Sunday, September 18, 2016

Piala Malaysia - T-Team, Kedah, Selangor, Dan PDRM Ke Separuh Akhir

Pemain Felda United, Muhd Syahid Zaidon (dua, kanan) bersaing dengan pemain T-Team, Makan Konate pada perlawanan Piala Malaysia 2016 di Stadium Tun Abdul Razak malam semalam.
Terengganu FC II atau T-Team antara empat pasukan mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia 2016 selepas mengatasi lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua, malam tadi.

T-Team mencipta sejarah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United dengan agregat 2-1 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, malam semalam.

Pusingan separuh akhir nanti Kedah bakal berdepan PDRM, manakala Selangor bertemu T-Team.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Kelantan terpaksa akur apabila terkandas untuk ke peringkat seterusnya walaupun berjaya mengatasi PDRM 1-0.

PDRM mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2.

Pemain Selangor, Andik Vermansyah (kiri) diasak pemain PKNS FC, Khairu Azrin Khazali pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam.
Sementara itu di Stadium Shah Alam, juara bertahan - Selangor menepati jangkaan untuk ke separuh akhir dengan mengatasi PKNS FC 1-0 dan mara dengan agregat 5-3.

Dalam perlawanan timbal balik di Jengka semalam,   T-Team menang 1-0 selepas diikat 1-1 pada pertemuan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 28 Ogos lalu.

Pemain import kelahiran Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov muncul wira skuad The Titans apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-77 sekali gus memadamkan kelebihan tuan rumah yang turun beraksi dengan  mempunyai bekalan gol di tempat lawan.

Jaringan yang memusnahkan impian Felda United untuk mara lebih jauh dalam saingan merebut piala berprestij berkenaan berpunca daripada sepakan sudut oleh Mohd. Nor Hakim Hasan sebelum Sharofetdinov yang tidak dikawal menanduk bola ke dalam gawang The Fighters.

Pemain Kedah, Smeltz Shane Edward (tengah) meraikan jaringan pertama beliau pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam semalam.
Sementara itu, beraksi di gelangang sendiri, Kedah tampil garang membelasah Negeri Sembilan dengan jaringan 5-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kedah yang turun dengan misi 'mahu menang' ternyata tidak membuang masa dengan melakukan serangan ke gawang pasukan pelawat. 

Penyerang berpengalaman Kedah, Shane Smeltz yang dahagakan gol bertindak cemerlang dengan membuka tirai jaringan. Gol pertama pasukan 'Hijau Kuning' dihasilkan selepas Smeltz mendapat hantaran Rizal Ghazali pada minit ke-23.

Seperti mendapat tonik tambahan daripada gol itu, Kedah terus memberi tekanan terhadap skuad Negeri Sembilan yang lebih bertahan.

Tidak lama kemudian, Kedah memperolehi jaringan kedua juga menerusi Smeltz yang mendapat hantaran Syazwan Zainon. Gol yang dihasilkan pada minit ke-31 itu membuatkan stadium yang dipenuhi lautan hijau kuning semakin gamat.

Berselang lima minit, anak didik Tan Cheng Hoe terus mengukuh kedudukan untuk ke separuh akhir Piala Malaysia dan gol ketiga ini dihasilkan oleh Thiago Augusto.

Babak pertama ditamatkan dengan kedudukan 3-0 untuk memastikan matlamat untuk menang berjaya dicapai.

Jurang tiga gol yang diperolehi itu turut memberi pilihan kepada Cheng Hoe untuk melakukan pertukaran dengan mengeluarhan Smeltz dan memberi peluang kepada pemain muda seperti Farhan Roslan.

Empat minit babak kedua bersambung, kesebelasan utama Kedah terus membuktikan bisanya sebagai finalis Piala Malaysia musim lalu dengan menjaringkan gol keempat.

Gol itu dijaringkan oleh Augusto untuk turut sama merekodkan dua gol seperti Smeltz pada perlawanan berkenaan.Ketika pasukan pelawat seakan tidak mampu mendekatkan jurang jaringan, Liridon Krasnqi pula menjadikan kedudukan 5-0 ketka menyempurnakan sepakan percuma.

Dengan jaringan itu, Kedah yang menjadi pilihan untuk ke separuh akhir berjaya mengesahkan kedudukannya.


Kemenangan itu menyaksikan Kedah mara ke pusingan separuh akhir dengan agregat 5-0 selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 pada suku akhir pertama sebelum ini.

No comments:

Post a Comment