Thursday, July 21, 2016

Piala Malaysia - Terengganu & Kedah Ceria, - T-Team, Felda United Menggigit Jari

Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) diasak pemain FELDA United, Muhammad Shukor Adan (depan) di  Jengka. 

T-Team dan Felda United berputih mata di tempat sendiri pada ketika Terengganu dan Kedah ceria sementara Selangor kempunan pada saingan Liga Piala Malaysia 2016 semalam.
 Selangor terpaksa berpuas hati dengan hanya satu mata apabila mempersiakan kelebihan tiga gol untuk seri 3-3 dengan Kelantan dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam.

Pasukan pilihan, Felda United berputih mata di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka setelah dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di tangan Terengganu dalam aksi Kumpulan D.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang Norshahrul Idlan Talaha empat minit selepas babak kedua berlangsung.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Felda di anak tangga teratas Kumpulan D dengan tiga mata selepas dua perlawanan, diikuti oleh Melaka, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Pemain T-Team, Patrick Dos Santos Cruz (kanan) cuba dihalang pemain Kedah, Mohd Rizal Ghazali (kiri) di Kuala Terengganu.
Kedah pula mengukuhkan kedudukan mereka di anak tangga teratas Kumpulan A selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ketumpulan jentera serangan memaksa T-Team menggigit jari apabila tunduk di tangan Kedah dalam aksi Kumpulan A. Smelts Shane Edward menjadi wira pasukan pelawat apabila meledak kedua-dua gol pada minit ketujuh dan 15

Sementara itu, strategi penggendali Kelantan Velizar Emilov Popov memasukkan dua pemain gantian menjadi,  apabila kedua-duanya menjaringkan gol untuk membolehkan Kelantan seri dengan Selangor 3-3, di Stadium Shah Alam semalam.

Pemain Selangor, Mohd Raimi Mohd Nor (kanan) cuba menghalang pemain Kelantan, Wan Zack Haikal Wan Masor di Stadium Shah Alam,
Kelantan yang dilihat mahu melakukan kejutan selepas menewaskan Terengganu 6-1 dalam kempen Liga Super minggu lalu terperangkap apabila Selangor menjaringkan dua gol untuk mendahului separuh masa pertama.

Pasukan pelawat membuat pertukaran tepat apabila membawa masuk dua penyerang, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Abdul Manaf Mamat dengan misi memburu gol penyamaan.

Namun, kemasukan Abdul Manaf Mamat menggantikan pemain pertahanan Muhammad Qayyum menyaksikan Popov memang membuat percaturan untuk menggempurkan benteng pertahanan Selangor habis-habisan.

Ditambah dengan ketiadaan permain pertahanan, Ukah yang dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dilihat membuka ruang untuk Kelantan membolosi pertahanan Selangor.

Usaha Kelantan berhasil, apabila Wan Zack tampil dengan sepakan lencong menarik menewaskan Norazlan dari posisi kanan gawang Selangor pada minit ke-73.

Abdul Manaf pula muncul meranapkan harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh dengan jaringan penyamaan pada minit-minit akhir permainan.

Pada perlawanan semalam, minit ke-30 menjadi pemisah kedudukan pabila Mauro Olivi menjaringkan gol pertama Selangor dan bertambah selesa sembilan minit berselang melalui gol Patrick Ronaldinho.

Ketinggalan 0-2, skuad bimbingan Popov yang dilihat menyerlah dengan penguasaan di posisi tengah tetap memberi tentangan sengit.

Pemain import baru mereka, Wander Luiz berjaya merapatkan jurang kedudukan untuk gol pertama Kelantan di minit terakhir separuh masa pertama.

Sementara itu kembali dari bilik persalinan dengan kedudukan 2-1, Selangor dan Kelantan masing-masing tampil dengan aksi lebih seimbang.

Bagaimanapun, Ronaldinho berjaya menjaringkan gol ketiga tuan rumah seawal minit keempat separuh masa kedua untuk kedudukan 3-1.

Hasrat juara bertahan, Selangor untuk meleburkan keghairahan kunjungan pasukan Kelantan tidak kesampaian apabila sekadar seri 3-3 pada saingan kumpulan B Piala Malaysia itu.

Keputusan itu bagaimanapun mengembalikan Selangor ke tempat teratas Kumpulan B, diikuti Kelantan dan pendahulu sementara Kuala Lumpur yang menumpaskan Pahang 2-0 kelmarin.

No comments:

Post a Comment