Saturday, July 23, 2016

Sultan Terengganu Saran Pembaharuan Pentadbiran, Pengurusan Masjid


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru agar pembaharuan dilakukan terhadap pentadbiran dan pengurusan masjid di negeri ini agar peranan dan fungsinya sebagai pusat ibadah, pentadbiran dan kemasyarakatan dapat ditingkatkan.

Baginda bertitah kejayaan sesebuah masjid amat bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsinya yag berjaya dimainkan dalam menarik masyarakat Islam yang tinggal di sekitarnya untuk beribadah dan menggunakan masjid berkenaan untuk mereka membaiki diri sebagaimana yang dituntut.

"Justeru, jawatankuasa masjid termasuk pegawainya perlu diperkasakan dengan merancang beberapa pembaharuan seperti menyusun struktur kerja masjid dengan lebih dinamik dalam meningkatkan prestasi masjid dengan lebih baik," titah baginda.

Tuanku Mizan merasmikan Masjid Al-Islah diKampung Limbongan di Besut semalam..

Turut hadir Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan para anggota Exco.


Masjid yang dibina di atas keluasan tanah 1.6 hektar itu pada 2006 siap empat tahun lepas dengan kos RM7.4 juta.

Sultan Mizan juga bertitah agar pegawai masjid yang dilantik adalah dari kalangan mereka yang boleh bertanggungjawab terhadap merencanakan aktiviti masjid dengan lebih kreatif dalam menghidupkan roh Islam kepada para jemaah.

Baginda juga berharap agar satu koordinasi yang mantap perlu dijalinkan antara jawatankuasa masjid dengan pegawai masjid dalam menghidupkan masjid sebagai institusi keislaman, pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan supaya ia dapat berperanan sebagai pusat rujukan kepada umat Islam keseluruhnnya.

"Dengan pengurusan yang baik masjid boleh menjadi pusat bagi penyelesaian masalah berkaitan anak mukim melalui penubuhan pusat kaunseling, kelas pendidikan agama dan kelas ilmiah sama ada untuk peringkat kanak-kanak maupun orang dewasa," titah baginda.

Sehubungan itu baginda juga berharap agar kerajaan negeri peka dengan kekosongan jawatan pegawai masjid dengan mempercepatkan proses pelantikan mengikut keperluan sesebuah masjid.

No comments:

Post a Comment