Wednesday, August 3, 2016

ADUN Tidak Gembira, Bimbang - Ahmad Rasif Persoal Alasan Ghazali


"Tidak timbul berpihak ... kita UMNO... kita Barisan Nasional. Yang penting kita nak Barisan Nasional kukuh dan UMNO kukuh berpadu dan BN beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Terengganu."
- ADUN Ajil, Ghazali Taib 

Atas alasan apa  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil,  Ghazali Taib membuat kenyataan majoriti wakil rakyat tidak gembira?

Juga apa alasannya majoriti ADUN Terengganu bimbang dengan suasana politik ketika ini?

Sedangkan Ahmad Razif Abdul Rahman tidak melihat ada apa-apa masalah dalam konteks suasana politik politik Terengganu ketika ini. Senario politik baik sahaja!

Kerana itu beliau tegas dengan pendiriannya sebagai Menteri Besar dan tidak memandang serius tentang kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut di Terengganu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata beliau tidak pasti alasan di sebalik kenyataan  Ghazali bahawa majoriti wakil rakyat di negeri ini tidak gembira dan bimbang dengan kebimbangan politik yang mereka hadapi.

Ghazali, yang tidak mahu tindakan disiplin dikenakan terhadap ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, telah menyatakan bahawa kebimbangan itu telah mewujudkan kekeliruan dan senario politik yang tidak stabil.


Semalam, Ahmad Razif berkata Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap Ahmad Said yang didapati lantang menkritik kepimpinan UMNO negeri sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang kini Pengerusi badan berkenaan berkata, ia bagi memastikan setiap anggota parti yang didapati melanggar disiplin dikenakan tindakan tanpa mengira status dan jawatan beliau di dalam parti.

"Kita akan ambil tindakan berasaskan disiplin parti, kalau sesiapa bersalah kita akan ambil tindakan kalau kata saya sendiri bersalah perlu diambil tindakan. Kalau dipecat, itu terpulang kepada Lembaga Disiplin UMNO, kalau dia bersalah, bersalahlah. Kita di peringkat Badan Perhubungan (UMNO Negeri) akan menghantar laporan ke peringkat tertinggi untuk diambil tindakan.

"Ini adalah asas yang perlu didokong oleh parti yang mempunyai prinsip (seperti Umno)," katanya.

Ahmad Razif mengulas mengenai desakan beliau kepada Majlis Tertinggi UMNO supaya memecat Ahmad berikutan tindakannya itu.

Ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, hari ini,  Ahmad Razif memberitahu pemberita bahawa senario politik di negeri ini adalah baik.

"Sebarang isu atau keputusan masa depan akan dibawa dalam mesyuarat kami," katanya selepas mesyuarat EXCO di Kuala Terengganu, hari ini.

Mesyuarat exco hari ini  telah dihadiri oleh Ahmad Razif dan semua sembilan anggota EXCO.

Ghazali pula, ditanya mengenai kenyataannya dalam laporan akhbar hari ini yang menegur pentadbiran negeri pimpinan Ahmad Razif, , berkata ia bertujuan memastikan rakyat merasa keberkesanan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

"Sebagai wakil rakyat yang mendengar suara rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan hasrat rakyat supaya negeri Terengganu, kerajaan negeri Terengganu disegani dan dihormati.

"Teguran dan nasihat kerana ini kerajaan rakyat, jadi rakyat memerlukan yang sempurna bagi perkhidmatan yang terbaik. Kalau saya tak sampaikan bermakna saya telahpun tidak melakukan amanah rakyat," katanya.

Ditanya sama ada kenyataannya itu bermaksud beliau tidak percaya kepada kepimpinan sedia ada, Ghazali berkata: "Tidak! Sekarang ini setiap manusia ada kesilapan ada kelemahan bukan kita sempurna, ada masa kita melihat sesuatu itu secara positif, jika ada yang tak betul maka kita perbetulkan, yang tak elok kita elokkan, yang penting rakyat merasa nikmat perkhidmatan yang terbaik yang kita bagi".

Diminta mengulas sama ada tindakannya itu seolah-olah memihak kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, beliau berkata isu itu tidak timbul kerana teguran dilakukan untuk kebaikan UMNO.

"Tidak timbul berpihak ... kita UMNO... kita Barisan Nasional. Yang penting kita nak Barisan Nasional kukuh dan UMNO kukuh berpadu dan BN beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Terengganu dan kita tak mahu ada rakyat yang rasa kesal mengundi kita kerana kita tak bagi perkhidmatan," katanya.

Apabila ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil ke atas Ghazali, Ahmad Razif berkata, UMNO negeri juga akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti yang lebih tinggi untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

Sebelum ini Badan Perhubungan Umno pernah membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti terhadap beberapa individu yang didapati berpaling tadah pada pilihan raya sebelum ini dan juga pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negeri ini.

"Ini tugas saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Jika kita tidak berani ambil tindakan ia akan jadi berat sebelah dan ini akan menyebabkan kepercayaan anggota Umno yang lain akan tergugat, yang ini kita perlu perkasakan," kata Ahmad Razif.

Ditanya sama ada tindakan itu akan menggugat sokongan anggota parti terhadap beliau, Ahmad Razif berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan situasi itu kerana apa yang penting adalah memastikan disiplin dan peraturan parti dilaksanakan dengan sebaiknya.


"Kalau kita (parti) berani ambil tindakan terhadap bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti, itu bagi saya adalah satu kekuatan dan ini menunjukkan UMNO kini semakin kuat sebenarnya," tegas Ahmad Razif.

Mengenai pendiriannya, Ghazali menafikan desas-desus yang tersebar kononnya beliau akan keluar UMNO.

Baginya beliau akan setia menjunjung amanat parti itu dan mempertahankan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak ada, saya orang Umno... takkan saya nak keluar parti. UUMN akan saya junjung, presiden akan saya pertahankan," katanya hari ini.

No comments:

Post a Comment