Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman membuat kejutan
apabila menyenaraikan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam perubahan
portfolio membabitkan enam EXCO Kerajaan negeri, hari ini.
Pelantikan itu dilihat seperti usaha membawa kembali
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijal hampir dengan jentera
eksekutif negeri selepas tiada sebarang jawatan sejak digugurkan sebagai
Menteri Besar pada Mei 2014.
Ahmad yang juga Ketua UMNO bahagian Kemaman ketika
dihubungi enggan mengulas mengenai pelantikan itu.
Mohd Jidin...Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan |
Berdasarkan pekeliling perubahan portfolio dikeluarkan
Pejabat Menteri Besar petang ini, Ahmad dilantik sebagai timbalan kepada bekas
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin
Shafie yang kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan
Tempatan.
Mendahului senarai pertukaran portfolio yang akan berkuat
kuasa Ogos ini ialah Ahmad Razif sendiri yang kini memegang jawatan Perancang,
Kewangan & Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan
Kebudayaan negeri.
Berdasarkan pekeliling pertukaran portfolio EXCO Kerajaan
Negeri, Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir
sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan
& Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli.
Bagaimanapun, tiga EXCO kerajaan negeri iaitu ADUN Kuala
Berang, Datuk Tengku Putera Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan ADUN
Kemasik, Ir Rosli Othman tidak terbabit dalam pertukaran portfolio itu.
Tengku Putera masih kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Perindustrian dan Perdagangan negeri, Rozi kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Belia, Sukan dan Sumber Manusia manakala Ir Rosli sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.
ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie yang sebelum ini
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan dilantik sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala ADUN Jertih, Datuk
Muhammad Pehimi Yusof yang sebelum ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilantik sebagai
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan
Perladangan dan Komoditi.
Turut terbabit dengan pertukaran portfolio itu ialah ADUN
Hulu Besut, Nawi Mohamad apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan, manakala ADUN Bukit
Besi, Roslee Daud dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
ADUN Pengkalan Berangan yang juga Ketua UMNO Bahagian
Marang, A Latiff Awang pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,
Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan, manakala ADUN Ajil, Ghazali Taib
dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas
Khas.
Sementara itu, Mohd Jidin yang juga Ketua UMNO Bahagian
Permaisuri yang akur dengan rombakan pertukaran portfolio itu berkata,
pertukaran portfolio Exco adalah kuasa Menteri Besar.
"Sebagai
pemimpin yang diberi amanah, kita akan laksanakan tugas dengan penuh
tanggungjawab," katanya.
BeritaHarian
BeritaHarian
No comments:
Post a Comment