Noriah Lah, 34...balu mangsa. |
Suspek utama berusia 29 tahun dalam kes bunuh bakal abang
ipar yang diburu sejak empat hari lalu berjaya ditahan polis kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Suspek kes bunuh di pekarangan tempat letak kereta, Kompleks
Seri Iman, di Kuala Terengganu Ahad lalu itu ditahan ketika berjalan di Jalan
Jeram, Kampung Petai Bubus, Manir, di sini , tengah hari semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten
Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata suspek yang ketika itu dilihat dalam
keadaan keletihan dan kelaparan, hanya mampu menyerah diri semasa ditahan.
Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala
Terengganu untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa, Mohd Shukri Husin, 34,
yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan maut dipercayai
ditikam sebanyak enam kali oleh suspek menggunakan pisau di dada dan di leher.
Insiden tersebut dikatakan bermula apabila mangsa hadir
ke pejabat di situ bersama keluarganya bagi menyemak status perkahwinan suspek
yang bakal berkahwin dengan adik mangsa.
Wan Abdul Aziz menunjukkan pisau yang dirampas, dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit. - Foto Sinar Harian |
Setelah tembelang suspek yang sudah berkahwin diketahui,
dipercayai berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada
pembunuhan tersebut.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya, semalam Wan
Abdul Aziz berkata hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek
didapati negatif dan dia akan dibawa untuk mendapat perintah tahanan reman di
mahkamah untuk siasatan selanjutnya.
Selain kereta jenis Honda Ferio yang disorokkan di
kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, Manir, polis turut merampas pisau yang
digunakan suspek dalam kejadian terbabit.
Pisau tersebut diserahkan ke Balai Polis Kuala Terengganu
oleh seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai rakan suspek pada Selasa lalu,
kira-kira jam 1.40 petang iaitu selepas dua hari kejadian terbabit.
“Lelaki yang tinggal di Kampung Dusun Tembakau, Manir, di
Kuala Terengganu, memberitahu yang suspek telah berjumpa dengannya pada jam 12.30 tengah
hari (hari kejadian) dan memberitahu dia telah tikam orang sebelum meminta
lelaki itu simpan pisau tersebut,” katanya.
Wan Abd Aziz berkata, lelaki berkenaan memberitahu yang
dia cuma mengetahui suspek membunuh menggunakan senjata itu selepas terbaca
dalam akhbar mengenai kejadian pembunuhan tersebut.
“Sejurus mengetahui kejadian sebenar, lelaki itu merasa
takut, lalu mengambil keputusan untuk datang ke balai dan serahkan pisau
sepanjang 35 sentimeter yang disimpan kepada pihak polis.
Sementara itu, balu mangsa yang maut ditikam berharap
suspek akan mendapat balasan setimpal atas perbuatan kejamnya.
Noriah Lah, 34, yang sarat mengandung anak sulung dan
dijangka bersalin bulan depan, berkata kematian suaminya Mohd Shukri Husin, 34,
yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan begitu dirasai.
Namun beliau perlu menguatkan semangat untuk meneruskan
kehidupan.
Lega dengan penangkapan suspek utama kes itu semalam,
Noriah berkata, sejak insiden Ahad lepas, beliau tidak lena tidur kerana
bimbangkan suspek yang masih belum ditangkap.
"Alhamdulillah, kak (Noriah) rasa lega (dengan
penangkapan suspek), harap dia (suspek) dapat balasan yang setimpal untuk arwah
ni. Cuma kena kuatkan semangat, kita yang hidup kena teruskan hidup,"
katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Kok Keli.
Sinar Harian & Bernama
No comments:
Post a Comment