Monday, June 13, 2016

Jangan Jual Mercun Di Bazar, Premis Kediaman - Polis Terengganu


Polis Terengganu hari ini memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menjadikan bazar Ramadan dan premis kediaman sebagai tempat untuk menjual mercun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata pihaknya akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan pada musim perayaan ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan penjualan dan membiarkan anak-anak mereka bermain mercun.

Di KUALA LUMPUR, Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membeli mercun yang dijual secara dalam talian kerana penjualannya tidak dibenarkan.

Individu yang menjualnya lebih-lebih sempena hari raya ini boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, penjualannya adalah haram dan merupakan satu kesalahan.

"Namun setakat ini pihak polis masih belum menerima aduan mengenai penjualan mercun secara online, sekiranya ada kami akan mengambil tindakan undang-undang.

"Saya berharap pihak penghantaran seperti Pos Laju dan syarikat penghantar barangan memberi kerjasama dengan polis dalam membanteras perbuatan ini termasuk penyeludupan mercun secara haram," katanya.

Beliau berkata, penyimpanan dan penghantaran mercun-mercun itu juga boleh mendatangkan bahaya kepada pejabat dan petugas yang berkhidmat di syarikat penghantaran.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memberi bantuan teknikal kepada polis dalam kes penjualan mercun menerusi dalam talian sekiranya perlu.

Menurutnya antara bantuan yang boleh diberikan ialah mengenal pasti suspek, kepakaran forensik dan jika perlu menyekat laman sesawang berkenaan.

Tinjauan mendapati sekurang-kurangnya tujuh laman sesawang yang beroperasi menerusi laman web serta laman sosial dan aplikasi telefon pintar WhatsApp dan Instagram.

Laman sesawang berkenaan memuat naik gambar pelbagai jenis mercun antaranya mercun mancis, bola, naga, padi, das, thunder clap dan roket yang dijual antara RM3 sehingga RM260 sekotak bergantung pada saiz.

Tujuh laman terbabit menggunakan nama seperti Mercun Raya 2016, Mercun RAYA 2016 Baru, Bungapi (amp) Mercun@skyblast, Mercun Online Store (mercun_online), mercun_bunga_api_lcm, Kedai Bunga Api Raya dan Mercun Raya.

Modus operandi mereka ialah dengan meminta orang ramai membuat pilihan jenis mercun yang dipaparkan dan kemudian menghubungi mereka untuk membuat tempahan.

Ketika wartawan Bernama menghubungi beberapa laman sesawang tersebut, beliau diminta untuk membuat pembayaran menerusi akaun bank dan diberi pilihan sama ada mahu menerima tempahan secara serahan tangan atau secara pos.

Antara mercun yang ditawarkan ialah mercun bola, mercun naga dan mercun roket yang mengeluarkan bunyi dentuman kuat dan boleh mencederakan orang.


No comments:

Post a Comment