusnya Muhammad Zulkarnain Ibrahim; Yun Fook Resources Sdn Bhd oleh Pengarahnya Datuk Yap Yun Fook dan Touch Milk Sdn Bhd diwakili Pengarahnya Datuk Azman Omar.

No comments:

Post a Comment