Monday, December 12, 2016

Mat Sabu: AMANAH Boleh Menang Kelantan, Terengganu


Pasti ada yang kesipuan. tertanya-tanya atau mencemik bibir apabila membaca atau mendengar hasrat atau nafsu besar AMANAH yang kononnya boleh menawan Kelantan dan Terenganu.

Ia berikutan kenyataan Presiden AMANAH Mohamad Sabu bahawa AMANAH berkeyakinan tinggi memiliki peluang yang baik untuk memenangi Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat PAS pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Namun inilah sebenarnya keyakinan ditunjukkan oleh AMANAH dan keupayaannya menggerakkan jentera parti dibuktikan melalui kejayaan penganjuran konvensyennya sendiri semalam.

Mohamad memberitahu perwakilan bahawa pengundi di Kelantan mempunyai minda bebas dan apabila mereka menukar undi, ia dilakukan secara beramai-ramai.

"Kalau AMANAH tak bertanding, biar UMNO  lawan parti lama, BN ada harapan cerah menang Kelantan. Tapi bila AMANAH bertanding, maka AMANAH la pilihan rakyat.

"Tambah pula Datuk Husam (Musa) dok rodak tiap-tiap malam out you go la mereka yang gelar kita dengan berbagai (nama)," kata Mohamad kepada perwakilan di konvensyen AMANAH kebangsaan pertama di Shah Alam semalam.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata pengundi Terengganu juga akan meninggalkan PAS kerana parti itu terlalu rapat dengan BN.

"Maka Terengganu la paling subur untuk AMANAH," katanya.

Mohamad juga berkata bersama-sama dengan Pakatan Harapan, parti itu akan menetapkan tempat mereka di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.


Sementara itu Mohamad dalam ucapan penutup beliau, juga berkata PAS tidak harus cuba untuk meletakkan dirinya sebagai 'kingmaker' dalam pilihan raya.

"Kingmaker ni target dia menang 20 kerusi.

"Kalau mereka bersama dengan Pakatan Harapan, HARAPAN yang memerintah, kalau bersama BN, BN memerintah. Orang yang jual diri macam ni biasanya orang panggil apa, ha, dot dot dot dot.

"Saya bukan Donald Trump nak sebut perkataan begitu," katanya merujuk presiden Amerika Syarikat yang gemar mengeluarkan perkataan kesat.

Malah menurutnya,  AMANAH tidak bimbang diketepikan berikutan rancangan PAS untuk mengadakan acara ceramah bersama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

“Apa sahaja yang berlaku malam esok, kami akan dimaklumkan,” katanya.

Walaupun PAS bukan sebahagian daripada PAKATAN yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH, tetapi ia masih mengekalkan hubungan dengan PKR.

Parti itu juga belum menyatakan sama ada ia akan bekerjasama dengan PPBM, walaupun menerima sindiran daripada pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata pemimpin PAS berada dalam keadaan keliru kerana masih teragak-agak untuk menyertai pakatan pembangkang bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

PAS Selangor dikatakan menjemput presiden PKR dan PPBM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk berucap di majlis ceramahnya di Paya Jaras.

Langkah itu dilihat oleh pemerhati sebagai satu usaha oleh PAS untuk membentuk blok ke-3 di negeri ini bagi memastikan ia masih boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sekiranya Pakatan kembali berkuasa pada pilihan raya umum akan datang. 

No comments:

Post a Comment