Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu memutuskan bahawa
umat Islam di negeri itu perlu mengambil suntikan vaksin kerana ia suatu proses
pencegahan terhadap penyakit yang boleh membawa kemudaratan pada masa depan.
Ketetapan itu dibuat semasa Jawatankuasa Fatwa Negeri bermesyuarat pada 29 Jun lalu yang dipengerusikan Mufti negeri Datuk Dr Zulkifly Muda dan memutuskan bahawa bahan vaksin yang ada dalam suntikan imunisasi kanak-kanak adalah halal.
"Ini berdasarkan keterangan pakar-pakar kesihatan yang dijemput khas untuk memberi penjelasan mengenainya," kata Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, hari ini.
Dr Mohammad Omar |
Pada 28 Jun lalu, Jabatan Kesihatan Terengganu menyebut, ia merekodkan
peningkatan kes penyakit berjangkit seperti campak, batuk kokol dan Hepatitis B
di Terengganu sejak tahun lalu.
Mengumumkan demikian, Pengarahnya Dr Mohammad Omar
berkata, ini dilihat mempunyai kaitan dengan kadar pertambahan jumlah ibu bapa
yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka.
Beliau berkata, bagi Hepatitis B, Terengganu mencatat 156
kes pada tahun lalu iaitu peningkatan lebih 100 peratus berbanding hanya 66 kes
direkodkan pada 2013.
"Begitu juga dengan batuk kokol, sebanyak 104 kes
dilaporkan berlaku pada 2015 berbanding hanya 29 kes pada 2013 manakala bagi
campak, setakat Mei lalu, sebanyak 38 kes direkodkan di seluruh negeri
berbanding hanya 17 kes pada 2013," katanya.
Mengenai penolakan vaksin, Dr Mohammad berkata, ibu bapa
tidak menerima maklumat yang betul, sebaliknya hanya menerusi maklumat dari
alam maya.
Beliau bimbang kes penolakan ini akan meningkat kepada
300 hingga 400.
Setakat Mac lalu, sebanyak 120 kes penolakan vaksin
direkodkan, katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada 2013, hanya 42 kes
ibu bapa menolak vaksin direkodkan namun ia mula meningkat kepada 192 kes pada
2014 dan 188 kes pada tahun lalu.
"Sehubungan itu, jabatan akan turun padang untuk
memberi penerangan kepada ibu bapa ini mengenai maklumat yang tepat agar mereka
mendapat pemahaman yang betul mengenai vaksin.
"Kita juga akan memperhebatkan kempen mengenai
vaksin ini melalui ceramah, poster dan hebahan melalui media massa,"
katanya.
Pada 18 Jun lalu, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun
meninggal dunia di Melaka akibat difteria dan empat hari kemudian seorang lagi
kanak-kanakberusia dua tahun meninggal dunia di Kedah akibat penyakit sama.
Menurut Kementerian Kesihatan, kedua-dua mangsa tidak
menerima imunisasi yang lengkap dan sempurna.
No comments:
Post a Comment