Tuesday, May 17, 2016

PAS Sedang Mabuk & Klu-Klek - Mabuk Duit Atau Mabuk Apa?


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Azan Ismail kata PAS Terengganu sedang mabuk. Ini dilaporkan melalui Dateline Malaysia, sebuah portal yang  rapat dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mabuk apa ya? Duit atau kuasa?

Kalau mabuk duit, PAS atau pemimpinnya mungkin tengah banyak duit ke sekarang? (Saya ulangi, mungkin). Kalau benar, dari mana mereka dapat?

Atau kalau mabuk kuasa, rasanya dengan kedudukan 14 kerusi sekarang di DUN Terenganu ia belum cukup. Tetapi tidak tahulah kalau PAS Terengganu sudah ada kerusi yang diyakini dimenanginya.

Tidak tahu juga sejauh mana PAS berkeyakinan akan  menang jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam tempoh terdekat. Itu kalau ada, kalau tidak ada maknanya PAS akan kempunan hingga Pilihan Raya Umum akan datang. Lagi lamalah meroyan!!!

Sebelum itu, blog ini mengatakan PAS sedang meroyan mengenai kemungkinan PRN Terengganu akan diadakan.

Menurut Ketua Penyelidik, Pusat Penyelidikan PAS Pusat DrFadhli Ghani, berdasarkan situasi politik yang berlaku sekarang, Terengganu dijangka mengadakan PRN selepas hari raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa.

Kemungkinan itu adalah berdasarkan keadaan politik negeri yang dilihat tidak menentu. Beliau menjangka, akan berlaku sekali lagi usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang. (Untuk rekod, sidang DUN akan datang akan diadakan pada Ogos selama sehari dan pada Disember untuk pembentangan Bajet 2017).

 “Terengganu lagi berat………akhir sekali semua kata nasib kerajaan Terengganu ni di tangan PAS . Razif (Haji Ahmad Razif Abdul Rahman) tahu dia jd Menteri Besar tapi tak boleh (teruskan) sidang DUN kali ini, “kalau (mungkin) sidang kena usul tidak percaya pulak…kalau ikut maklumat Terengganu ni akan bubar DUN lepas raya ataupun Najib cepat-cepat bubar Parlimen sekali,”ujarnya.


Begitu yakin sekali PAS Terengganu mengenai PRK ini dan keyakinan PAS di DUN Bandar pula berdasarkan  kenyataan oleh timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu Yahaya Ali, Sabtu lalu bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh PAS negeri, kerusi DUN Bandar wajar ditandingi oleh parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Ada (lawatan yang kita buat) dan kita dapat maklumat dari bilik gerakan, secara peribadinya saya merasakan Dun Bandar sangat patut diberi kepada PAS,” katanya.

Bagi Azan, sesiapa sahaja boleh bercakap untuk bertanding, di mana sahaja kerana Terengganu ada 32 kerusi untuk direbut.

Malah dengan mengkhususkan kepada DUN Bandar, bermakna PAS kini bernar-benar menjauhkan dirinya daripada pakatan pembangkang di negeri ini dan mahu membuktikan ia layak untuk menjadi pembangkang yang kuat di Terengganu.

Namun, bagi Azan, PAS Terengganu tidak perlu dilayan.  “Usah dilayan orang sedang mabuk dan kemaruk nak kerusi dan isteri-isteri. Orang tua-tua dah nasihat jangan layan orang gila nanti jadi gila sama,” tegasnya.

Azan yang juga pengerusi perhubungan PKR Terengganu membayangkan parti itu akan mempertahankan DUN Bandar dalam PRU akan datang.

Pada PRU 2013, Azan mengalahkan penyandang kerusi DUN Bandar Datuk Toh Chin Wah dari BN dengan majoriti sebanyak 2,159 undi. Azan mendapat 9,413 undi manakala Toh mendapat 7,254 undi sekaligus menyaksikan Azan merupakan satu-satunya calon PKR yang menang di Terengganu.

Sikap mabuk dan meroyan PAS ini lebih menonjol semalam apabila Pesuruhjaya PAS Terengganu mengatakan PAS akan bertanding semua 32 kerusi serta lapan kerusi Parlimen (PAS kini memiliki tiga  kerusi iaitu di Dungun, Marang dan Kuala Nerus sementara satu oleh Amanah) sekiranyanya PRN diadakan.

Flip-flop atau klu-klek PAS ini semakin menjadi-jadi apabila malam kelmarin, Satiful Bahri Mamat pula mengatakan PAS dikatakan sudah membuat persedian bagi menghadapi samada PRN atau pilihan raya umum akan datang.

“Saya tak kata (ada) pilihan raya kecil, (tapi) kebarangkalian tu ada, jadi kita sebagai Badan Perhubungan PAS Negeri, kita buat persediaan lah (menghadapi) apa-apa yang berlaku, “samada pilihanraya kecil ataupun apa (PRU-14).” tegasnya.


Di nilai daripada cakap-cakap PAS yang menunjukkan keyakinan tinggi mungkin selain  faktor ‘pergelutan dalaman UMNO’, ada kemungkinan sebab-sebab  lain di luar ‘pemikiran rakyat’ Terengganu sama sekali.

Ia bukan kekuatan luar biasa yang dianugerah Allah s.w.t tetapi mungkin PAS kini ‘berduit’ dengan mungkin sesetengah pemimpinnya ‘kantong yang sudah penuh’.

Persoalannya dari mana mereka mendapat duit atau sumber kewangan?

Melihat gaya PAS Terengganu menganjurkan majlis dan aktiviti, ia mengalahkan aktiviti UMNO (tidak dinafikan mereka sebenarnya lebih aktif menganjurkan program daripada UMNO Terengganu), namun ‘kekuatan luar biasa’ ini menimbulkan persoalan.

Ini bukan tuduhan. Ini hanya pertanyaan dan persepsi semata-mata. Jika tidak benar PAS boleh menafikan.

Namun sekiranya ada kebenaran, UMNO jangan berdiam diri.

Kekuatan dan keyakinan luar biasa PAS Terengganu ini mungkin disumbangkan oleh ‘pihak lawan PAS sendiri’.

Untuk tujuan apa mereka membantu PAS Terengganu?

Apakah mereka sudah berputus asa dengan UMNO dan BN?

Apakah kerana ‘bantuan dan sumbangan’ ini menyebabkan PAS menyatakan tidak akan ‘menangguk di air yang keruh’ dan ‘melalui pintu belakang’ apabila ada peluang PAS untuk bentuk kerajaan campuran?

Kenapa PAS tidak berminat untuk berkuasa, menggantikan UMNO dan BN di Terengganu, ketika ini? Ada sebab munasabah?

Anehnya, jika melalui PRN, PAS Terengganu meroyan dan mahu langgar semua lawannya, termasuk ‘lawan yang mungkin sedang membantu beberapa pemimpin PAS’ ketika ini.

Jika sekiranya terdedah dan ada bukti bahawa PAS mendapat ‘sumbangan’ tertentu daripada ‘lawannya’, political game apa yang sedang berlaku di Terengganu?

Dua Fokus Utama Laksana Projek Akuapolitan Seberang Takir - MB Tereangganu


Dua fokus utama diberi dalam pelaksanaan projek akuapolitan, kata Menteri Besar Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Pertama, projek di laut melibatkan ternakan ikan dalam sangkar, lobster dan ketam nipah manakala di daratan, akan diwujudkan kilang pemprosesan hasil laut, restoran, pasar ikan dan muzium maritim.

"Ini secara tidak langsung akan mewujudkan satu lagi daya tarikan pelancong ke Terengganu untuk melihat sendiri satu pusat penempatan nelayan dengan hasil laut segar yang diwujudkan secara terancang dan sistematik.

"Apa yang menarik, kita bercadang untuk buat pasar ikan mengikut konsep yang digunakan di Sydney, Australia.

"Di pasar itu akan di titikberatkan dari segi kebersihan malah kewujudan restoran di dalam pasar ikan akan memudahkan orang ramai untuk memilih hasil laut dan diproses (dimasak) mengikut kehendak mereka," katanya kelmarin.

Ahmad Razif bercakap kepada pemberita selepas program gotong-royong Puspanita, Kementerian Pengangkutan dan IM4U Bersama Penduduk Kampung Batin di Seberang Takir kelmarin (13 Mei 2015).

Projek akuapolitan itu pertama kali diumumkan beliau dalam majlis Penyerahan Bantuan Banjir Gelombang Kedua dan Penyampaian Kunci Rumah Mampu Milik di Dataran Permata, Seberang Takir dekat Kuala Terengganu, kelmarin.

"Buat permulaan, 500 keluarga nelayan akan menyertai program perintis itu di kampung Seberang Pak Abu dekat Seberang Takir yang akan dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) .

"Projek yang menelan belanja RM180 juta itu akan dilaksanakan secara dua fasa bermula tahun ini.

"Untuk fasa pertama, kita akan bangunkan tanah seluas lapan hektar di Kampung Seberang Pak Abu manakala bagi fasa kedua akan dibina kemudahan termasuk perumahan untuk nelayan, seluas lebih satu hektar di Kampung Batin.

"Pemilihan peserta juga akan dibuat pada tahun ini dan mereka akan diberi kursus yang berkaitan sebelum memulakan projek Sea-Felda pada tahun kedua (2017)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar tentang gejala pil kuda yang semakin berleluasa di Pantai Timur termasuk Terengganu, Ahmad Razif berkata perkara itu memerlukan penguatkuasaan lebih ketat dari agensi berkaitan, bukan sahaja di darat tetapi juga di laut.

"Ini kerana pengedaran pil kuda turut membabitkan golongan nelayan dan urusan itu dilakukan di laut...jadi sudah tentulah penguatkuasaan perlu diperhebatkan agar ia tidak lagi diseludup masuk ke negeri ini.

"Bagi kerajaan negeri pula, agensi berkaitan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu turut turun padang dengan membantu keluarga yang mempunyai penagih ini, dari pelbagai sudut termasuk kaunseling agar penagih pil kuda dapat dipulihkan," katanya.

Sunday, May 15, 2016

'Rahsia Besar' - Kepada Siapa Rakyat Terengganu Boleh Berharap?


Harapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dari UMNO buka mulut?

Tidak akan sekali-sekali.

Jauh sekali Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco.

Mahu cari nahas? Silap-silap hilang jawatan sekiranya mengkritik kepimpinan negeri atau Perdana Menteri.

Anehnya, ADUN PAS pun tidak buka mulut. Tidak tahu isu atau sengaja!

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat jelas bagai hilang arah sementara yang lain nampaknya tidak fokus.

ADUN Rhu Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya tumpukan soal mahu jadi ‘penasihat’ dan tidak mahu masuk campur hal ehwal UMNO.

Dalam keadaan sekarang, isu yang disebut Hadi itu tidak relevan tetapi isu membabitkan masa depan rakyat Terengganu yang lebih penting, tidak disuarakan.

Hadi seolah-oleh mahu ‘membebaskan’ dirinya kononnya tidak mahu terlibat langsung dengan kepentingan rakyat Terengganu.

Apakah apabila menyebut isu mengenai kepentingan rakyat, lebih-lebih ‘Rahsia Besar’ ia suatu bidaah, fitnah atau ‘membuka aib orang lain’?

Syed Azman (paling kanan) membuat laporan terhadap Ahmad Said
Selain itu agak pelik apabila ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Nawawi bagaikan sedang ‘berpantang untuk mengkritik atau menyatakan sesuatu’ dalam isu penting di Terengganu ketika ini.

Syed Azman sebelum ini adalah yang aktif mengkritik kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said, sama ada melalui repot polis, repot Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau juga pada persidangan DUN.

Pelbagai isu ditimbulkan termasuk isu pakaian sekolah, kilang mengeluarkan laptop, isu bijih dan sebagainya.

Malah, Syed Azman digelar ‘pembohong bersirti’ oleh Ahmad Said kerana gelagat dan kritikannya itu.

Namun sekarang Syed Azman menyepi. Kenapa?

Di kalangan ADUN PAS, Syed Azman dilihat ‘paling bijak’, bukan sahaja kerana memiliki ijazah PhD tetapi hujah-hujahnya berfakta.

Namun kini Syed Azman hanyut dan tidak lagi menyuarakan pandangannya dalam isu semasa Terengganu, termasuk isu penarikan pingat kebesaran terhadap menteri Besar Terengganu.

Malah, Dr Syed Azman bagaikan ‘layu’ dan apakah kerana beliau kini sedang cuba beralih angin untuk berjuang dengan ‘team’ lain?

Azan Ismail (tengah) pada satu sidang media di Kuala Terengganu.
Yang tinggal hanya ADUN tunggal dari parti PKR, iaitu ADUN Bandar, Azam Ismail.

Dia banyak tahu malah mungkin sedang menyiapkan ‘peluru’ untuk menyerang. Azan, walau bersaorangan dilihat mampu mengemukakan pendapat bernasnya.

Apakah bentuk serangannya selepas ini?

Dia dilihat rapat dengan pemimpin UMNO berbanding PAS. Juga dia dilihat seiring dengan Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

Dia juga dilihat rapat dengan Ahmad Said. Apakah strategi Azam di Terengganu, dalam keadaan politik negeri yang sedang tidak stabil ketika ini.

Pemimpin UMNO marah jika disebut politik Terengganu sedang bergolak, namun pembangkang dan penganalisis melihatnya berlainan.

Ramai yang mungkin mengetahui ‘rahsia besar’ di sebalik perlucutan pingat Ahmad Razif oleh Sultan Terengganu, namun tiada yang berani mendedahkannya kepada umum.

‘Rahsia Besar’ ini akan menentukan masa depan negeri dan rakyat Terengganu yang pastinya jika meletup akan menyebabkan krisis politik yang lebih teruk daripada usul ADUN Kijal meminta Menteri Besar meletakkan jawatan pada persidangan DUN lalu.

Apakah Azan atau Tengku Bahrin  akan melakukannya?

Atau Ahmad Said yang tidak boleh dibaca pergerakannya akan membuka ‘pekung UMNO Terengganu’ yang cuba diselindungkan oleh sebilangan pemimpin UMNO Terengganu?