“Cadangan pelik, kita bimbang jika dapat kelulusan
kerajaan nanti, penggunaan daun ketum secara tidak terkawal akan memberi lebih
banyak kesan negatif, sekali gus merosakkan masa depan para pelajar dan
golongan muda di negara ini"
– Syed Anuar Syed Mohamad
Syed Annuar...pelik |
Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) membantah
cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk
mengkomersialkan ketum memandangkan tanaman itu berisiko mendatangkan
kemudaratan yang sama seperti bahaya dadah.
Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata,
semua sedia maklum bahawa penggunaan daun ketum lebih banyak memberi kesan
negatif dan kemudaratan berbanding manfaat yang diperoleh.
Oleh itu, pihaknya mencadangkan agar pihak berkenaan,
terutama Kementerian Kesihatan mengkaji dengan teliti bagi membolehkannya
diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
"Kita (Gagasan) tetap tidak bersetuju dengan
pandangan pihak RISDA mengenai perkara ini kerana ketum tidak beri banyak
manfaat dan kebaikan pun.
"Malah kita juga tahu ketum diletakkan di bawah Akta
Racun 52 iaitu sebagai bahan kawalan. Jadi, adalah satu kesalahan apabila
menggunakannya, banyak sangat negatifnya," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Risda agar
pekebun kecil di negara ini diberi kebenaran menanam daun ketum untuk dieksport
ke luar negara bagi membantu meningkatkan pendapatan, selain mengurangkan
kebergantungan terhadap getah.
Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk
Zahidi Zainul Abidin berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan berbincang dengan
kerajaan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
30 Julai lalu di Kuala Terengganu, Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RISDA akan
membentangkan laporan berhubung cadangan mengkomersialkan tanaman ketum oleh
pekebun kecil bagi tujuan eksport ke luar negara esok.
Laporan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat pasca
Kabinet oleh Ketua Pengarah Risda, Mohd. Najib A Samad.
Menurutnya,setakat ini pihaknya tiada perancangan bagi
mengkomersialkan tanaman itu, bagaimanapun laporan Risda akan diteliti terlebih
dahulu sebelum dibawa ke peringkat perbincangan.
"Memang kita tiada agenda untuk menjadikan tanaman
ini sebagai tanaman komersial, namun, untuk berlaku adil kepada RISDA, maka,
saya akan teliti laporan dan kemudian bincangkan.
"Di pihak kementerian saya sudah beritahu apa pun
yang kita nak buat tidak boleh melanggar undang-undang, kalau ketum diharamkan
di bawah akta maka kita tidak boleh menjadikannya sebagai tanaman untuk
menambahkan pendapatan kerana akan menggalakkan lebih ramai lagi orang
melanggar undang-undang, nanti ada orang tanam popi dan macam-macam lagi
susah," katanya.
Kelmarin, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut
berharap kerajaan tidak meluluskan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun
Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang ingin melaksanakan projek penanaman daun
ketum secara berskala besar untuk dieksport ke luar negara.
Pemangku Ketua Pengarahnya Datuk Azizan Ariffin berkata
cadangan itu dilihat boleh membantutkan usaha memastikan Malaysia bebas dadah
menjelang tahun 2020.
Beliau berkata AADK sama sekali tidak bersetuju dengan
cadangan RISDA itu kerana ia mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada
keuntungan yang bakal diperoleh kelak.
"Kos untuk pemulihan penagih sangat tinggi...sebagai
contoh, setiap hari sejumlah RM33,200 diperlukan bagi menampung kos makanan
bagi 4,000 penagih yang ada di pusat pemulihan seluruh negara.
"Kalau sebulan, sejumlah RM996,000 diperlukan dan
kos itu dilihat akan meningkat dengan lebih mendadak sekiranya lebih ramai yang
terlibat dalam penagihan ketum," katanya Kubang Pasu, Ahad.
Bagi Syed Anuar Kementerian Kesihatan perlu membuat
kajian terperinci sebelum bersetuju dengan pandangan untuk mengkomersialkan
daun ketum tersebut.
"Cadangan itu pelik, kita bimbang jika dapat
kelulusan kerajaan nanti, penggunaan daun ketum secara tidak terkawal akan
memberi lebih banyak kesan negatif, sekali gus merosakkan masa depan para
pelajar dan golongan muda di negara ini," katanya.
Kementerian Kesihatan pada 29 Julai menyatakan
pendiriannya bahawa ia tidak bersetuju dengan cadangan RISDA itu supaya kerajaan membenarkan pekebun kecil di
negara ini menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan mereka.
Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kementerian itu berpandangan ketum mempunyai ciri-ciri seperti ganja dan heroin yang boleh mendatangkan kesan negatif.
"Kita tidak sokong apa yang dicadangkan oleh RISDA agar ketum ditanam untuk tujuan perubatan walaupun mendapat permintaan tinggi dari beberapa syarikat farmasi dari Amerika Syarikat dan Eropah," katanya.
No comments:
Post a Comment