"Amat malang dan satu tragedi besar Akta Rahsia Rasmi (OSA), telah digunakan untuk menutup skandal besar 1MDB dan mengugut rakyat biasa dengan hukuman penjara kalau mengeluarkan rahsia kes tersebut."
Oleh Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
(Ahli Parlimen Kuala Terengganu)
Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali lagi
mengempar dunia dengan pendedahan Sarawak Report laporan "sulit" PAC
- Jawatankuasa Kira kira Wang Negara, yang mengandungi komen kritikal Ketua
Audit Negara.
Laporan PAC tersebut yang telah di letak di bawah Akta
Rahsia Rasmi (OSA), menjadi tumpuan dan minat dunia.
Najib mengelak berdepan dengan Raja-Raja Melayu? |
Kerajaan Malaysia mengatakan Sarawak Report telah memfitnahnya,
tetapi apabila pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dari dahulu lagi
menggesa kerajaan menyaman mereka, kerajaan tidak berbuat demikian. Amat aneh
sikap kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Saya bersetuju dengan gesaan ADUN Salor, Datuk Husam Musa
supaya Majlis Raja-Raja Melayu meminta kerajaan membentang laporan PAC bersama
laporan Ketua Audit Negara tentang 1MDB kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Pakar undang-undang dan perlembagaan, Profesor Aziz Bari
berpendapat Majlis Raja-Raja berhak mengeluarkan arahan tersebut.
Lagi pun kerajaan telah diminta oleh Majlis Raja-Raja
sejak tahun lalu lagi untuk menyelesaikan isu 1MDB ini.
Malangnya kerajaan tidak menghormati titah tersebut dan
Najib difahamkan telah tidak hadir dua mesyuarat terakhir Majlis Raja-Raja.
Adakah Najib cuba mengelak dari berhadapan Raja-Raja
Melayu tentang isu 1MDB ini?
Amat malang dan satu tragedi besar Akta Rahsia Rasmi
(OSA), telah digunakan untuk menutup skandal besar 1MDB dan mengugut rakyat
biasa dengan hukuman penjara kalau mengeluarkan rahsia kes tersebut.
Adakah Najib boleh menggunakan peruntukan OSA ke atas
DYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang berhak atas maklumat 1MDB
mengikut perlembagaan Malaysia seperti pendapat pakar perundangan?
Oleh itu DYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja
sahajalah menjadi harapan rakyat untuk mengatasi kemelut dan misteri hutang
1MDB ini yang akan membebankan kita sehingga anak, cucu dan cicit kita.
Dari segi adab, Najib telah tidak menghormati langsung
pandangan dan teguran Majlis Raja-Raja Melayu kita dengan tidak mengambil
tindakan atas gesaan mereka dalam isu 1MDB dan juga isu pengistiharaan darurat
melalui akta MKN (Majlis Keselamatan Negara).
Akta MKN tersebut akan merampas semua kuasa
pengistiharaan darurat dari Agong dan gesaan Majlis Raja-Raja untuk menghalusi
akta tersebut tidak diberi perhatian langsung.
Adakah ini selaras dengan perjuangan sebuah parti
Melayu-Islam-Umno yang kononnya akan mempertahankan kedudukan dan kuasa
Raja-Raja Melayu?
Suara rakyat biasa dan ahli politik pembangkang telah
lama ditekan dan dilenyapkan dengan berbagai akta seperti OSA, Akta Pencegahan
Keganasan (POTA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Hasutan.
Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai Cawangan Khas, Bukit Aman yang cuba
menjalankan tugas mereka telah ditamatkan perkhidmatan mereka.
Badan Kehakiman dipersoalkan oleh rakyat. Yang tinggal
hanyalah Majlis Raja-Raja Melayu kita walaupun kuasa mereka telah makin
terhapus.
Tanpa di sedari oleh ramai rakyat, kita sudah membenarkan
penyerahan hampir semua kuasa mutlak kepada Najib.
Apabila kuasa mutlak diperolehi oleh seseorang
pemerintah, pada hari berkenaan, kita mesti bersedia menjadi "hamba
abdi" dan tidak lagi boleh mengangkat muka atau menyoal apa-apa tindakan
mereka dengan bermakna.
Berapa lama lagi tinggal sebelum kita sampai ke tahap
itu?