Thursday, May 5, 2016

Tahniah Polis Terengganu Lumpuhkan Kegiatan Perjudian Dalam Talian


Terkejut mendengar berita bahawa sudah mula wujud perjudian dalam talian di Terengganu.

Lebih mengejutkan lagi ia disediakan di sebuah Kafe Siber di Besut.

Amat malang kerana kegiatan iu ‘diimport’ dari negeri lain dan budaya tidak sihat itu cuba disebarkan di Terengganu, khususnya di Besut.

Kita ucapkan tahniah kepada Polis Terengganu kerana cepat mengesan kegiatan berkenaan.

Perjudian siber sangat dibimbangi kerana ia pastiya melibatkan golongan muda.

Budaya berjudi di talian jika dibiarkan akan mencetuskan amalan dan gejala yang buruk di kalangan remaja.

Kelmarin, Polis Terengganu berjaya melumpuhkan kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai baru bertapak dengan penahanan empat lelaki di sebuah Kafe Siber di Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata dalam serbuan pada kira-kira 12.35 malam itu, polis memberkas seorang pelanggan yang sedang leka melakukan pertaruhan dan pemilik Kafe Siber yang berasal dari Kluang, Johor.

Beliau berkata polis turut menahan rakan kepada pelanggan berkenaan dan juruwang serta merampas peralatan perjudian seperti komputer riba, monitor, modem dan telefon bimbit.

Polis turut menemukan buku catatan yang tercatat pertaruhan perjudian serta helaian resit deposit bank berjumlah RM7,000 dan RM1,270 dan wang tunai RM824 dipercayai hasil perjudian, katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur 21 hingga 41 tahun itu direman semalam untuk siasatan.

Kita berharap kegiatan ini turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana suruhanjaya itu kini bersama Jawatankuasa Bertindak Perangi Mesin Judi Slot telah merangka perancangan rapi dalam usaha membanteras aktiviti perjudian dalam talian yang semakin berleluasa di negara ini.

Jawatankuasa itu telah mengadakan pertemuan dengan pegawai SKMM Februari lalu bagi mendapatkan penjelasan dan langkah yang bakal diambil bagi menyekat aktiviti menyalahi undang-undang tersebut.

“SKMM telah meletakkan beberapa syarat tegas kepada semua syarikat telekomunikasi (telco) bagi mengelakkan pengguna daripada terus diganggu oleh khidmat pesanan ringkas (SMS) judi dalam talian.

“Selain itu, kami akan bekerjasama dengan SKMM mengadakan kempen bersepadu bagi memberi kesedaran kepada pengguna mengenai implikasi negatif perjudian dan kepentingan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti tersebut di tempat tinggal mereka,” kata jurucakapnya baru-baru inii.

Kita juga berharap Polis Terengganu dan SKMM dapat mengesan taktik sindiket perjudian haram yang kini menggunakan SMS sebagai modus operandi dalam mempromosikan laman web perjudian dalam talian.

Taktik terbaharu itu membolehkan kaki judi menggunakan gajet seperti telefon bimbit, peranti tab termasuk komputer peribadi melalui pautan laman sesawang yang dikirimkan melalui SMS tanpa perlu berkunjung ke premis perjudian.
SKMM hendaklah segera melancarkan talian aduan khas bagi memudahkan orang ramai melaporkan setiap kegiatan perjudian serta membantu suruhanjaya itu mengambil tindakan segera.

Pihak berkuasa tempatan (PBT)yang bertanggungjawab meluluskan lesen premis perniagaan juga perlu memastikan Siber Kafe dan premis tertentu bebas daripada kegiatan seperti ini.

Kita harap dengan kejayaan sulung ini, Polis Terengganu akan  memantau dengan lebih proaktif terhadap mana-mana premis di negeri ini yang mungkn menjalankan aktiviti perjudian siber yang mengancam moral dan budaya golongan muda di negeri ini.

Tuesday, May 3, 2016

Pengusaha Bot Pulau Perhentian Ditawar Ambil Lesen Serendah RM50

Ahmad Razif meninjau tahap kebersihan Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian dalam lawatan kerja beliau di kedua-dua pulau berkenaan semalam.
Kerajaan negeri Terengganu menawarkan bayaran serendah RM50 kepada pengusaha dan pemandu bot pelancong di Pulau Perhentian bagi membolehkan mereka mendapatkan lesen bot yang sah.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tawaran tersebut diberi hanya sehingga hujung bulan ini dan terhad kepada pengusaha sedia ada sahaja.

"Saya memberi satu tawaran kepada pengusaha dan pembawa bot yang memberi perkhidmatan ke Pulau Perhentian supaya mereka mengambil peluang sekali ini sahaja yang diuruskan oleh Jabatan Laut.

"Kalau mereka menyertai kursus mengambil lesen ini mereka hanya perlu bayar RM50 dan bakinya akan diberi subsidi oleh kerajaan negeri. Mereka perlu ada lesen...mereka perlu diberi maklumat-maklumat yang patut dan sewajarnya serta memastikan bot mereka mempunyai peralatan keselamatan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha chalet di Pulau Perhentian hari ini.
Bernama memetik Ahmad Razif sebagai berkata kadar bayaran lesen bot sebenar ialah RM800 dan keputusan sedemikian dibuat bagi mengatasi masalah lambakan pengusaha bot yang tidak berlesen.

Katanya terdapat aduan bahawa ada segelintir pengusaha tidak berlesen ini mengabaikan keselamatan penumpang hingga sanggup menggunakan lampu suluh sahaja pada waktu malam ketika membawa pelancong.

"Pada April sahaja berlaku tiga kemalangan dan kita melihat penyebab utamanya adalah kerana terlampau banyak pengusaha bot sampai 400 lebih pengusaha bot yang ada di sini.

"Jadi yang paling mustahak kita perlu sahkan dulu kerana sudah pasti peraturan-peraturan yang kita hendak kenakan nanti perlu memastikan mereka ini mempunyai kelengkapan-kelengkapan yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, mengenai bekalan kuasa melibatkan kabel dasar laut antara pulau Perhentian Kecil ke pulau Perhentian Besar, Ahmad Razif berkata ia dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya projek itu melibatkan kos lebih daripada RM46 juta dan ia dibuat menggunakan konsep perkongsian iaitu 50 peratus dibiayai oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta 50 peratus lagi oleh kerajaan negeri.

Menerusi lawatan kerja Ahmad Razif ke Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian hari ini, beliau mengesan terdapat beberapa permasalahan di kawasan tersebut seperti pembuangan sampah dan penempatan bot yang merbahaya kepada pelancong.

Katanya, Jabatan Laut telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan sesuai dijadikan pusat meletakkan bot supaya ia tidak mengganggu dan mencederakan mereka yang sedang melakukan aktiviti selam snorkel.

Beliau turut berpuas hati dengan kebersihan dan fasiliti yang ada di kedua-dua pulau ini, dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

"Lepas ini saya akan ke Pulau Kapas pula kerana kita nak jadikan pulau ini sebagai satu pemangkin yang boleh menarik minat pelancong terutama dari luar negara untuk berkunjung ke Terengganu.

"Bidang pelancongan ini menjadi satu bidang yang perlu diperkasakan dan boleh membantu ekonomi negeri Terengganu kerana kita tidak boleh lagi berharap 100 peratus kepada hasil petroleum.

"Jadi kita perlu memikirkan alternatif lain yang boleh menambahkan pendapatan terutama kepada pendapatan rakyat dan pendapatan negeri," katanya.


Monday, May 2, 2016

Bergerak Ke Hadapan, Terus Bekerja Untuk Kebajikan Rakyat - Ahmad Razif


"Ahmad Razif menjunjung kasih atas perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin untuk beliau terus melaksanakan tugas sebagai ketua pentadbir negeri. Beliau yakin apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya."

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berharap semua pihak dapat bersama-samanya terus bekerja untuk kebajikan rakyat berikutan segala kekalutan dan isu yang berlaku telah berakhir.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua pihak bersama bergerak ke hadapan, terus bekerja untuk kebajikan rakyat dan yang mustahak adalah bekerjasama serta terus memastikan perkhidmatan dan apa sahaja kerja yang kita buat adalah untuk kebaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Besut hari ini susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa beliau akan terus meneraju kerajaan Terengganu.

Sementara itu dalam kenyataan terbarunya, Menteri Besar Terengganu menyatakan beliau menjunjung kasih atas perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin untuk beliau terus melaksanakan tugas sebagai ketua pentadbir negeri.

"Syukur...saya yakin apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya", kata Ahmad Razif susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dalam kenyataan media hari ini, Ahmad Razif berkata beliau turut bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan yang diberikan Allah serta berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan terhadap saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

"Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telahpun terjawab pada hari ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua kepimpinan negeri Terengganu untuk terus bergerak ke hadapan dan berjuang untuk negeri dan rakyat demi kesejahteraan semua," katanya.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif apabila Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Najib kelmarin  berkata Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu sehari sebelum itu, membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.


Najib berkata keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu untuk membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.

Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukannya selepas Sultan Terengganu melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa 22 April lalu.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.


Sunday, May 1, 2016

Apabila SPR Larang Poster, Gambar 'Apai Besar' Pada PRN Sarawak


Oleh Hambali Abdul Latiff

Banyak ragam pilihan raya negeri Sarawak kali ke-11 yang akan berlangsung seminggu dari sekarang.

Satu daripadanya, tidak dapat dipastikan kenapa gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dilarang di Sarawak.

Bagaimana Najib yang digelar ‘Apai Besar’ di Sarawak (juga untuk Malaysia), gambarnya tidak dibenarkan dipaparkan bagi kempen pilihan raya negeri ke 11 yang sedang berlangsung.

Pemimpin politik lain kita tidak peduli kerana mereka bukan ‘Apai Besar’.


Siapa sebenarnya Najib? Bukankah dia PERDANA MENTERI, Pengerusi BARISAN NASIONAL, Presiden UMNO serta ketua eksekutif kerajaan Malaysia?

Menurut satu laporan memetik Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, gambar Najib tidak dibenarkan MUNGKIN, saya ulangi MUNGKIN bagi mengelakkan ‘fitnah’.

Baca kenyataan beliau:

“Jika ada yang meletakkan perkara-perkara pelik atau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan calon atau parti, seperti meletakkan gambar seseorang individu tertentu bersama-sama dengan kapsyen negatif atau fitnah, maka kita akan ambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” katanya.

 “Jangan menghina orang lain. Jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu dan memutuskan untuk meletakkan papan iklan negatif sebagai contoh, kita tidak akan membenarkan.

“Itu hanya mengambil kesempatan untuk memfitnah seseorang,” ujarnya.
Berikutan itu, Mohd Hashim berkata, hanya gambar-gambar calon dan manifesto parti sahaja yang boleh diletakkan sehingga hari membuang undi pada 7 Mei nanti.

Laporan portal berita dalam talian menyebut: “...menerusi peraturan tersebut ia bermakna gambar-gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau mana-mana pemimpin politik Semenanjung yang lain tidak boleh digunakan dalam tempoh dua minggu berkempen.

Yang nyata Najib sudah berkempen di segenap ceruk untuk menjamin BN menang selesa.

Apa yang difahami melalui ‘Tataetika Pilihanraya’ dari SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA, JUN 2012 menyebut:

7.6 Hanya bendera, poster dan kain rentang serta bahan bercetak seperti risalah dibenarkan. Penggunaan billboard untuk pameran bahan kempen tidak dibenarkan. Pemasangan bahan kempen tertakluk kepada peraturan berikut:

(a) Hanya gambar calon yang bertanding di dalam Bahagian Pilihan Raya berkenaan dan pemimpin utama parti politik yang bertanding, simbol dan manifesto parti atau calon dibenarkan dalam poster atau kain rentang.
Adakah ada ‘Tataetika Pilihanraya’ yang baru digunakan oleh Pengerusi SPR yang baru?

Maaf yang Datuk Seri Mohd Hashim jika saya tersilap. Ini soalan, bukan tuduhan. Jangan pula saya disaman kerana pertanyaan ini.

Pertanyaan juga ialah apakah larangan ini akan berterusan atau ikut keadaan semasa, apabila Pilihanraya Umum ke-14 nanti?


Apakah poster Najib hanya akan tergantung di Pekan sahaja, bagi mengelakkan ‘fitnah’?