Friday, May 27, 2016

Tidak Tepuk Tangan Tanda Guru-Guru Tolak Ahmad Razif Sebagai MB?


Ahmad Razif kata ia hanya 'gurauan', Pihak lain kata ia isyarat penolakan guru-guru Terengganu terhadap beliau sebagai  Menteri Besar Terengganu.

Jika gurauan, kenapa Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil perkara itu sebagai sesuatu yang amat serius?

Apakah Pengarah JPNT menganggapnya sebagai ‘teguran’ dan perintah MB itu perlu dilaksanakan segera? Apakah kerana beliau terhutang budi dengan Menteri Besar berkaitan perlantikannya ke jawatan berkenaan?

Bagi Ahmad Razif Abdul Rahman, arahan meminta guru-guru mengadakan latihan tepuk tangan hanyalah “satu gurauan”.

Beliau menafikan laporan bahawa beliau mengarahkan guru-guru di Terengganu untuk menjalani latihan tepukan.

Perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana guru-guru di negeri itu sudah dianggap beliau bagai rakan sendiri.

“Tidak payah panjangkan kerana saya bergurau sahaja kepada guru-guru. Kebanyakan cikgu-cikgu khususnya di Terengganu adalah rakan-rakan saya. Tidak tahu pula jadi macam ini,” katanya, yang pernah bertugas sebagai guru dan pensyarah institut perguruan.

Namun lain pula tanggapan pihak lain. Insiden ini digambarkan sebagai penolakan masyarakat terhadap Ahmad Razif sebagai Menteri Besar ternyata terserlah.

NGO PAS Terengganu berkata, kebiasaannya warga guru bukanlah jenis yang suka tunjuk boikotnya dalam majlis-majlis kerajaan. Jika mereka bencikan kerajaan Umno BN, mereka jadi ‘silence voters’.

“ Tetapi fenomena sekarang, guru-guru berani bersuara dalam facebook, di kedai-kedai kopi, terkadang di pejabat secara terang-terangan. Saya punya ramai kenalan guru yang boleh jadi bukti dan saksi, “ kata Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI, yang mirip kepada PAS, WanMohd Faizul Wan Abas (baca selanjutanya tulisan beliau di bawah):

Sebelum itu Malaysia Dateline melaporkan dengan tajuk “Kerana malukan MB Terengganu, semua cikgu diarah belajar tepuk tangan” kononnya menggambarkan kekecewaan Menteri Besar ekoran kegagalan guru-guru bertepuk tangan ketika beliau berucap sempena sambutan hari guru peringkat negeri 24 Mei lalu.

Berikutan itu, semua guru-guru di negeri itu diarah berlatih tepuk tangan dan arahan dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin melalui sistem pesanan Whatsapp yang kemudiannya di print skrin dan menjadi viral.

"Saya sudah sampai rumah tetapi otak saya masih terkial-kial (mendengar) kata YAB MB tentang cikgu-cikgu kita yang tidak tepuk tangan kepada YAB MB. Saya minta esok tolong buat latihan tepuk tangan selama 5 minit untuk membiasakan tepuk tangan di kalangan guru-guru.cSetiap perhimpunan pun latih mereka tepuk tangan dengan tunjukkan bukti bergambar kepada saya. Mohon tindakan tuan puan, tiada pengecualian," tulis Shafruddin dalam arahan itu dengan disambut oleh pegawai-pegawai kanannya akan dilaksanakan segera.

Ekoran arahan itu, pelbagai video dan gambar dipaparkan dalam laman sosial bagaimana guru-guru di Terengganu belajar tepuk tangan.

Shafruddin semalam menjelaskan, JPNT memperkenalkan budaya salam, budaya berterima kasih dan budaya menghargai kepada sesiapa yang memberi sesuatu dengan tepukan.
Menurutnya,  budaya yang sudah diwarisi sejak zaman-berzaman itu segar dalam amalan hidup ke arah kesejahteraan bermasyarakat.

Malah, katanya beliau bertanggungjawab kepada pendidik dan pelajar di negeri ini dalam mendidik budaya yang baik, termasuk menerapkan integriti  di kalangan penjawat awam berkenaan supaya ia dapat menjadi teladan kepada pelajar pula.

“Apa yang saya minta cikgu lakukan ianya merupakan satu permintaan dalam kumpulan tertutup (menggunakan aplikasi WhatsApp) antara saya dan pengetua serta guru besar.

“Permintaan guru untuk bertepuk tangan merupakan satu cara untuk menceriakan sesebuah majlis sama ada di dalam ataupun luar sekolah. Mudah-mudahan amalan yang baik ini menjadi ikutan pelajar-pelajar,” katanya kepada pemberita di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu semalam.

Amat nyata kini, apa sahaja yang ada kaitan dengan Ahmad Razif, akan menjadi bahan perbincangan selepas isu penarikan pingat kebesaran oleh Sultan Terengganu, baru-baru ini:


Razif Dijangkiti ‘Badi’ Najib

Oleh Wan Mohd Faizul Wan Abas
Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
25 Mei 2016

Kerajaan Negeri Terengganu sambut Hari Guru semalam di Kompleks Sukan Gong Badak . Guru-guru bercerita bahawa tiada yang tepuk tangan ketika Encik Razif berucap. Beliau dimalukan oleh guru-guru sekolah kerajaan.

Akibatnya, Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu arah semua guru berhimpun hari ini di sekolah masing-masing berlatih tepuk tangan selama 5 minit tanpa pengecualian. Kemudian wajib hantar gambar latihan bertepuk tangan kepada pengarah.

Nampaknya penolakan masyarakat terhadap Razif sebagai Menteri Besar terserlah. Kebiasaannya warga guru bukanlah jenis yang suka tunjuk boikotnya dalam majlis-majlis kerajaan.

Jika mereka bencikan kerajaan Umno BN, mereka jadi ‘silence voters’. Tetapi fenomena sekarang, guru-guru berani bersuara dalam facebook, di kedai-kedai kopi, terkadang di pejabat secara terang-terangan. Saya punya ramai kenalan guru yang boleh jadi bukti dan saksi.
  
Semalam, ada guru KAFA yang bercerita, mereka tidak pergi pun ke program di Hulu Takir semalam walaupun sudah menaiki bas yang disediakan. Dua bas yang membawa guru KAFA diarahkan polis untuk berpatah balik kerana ada isu teknikal, menyebabkan mereka melencong ke tempat lain

 Betapa gembiranya guru-guru KAFA tersebut kerana tidak perlu menghadiri majlis bersama Najib dan Razif.

Jika rakyat Malaysia umumnya sudah menolak Najib, maka nasib Encik Razif juga pun begitu juga.
Justeru, saya rasa insiden-insiden sebegini ini boleh jadi suatu petunjuk bencinya masyarakat umum terhadap Razif khususnya, dan kepada Umno BN umumnya.

Jika ini berlarutan dalam majlis-majlis lain juga, maka saya rasa ada signal kuat supaya kerajaan Umno BN Terengganu patut ditukar sebelum masanya tiba iaitu tidak perlu menunggu PRU14.

Jika mahu pilihan yang lebih baik, maka saya cabar Umno BN desak Najib bubar Parlimen terus!

No comments:

Post a Comment