Suatu usul yang diluluskan Muktamar PAS
pada 13 Jun 1974, mengharuskan parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) “bagi
menegakkan Islam”, disingkap lidah rasmi parti itu Harakahdaily hari ini, ketika
desas-desus kerjasama PAS dan Umno menjadi bahan kempen pilihan raya kecil di
Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Keputusan sayap ulama PAS itu susulan ucapan dasar Yang
Dipertua PAS ketika itu, Datuk Mohd Asri Muda, yang menggariskan sebab PAS
perlu menyertai BN, menurut catatan dalam ruangan “Hari Ini Dalam Sejarah”
laman Harakahdaily hari ini.
Antara lain, beliau berpendapat dengan PAS bersama-sama
BN, ia dapat menjamin “keutuhan kuasa dan pimpinan politik kita” dalam
menghadapi masyarakat majmuk.
BN juga, menurutnya, mempunyai objektif “menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan”, di samping PAS diberikan kebebasan mengekalkan identitinya.
Beberapa bulan sebelum keputusan Dewan Ulama itu, PAS
sudah pun bersetuju turut serta dalam penubuhan BN bagi menghadapi Pilihan Raya
Umum 1974.
“PAS menyertai BN sebagai satu strategi politik antara tahun
1974 hingga akhir 1977 adalah berpandukan keharusan syarak, bukannya bertindak
di atas keperluan politik semata-mata sesuai dengan kedudukan PAS sebagai
sebuah parti Islam,” menurut catatan ketua penyelidik Pusat Penyelidikan PAS,
Mohd Fadli Ghani.
PAS sejak kebelakangan ini dilihat mengubah pendiriannya
mengenai Umno apabila pucuk pimpinan tertinggi parti itu bersetuju menjalinkan
kerjasama lebih erat dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Disember lepas, Najib berkongsi pentas dengan Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila kedua-dua mereka menghadiri
multaqa Universiti Al-Azhar di Kuala Lumpur.
Ia susulan langkah Najib menawarkan kerjasama kepada
parti Islam itu pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas.
Kerjasama kedua-dua parti itu sekali lagi terlihat
apabila Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Hadi bagi pelaksanaan hukum hudud
berjaya dibentangkan di Parlimen bulan lalu, selepas mendapat sokongan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.
No comments:
Post a Comment