Friday, May 27, 2016

Tidak Tepuk Tangan Tanda Guru-Guru Tolak Ahmad Razif Sebagai MB?


Ahmad Razif kata ia hanya 'gurauan', Pihak lain kata ia isyarat penolakan guru-guru Terengganu terhadap beliau sebagai  Menteri Besar Terengganu.

Jika gurauan, kenapa Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil perkara itu sebagai sesuatu yang amat serius?

Apakah Pengarah JPNT menganggapnya sebagai ‘teguran’ dan perintah MB itu perlu dilaksanakan segera? Apakah kerana beliau terhutang budi dengan Menteri Besar berkaitan perlantikannya ke jawatan berkenaan?

Bagi Ahmad Razif Abdul Rahman, arahan meminta guru-guru mengadakan latihan tepuk tangan hanyalah “satu gurauan”.

Beliau menafikan laporan bahawa beliau mengarahkan guru-guru di Terengganu untuk menjalani latihan tepukan.

Perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana guru-guru di negeri itu sudah dianggap beliau bagai rakan sendiri.

“Tidak payah panjangkan kerana saya bergurau sahaja kepada guru-guru. Kebanyakan cikgu-cikgu khususnya di Terengganu adalah rakan-rakan saya. Tidak tahu pula jadi macam ini,” katanya, yang pernah bertugas sebagai guru dan pensyarah institut perguruan.

Namun lain pula tanggapan pihak lain. Insiden ini digambarkan sebagai penolakan masyarakat terhadap Ahmad Razif sebagai Menteri Besar ternyata terserlah.

NGO PAS Terengganu berkata, kebiasaannya warga guru bukanlah jenis yang suka tunjuk boikotnya dalam majlis-majlis kerajaan. Jika mereka bencikan kerajaan Umno BN, mereka jadi ‘silence voters’.

“ Tetapi fenomena sekarang, guru-guru berani bersuara dalam facebook, di kedai-kedai kopi, terkadang di pejabat secara terang-terangan. Saya punya ramai kenalan guru yang boleh jadi bukti dan saksi, “ kata Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI, yang mirip kepada PAS, WanMohd Faizul Wan Abas (baca selanjutanya tulisan beliau di bawah):

Sebelum itu Malaysia Dateline melaporkan dengan tajuk “Kerana malukan MB Terengganu, semua cikgu diarah belajar tepuk tangan” kononnya menggambarkan kekecewaan Menteri Besar ekoran kegagalan guru-guru bertepuk tangan ketika beliau berucap sempena sambutan hari guru peringkat negeri 24 Mei lalu.

Berikutan itu, semua guru-guru di negeri itu diarah berlatih tepuk tangan dan arahan dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin melalui sistem pesanan Whatsapp yang kemudiannya di print skrin dan menjadi viral.

"Saya sudah sampai rumah tetapi otak saya masih terkial-kial (mendengar) kata YAB MB tentang cikgu-cikgu kita yang tidak tepuk tangan kepada YAB MB. Saya minta esok tolong buat latihan tepuk tangan selama 5 minit untuk membiasakan tepuk tangan di kalangan guru-guru.cSetiap perhimpunan pun latih mereka tepuk tangan dengan tunjukkan bukti bergambar kepada saya. Mohon tindakan tuan puan, tiada pengecualian," tulis Shafruddin dalam arahan itu dengan disambut oleh pegawai-pegawai kanannya akan dilaksanakan segera.

Ekoran arahan itu, pelbagai video dan gambar dipaparkan dalam laman sosial bagaimana guru-guru di Terengganu belajar tepuk tangan.

Shafruddin semalam menjelaskan, JPNT memperkenalkan budaya salam, budaya berterima kasih dan budaya menghargai kepada sesiapa yang memberi sesuatu dengan tepukan.
Menurutnya,  budaya yang sudah diwarisi sejak zaman-berzaman itu segar dalam amalan hidup ke arah kesejahteraan bermasyarakat.

Malah, katanya beliau bertanggungjawab kepada pendidik dan pelajar di negeri ini dalam mendidik budaya yang baik, termasuk menerapkan integriti  di kalangan penjawat awam berkenaan supaya ia dapat menjadi teladan kepada pelajar pula.

“Apa yang saya minta cikgu lakukan ianya merupakan satu permintaan dalam kumpulan tertutup (menggunakan aplikasi WhatsApp) antara saya dan pengetua serta guru besar.

“Permintaan guru untuk bertepuk tangan merupakan satu cara untuk menceriakan sesebuah majlis sama ada di dalam ataupun luar sekolah. Mudah-mudahan amalan yang baik ini menjadi ikutan pelajar-pelajar,” katanya kepada pemberita di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu semalam.

Amat nyata kini, apa sahaja yang ada kaitan dengan Ahmad Razif, akan menjadi bahan perbincangan selepas isu penarikan pingat kebesaran oleh Sultan Terengganu, baru-baru ini:


Razif Dijangkiti ‘Badi’ Najib

Oleh Wan Mohd Faizul Wan Abas
Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
25 Mei 2016

Kerajaan Negeri Terengganu sambut Hari Guru semalam di Kompleks Sukan Gong Badak . Guru-guru bercerita bahawa tiada yang tepuk tangan ketika Encik Razif berucap. Beliau dimalukan oleh guru-guru sekolah kerajaan.

Akibatnya, Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu arah semua guru berhimpun hari ini di sekolah masing-masing berlatih tepuk tangan selama 5 minit tanpa pengecualian. Kemudian wajib hantar gambar latihan bertepuk tangan kepada pengarah.

Nampaknya penolakan masyarakat terhadap Razif sebagai Menteri Besar terserlah. Kebiasaannya warga guru bukanlah jenis yang suka tunjuk boikotnya dalam majlis-majlis kerajaan.

Jika mereka bencikan kerajaan Umno BN, mereka jadi ‘silence voters’. Tetapi fenomena sekarang, guru-guru berani bersuara dalam facebook, di kedai-kedai kopi, terkadang di pejabat secara terang-terangan. Saya punya ramai kenalan guru yang boleh jadi bukti dan saksi.
  
Semalam, ada guru KAFA yang bercerita, mereka tidak pergi pun ke program di Hulu Takir semalam walaupun sudah menaiki bas yang disediakan. Dua bas yang membawa guru KAFA diarahkan polis untuk berpatah balik kerana ada isu teknikal, menyebabkan mereka melencong ke tempat lain

 Betapa gembiranya guru-guru KAFA tersebut kerana tidak perlu menghadiri majlis bersama Najib dan Razif.

Jika rakyat Malaysia umumnya sudah menolak Najib, maka nasib Encik Razif juga pun begitu juga.
Justeru, saya rasa insiden-insiden sebegini ini boleh jadi suatu petunjuk bencinya masyarakat umum terhadap Razif khususnya, dan kepada Umno BN umumnya.

Jika ini berlarutan dalam majlis-majlis lain juga, maka saya rasa ada signal kuat supaya kerajaan Umno BN Terengganu patut ditukar sebelum masanya tiba iaitu tidak perlu menunggu PRU14.

Jika mahu pilihan yang lebih baik, maka saya cabar Umno BN desak Najib bubar Parlimen terus!

Wednesday, May 25, 2016

Ahmad Razif Kata Isu Tukar MB Terengganu Selesai


Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman meminta agar isu pertukaran Menteri Besar Terengganu tidak lagi dibangkitkan kerana perkara itu telah dianggap selesai.

Tegas Ahmad Razif yang juga Pengerusi UMNO Terengganu berkata, perkara itu jelas setelah diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan pertemuan secara tertutup dengan barisan kepimpinan dan ahli parti sempena lawatan sehari ke Terengganu Isnin lalu.

“Sebagai Perdana Menteri dan Presiden (UMNO)...beliau telah memberi pengiktirafan dan menyatakan isu di Terengganu (membabitkan pertukaran menteri besar) telah berakhir dan tiada lagi isu-isu ini.

“Sekarang ini, kita moving foward (bergerak ke depan) untuk hadapi PRU-14 tidak lama lagi dan saya minta agar perkara ini tidak lagi dibangkitkan,” katanya/

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang memetik ucapan Najib ketika mengadakan pertemuan tertutup bersama kepimpinan dan UMNO yang meminta semua pihak menghentikan spekulasi pertukaran Menteri Besar Terengganu.

Ketika di Terengganu, Najib berkata: "Hentikan terus spekulasi siapa ganti MB, setiap bahagian perlu jaga bahagian masing-masing pastikan menang, jangan sibuk kawasan orang lain

Jangan ingat saya tidak tahu apa-apa yang berlaku di Terengganu" Najib.

Selain daripada itu Najib juga berpesan agar kepimpinan UMNO seluruh akar umbi daripada bawahan hingga peringkat atasan agar memberi sokongan penuh kepada Ahmad Razif sebagai MB untuk menerajui pentadbiran negeri dan UMNO Terengganu menghadapi PRU14

Ahmad Razif yang turut menyifatkan perkara itu telah selesai sepenuhnya kini sedang memberi fokus kepada usaha untuk menjalankankan tanggungjawab yang diamanahkan demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

“Finish already...semua sudah berakhir (isu pertukaran menteri besar). Saya hendak buat kerja dan saya akan move foward,” katany kepada pemberita ketika hadir merasmikan Karnival Myskill Fest & Dapur Terengganu di Quinara Al-Safir Resort, Seberang Takir, di Kuala Nerus,  malam tadi.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Timur, Wan Fadzilah Wan Dagang dan Pengerusi Gabungan Pusat Bertauliah Kemahiran Terengganu (GAKEMT), Mat Zani Putih.

Kemelut pertukaran menteri besar hangat diperkatakan setelah Istana Terengganu menarik kesemua darjah kebesaran yang diberikan kepada Adun Seberang Takir itu berkuatkuasa 22 April lalu.


Ahmad Razif dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Sunday, May 22, 2016

Surat Terbuka Awang Malaya Kepada Presiden PAS


Daripada Abe Awang Malaya

Selepas PRU 13 yang lepas, DUN Terengganu diwakjili oleh 17 ADUN BN (UMNO) dan 15 ADUN PR (PAS 14 PKR 1). Dari 17 kerusi UMNO itu, 3 daripadanya telah dihadiahkan oleh tuan kepada BN sejak hari penamaan calon lagi.

Dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, telah diputuskan dan dipersetujui bahawa DUN Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera akan ditandingi oleh calon PKR, disamping beberapa kawasan lain termasuk DUN Bandar.

Tuan adalah presiden PAS. Tuan orang alim. Mustahil tuan tidak tahu kewajipan untuk patuh kepada keputusan mesyuarat, yang telah dipersetujui, bahkan mesyuarat itu dihadiri oleh tuan sendiri atau wakil yang direstui oleh tuan sendiri dari kalangan pemimpin kanan PAS. Mana mungkin tuan tidak tahu peraturan dan undang-undang berorganisasi, dan mana mungkin tuan tidak tahu hukum bagi orang yang berbuat khianat, mungkir janji dan bercakap bohong.

Agama Islam yang suci ini nescaya tidak membenarkan pembelotan dan mengkhianati amanah seperti itu, atas apa alasan sekali pun.

Pada hari penamaan calon, tuan sebagai Presiden dan Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agong PAS, telah tanda tangan watikah yang mengizinkan beberapa orang calon PAS bertanding di kawasan-kawasan yang telah dipersetujui akan ditandingi oleh calon PKR dalam mesyuarat Pakatan, termasuk di 3 kawasan dalam negeri Terengganu yang disebutkan tadi.

Di antara DUN lain yang PAS tindan calon PKR dan terpaksa berlawan sesama sendiri termasuk DUN Kota Damansara di Selangor dan DUN Sungai Acheh di Pulau Pinang.

Tuan telah mungkir janji. Tuan telah langgar keputusan mesyuarat. Tuan telah khianat. Tuan sendiri tahu akibat dari meletakkan calon PAS di kawasan yang ditandingi oleh PKR, sudah tentu UMNO akan menang. Tuan tahu itu. Untuk menghalalkan pengkhianatan yang tuan lakukan, maka tuan terpaksa pula berbohong dan membuat fitnah kononnya PAS terpaksa letak calon kerana tuan mendapat maklumat kononnya calon PKR adalah pengedar dadah (pil kuda) dan ada yang berfahaman komunis. Akhirnya tuan tandatangan watikah pencalonan itu, yang sama seperti memberi tiket kemenangan kepada UMNO.

Kenapa tuan buat itu? Sebenarnya apa tujuan tuan berbuat begitu? Untuk apa? Tidak ada orang yang boleh fikir, apa sebenarnya yang tuan mahukan? Kenapa tuan tergamak mengkhianati pemimpin PKR dan DAP bahkan sebahagian pemimpin PAS sendiri? Dan tuan telah khianat kepada seluruh penyokong Pakatan Rakyat, semata-mata untuk memuaskan hati segelintir pembodek dan pengampu yang berada di sekeliling tuan, termasuk menantu tuan sendiri!!

Di Terengganu, tuan bagi percuma kepada UMNO 3 kerusi, dan akhirnya UMNO berjaya mempertahankan pemerintahannya dengan kelebihan 2 kerusi sahaja. Kebetulan jenis apakah ini, wahai tuan guru Dato’ Seri Presiden?

Dalam keadaan UMNO masih terhoyong-hayang untuk menegakkan pemerintahannya, dengan takdir Allah, seorang wakil rakyat UMNO meninggal dunia. Maka diadakan pilihan raya kecil di DUN Kuala Besut.

PRK Kuala Besut sangat besar akibatnya, kepada PAS dan UMNO. Itu bukan sekadar cerita orang Kuala Besut akan pilih wakil rakyat baru, itu bukan cerita sah atau tidak solat berimamkan orang UMNO, tapi pilihan raya kecil itu menentukan parti yang akan perintah negeri.

Kalau PAS menang di Kuala Besut, kedudukan akan jadi 16-16.... Kuala Besut bukan kawasan kebal BN. PAS pernah menang di situ dalam PRU 1999 dulu. Orang Kuala Besut bukannya totok UMNO sangat. Kes mata lebam Anwar pun mereka boleh beri kemenangan kepada PAS tahun 1999. Ketika demam pilihan raya umum belum pulih lagi, sepatutnya PAS mampu untuk memenangi PRK Kuala Besut itu.

Tetapi apa yang berlaku, sepanjang dua minggu tempoh kempen itu, tidak ternampak sedikit pun tanda-tanda yang PAS bersungguh-sungguh nak rampas kerusi DUN Kuala Besut, apatah lagi nak fikir untuk mengambil-alih pemerintahan negeri.

Hasilnya, UMNO menang dengan majoriti yang bertambah dari pilihan raya umum lalu. Nampak tuan dan beberapa orang ustaz PAS yang semazhab dengan tuan seperti berpuas-hati dengan kekalahan itu.

Maka memerintahlah akan negeri Terengganu oleh Barisan Nasonal dengan kelebihan 2 kerusi sahaja. Nampak di atas kertas, kedudukan kerajaan BN amat genting dan dalam bahaya. Rupa-rupanya apa yang berlaku dalam dewan tidak sama dengan apa yang tertulis di kertas.

Kedudukannya 17:15, tetapi dalam dewan, kedudukannya 17 ADUN UMNO, 13 ADUN bebas pro UMNO, 1 orang ADUN PAS (Syed Azman) dan 1 orang ADUN PKR (Azan Ismail). Seolah-olahnya begitu. Seolah-olahnya BN mempunyai 30 orang ADUN, hanya 2 orang pembangkang sahaja. Salah seorang dari 13 PAS yang tidak menjadi pembangkang itu ialah tuan sendiri.

Ketika kedudukan 17:15, berlaku krisis Menteri Besar Terengganu. Ahmad Said diminta letak jawatan, oleh presiden UMNO. Pelantikan dan pemecatan seorang Menteri Besar ditentukan oleh presiden parti, tidak pasti samada tuan sedia maklum atau tidak tentang hal ini. Kalau dilihat pada respon dan reaksi tuan dalam kes Menteri Besar Selangor, saya sangat ragu adakah tuan faham akan perkara ini. Nampak pada caranya, macam tuan tak faham.

Bila Mat Said letak jawatan, PAS buat-buat tak tahu. Tuan pula memang macam biasa lah, buat-buat tak gaduh, seolah-olah perkara itu tidak penting. Mungkin tuan dan orang-orang PAS beranggapan bahawa itu masalah dalaman UMNO. Tidak perlu masuk campur kerana ia tiada kaitan dengan PAS. Jadi, bagi PAS pada waktu itu, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Padahal, peristiwa Ahmad Said dipecat itu sangat besar maknanya kepada politik Terengganu. Ada orang duk cerita atas wakaf, dia kata Mad Said ajak PAS berpakat untuk jatuhkan kerajaan BN di Terengganu, tapi pihak PAS menolaknya.

Akhirnya, Ahmad Said, ADUN Bukit Besi dan ADUN Paka mengumumkan keluar dari UMNO!!! UMNO memerintah dengan kelebihan 2 kerusi, tapi sekarang 3 orang bukan wakil rakyat UMNO lagi. Maka kedudukan sekarang telah menjadi PR 15 BN 14 Bebas 3.

Mana-mana parti pun dalam dunia ini, apabila berlaku keadaan begitu, ketua parti akan segera menghadap sultan untuk memaklumkan bahawa Barisan Nasional telah hilang majoriti dalam dewan undangan negeri, dan memohon perkenan sultan bagi PAS membentuk kerajaan dan mengakat sumpah sebagai Menteri Besar.

Saya tidak pasti siapa yang patut pergi menghadap sultan, sama ada tuan sebagai presiden PAS, atau Satiful Bahri sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu. Yang pastinya, dua-dua tak pergi. Saya percaya tuan sendiri tidak pernah fikir sekiranya PAS memerintah Terengganu, siapa yang akan jadi Menteri Besar. Perkara itu tidak ada dalam kepala tuan. Kerana tuan tidak pernah bercita-cita mahu jadi pemerintah. Tuan berpolitik hanya untuk menjadi pembangkang sahaja.

Maka kekallah UMNO memerintah Terengganu dengan hanya perlu berhadapan dengan 2 orang pembangkang dalam DUN, iaitu Batu Burok dan Bandar sahaja. Mad Said dan 2 ADUN lain yang keluar UMNO, pun dah masuk UMNO balik.

Ketika air mata Ahmad Said masih belum kering, tiba-tiba berlaku krisis Menteri Besar Selangor. Di sinilah nampak jelas akan sikap tuan yang sebenar. Krisis MB Selangor telah menyingkap segala pekung, panau dan kurap yang bertempek di badan tuan, yang selama ini diselimuti jubah dan diselubung dengan serban.

Tuan orang Terengganu. Tuan ialah Ahli Parlimen Marang. Tuan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. Tuan ialah Presiden PAS. Bila berlaku krisis yang melibatkan politik negeri Terengganu, tuan hanya menjadi batu yang keras dan kaku, macam tak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi bila berlaku krisis yang melibatkan politik negeri Selangor, negeri yang diperintah oleh PKR, tiba-tiba presiden PAS meloncat-loncat macam ulat beluncas mahukan supaya Khalid Ibrahim dikekalkan. Padahal, Khalid Ibrahim ialah ADUN PKR.

Pasal apa yang jadi sampai macam tu, tuan? Ada ‘permainan’ apa yang tuan nak sorokkan, sebenarnya? Permainan apa pula yang tuan nak tunjukkan?

Ok lah, nanti saya sambung.

(15 Mei 2015)