Washington
mengharap dan menghargai hubungan jangka panjang antara Malaysia dan
Amerika Syarikat dan kerana itu perlu menyediakan asas yang kukuh untuk menangani
isu-isu membimbangkan.
Enggan diheret dalam perang mulut dengan Ketua Menteri
Melaka, Datuk Seri Idris Haron, kedutaan Amerika menawarkan tindak balas
diplomatik kepada tuduhan bahawa kuasa besar itu mahu 'membunuh' orang
Melayu.
"Kita nak beritahu Amerika, ini Asia Tenggara, ini
Malaysia. Negara kita tanggungjawab kita. Apa kredibiliti Department of Justice
itu?
"Serangan ke atas Iraq, (Amerika) kata apa? Ada
senjata kimia besar-besaran; senjata kimia yang boleh memusnah dan sebagainya.
Sampai mati Saddam Hussein, hari ini satu inci laras senjata kimia pun tak
jumpa di Iraq.
“Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau
nak bunuh pula orang Melayu. Ini tidak lain dan tidak bukan plot politik untuk
menjatuhkan Datuk Seri Najib, sebab dia tahu (Najib) boleh angkat Melayu
dihormati dan disegani satu dunia,” katanya merasmikan mesyuarat Umno bahagian
Ampang baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Idris mempersoalkan kredibiliti Jabatan
Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dengan merujuk pencerobohan Amerika Syarikat
ke atas Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan bahawa presiden Iraq ketika itu,
Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.
Idris mempersoalkan langkah DOJ bulan lalu yang
memfailkan saman sivil bagi merampas aset di negara itu yang disyaki hasil
daripada pengubahan wang haram.
Apakah Washington ‘bodoh dan bahlol’ tidak tahu keadaan
dan kepimpinan Malaysia sehingga Idris perlu memberitahu mereka?
Reaksi kepada kenyataan Idris, seorang jurucakap kedutaan
republik itu di negara ini melalui mesej teks kepada Malaysiakini,
berkata, rakyat Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan kukuh yang
dibina dengan sikap saling mempercayai demi kepentingan ekonomi dan keselamatan
bersama.
"Pelaburan dalam hubungan jangka panjang antara
negara kita menyediakan asas yang lebih kukuh untuk kita juga menangani isu-isu
yang membimbangkan," katanya.
Baca dan teliti dengan bijak kata-kata Duta Amerika
Syarikat itu. Ada makna di sebaliknya.
Bermakna Amerika Syarikat tidak akan melakukan sesuatu
yang 'gila' seperti disebut oleh Idris itu.
Kenyataan Idris sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai
reaksi daripada pemimpin politik di Amerika Syarikat yang memang sedang memerhatikan Malaysia dan kelak akan menyulitkan
Putrajaya dalam hubungannya dengan Washington dalam isu-isu tertentu.
Dan dengan mencabar DOJ sedemikian, Idris akan
menyulitkan usaha memulihkan imej 1MDB yang sedang bergelut dengan berbagai
pihak yang sedang menyiasat syarikat pelaburan strategik milik Kementerian
Kewangan itu.
Hakikatnya, seperti ditegaskan oleh Ahli Parlimen Kuala
Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah, kehancuran Malaysia, jika ia berlaku, bukan
disebabkan kuasa luar.
Sebaiknya, Malaysia akan dimusnahkan oleh mereka yang
diamanahkan rakyat untuk memerintah negara dan para agamawan yang memilih untuk
membisu.
Kerana itu, tuduhan kononnya Amerika Syarikat mahu
“membunuh orang Melayu” selepas menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak hanya sesuai di pentas pertandingan lawak, kata.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri
Idris Haron tiga hari lalu, yang mendakwa saman sivil Jabatan Kehakiman AS
(DOJ) untuk menyita aset berkait 1MDB sebahagian usaha menjatuhkan Najib dan
orang Melayu, seperti apa yang berlaku di Iraq selepas kejatuhan Saddam
Hussein.
Katanya, kenyataan itu “bahan sesuai untuk inspirasi Raja
Lawak Mega”, merujuk rancangan terbitan Astro.
“Perkasa yang merupakan juara Melayu pun tidak teruja
dengan tuduhan tersebut. Pada mulanya ada menteri menuduh ia komplot untuk
jatuhkan Najib, ada juga yang kata hendak porak-porandakan Malaysia.
“Hebat betul panglima setia Najib ini,” kata Raja Bahrin,
yang juga ketua Amanah Terengganu.
Lim Lip Eng...bidas Idris |
Seorang ahli parlimen DAP turut membidas Ketua
Menteri Melaka itu dengan mengatakan jika dakwaan itu benar, maka Putrajaya
perlu bertindak dan bukannya mendiamkan diri.
Lim Lip Eng berkata Idris mesti menarik balik
kenyataannya dan meminta maaf kerana telah memalukan Malaysia di mata dunia.
Beliau juga mempersoalkan menteri kabinet yang hanya
membisu berhubung dakwaan itu.
“Adakah ini bermakna BN dan seluruh kabinet bersetuju
bahawa Amerika sedang merancang untuk menghapuskan orang Melayu menggunakan
Jabatan Keadilan (DOJ)?” katanya.
Selain itu katanya, jika demikian tindakan Amerika
Syarikat, Malaysia sepatutnya menghantar pulang Duta Amerika dan
mengisytiharkan perang terhadap negara tersebut.
Benar apa yang dikatakan oleh Raja Bahrin bahawa
kenyataan Idris itu sesuatu yang kelakar, kalaupun tidak sampai ke kategori
bodoh kerana Perdana Menteri amat rapat dengan Presiden Barack Obama.
Malah Najib akur dengan Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik, walaupun dibantah rakyat.
Kerana itu, tiada
negara luar, apalagi Amerika Syarikat mahu menyerang Malaysia.