Wednesday, August 10, 2016

Kenyataan Idris Haron Hanya Menyulitkan, Bukan Meredakan...


Washington  mengharap dan menghargai hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Amerika Syarikat dan kerana itu perlu menyediakan asas yang kukuh untuk menangani isu-isu membimbangkan.

Enggan diheret dalam perang mulut dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, kedutaan Amerika menawarkan tindak balas diplomatik kepada tuduhan bahawa kuasa besar itu mahu 'membunuh' orang Melayu.

"Kita nak beritahu Amerika, ini Asia Tenggara, ini Malaysia. Negara kita tanggungjawab kita. Apa kredibiliti Department of Justice itu?

"Serangan ke atas Iraq, (Amerika) kata apa? Ada senjata kimia besar-besaran; senjata kimia yang boleh memusnah dan sebagainya. Sampai mati Saddam Hussein, hari ini satu inci laras senjata kimia pun tak jumpa di Iraq.

“Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh pula orang Melayu. Ini tidak lain dan tidak bukan plot politik untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib, sebab dia tahu (Najib) boleh angkat Melayu dihormati dan disegani satu dunia,” katanya merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang baru-baru ini.


Dalam ucapannya, Idris mempersoalkan kredibiliti Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dengan merujuk pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan bahawa presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

Idris mempersoalkan langkah DOJ bulan lalu yang memfailkan saman sivil bagi merampas aset di negara itu yang disyaki hasil daripada pengubahan wang haram.

Apakah Washington ‘bodoh dan bahlol’ tidak tahu keadaan dan kepimpinan Malaysia sehingga Idris perlu memberitahu mereka?

Reaksi kepada kenyataan Idris, seorang jurucakap kedutaan republik itu di negara ini melalui mesej teks kepada Malaysiakini, berkata, rakyat Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan kukuh yang dibina dengan sikap saling mempercayai demi kepentingan ekonomi dan keselamatan bersama.

"Pelaburan dalam hubungan jangka panjang antara negara kita menyediakan asas yang lebih kukuh untuk kita juga menangani isu-isu yang membimbangkan," katanya.

Baca dan teliti dengan bijak kata-kata Duta Amerika Syarikat itu. Ada makna di sebaliknya.

Bermakna Amerika Syarikat tidak akan melakukan sesuatu yang 'gila' seperti disebut oleh Idris itu.

Kenyataan Idris sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik di Amerika Syarikat yang memang sedang memerhatikan Malaysia dan kelak akan menyulitkan Putrajaya dalam hubungannya dengan Washington dalam isu-isu tertentu.

Dan dengan mencabar DOJ sedemikian, Idris akan menyulitkan usaha memulihkan imej 1MDB yang sedang bergelut dengan berbagai pihak yang sedang menyiasat syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan itu.

Hakikatnya, seperti ditegaskan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah, kehancuran Malaysia, jika ia berlaku, bukan disebabkan kuasa luar.

Sebaiknya,   Malaysia akan dimusnahkan oleh mereka yang diamanahkan rakyat untuk memerintah negara dan para agamawan yang memilih untuk membisu.

Kerana itu, tuduhan kononnya Amerika Syarikat mahu “membunuh orang Melayu” selepas menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya sesuai di pentas pertandingan lawak, kata.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron tiga hari lalu, yang mendakwa saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk menyita aset berkait 1MDB sebahagian usaha menjatuhkan Najib dan orang Melayu, seperti apa yang berlaku di Iraq selepas kejatuhan Saddam Hussein.

Katanya, kenyataan itu “bahan sesuai untuk inspirasi Raja Lawak Mega”, merujuk rancangan terbitan Astro.

“Perkasa yang merupakan juara Melayu pun tidak teruja dengan tuduhan tersebut. Pada mulanya ada menteri menuduh ia komplot untuk jatuhkan Najib, ada juga yang kata hendak porak-porandakan Malaysia.

“Hebat betul panglima setia Najib ini,” kata Raja Bahrin, yang juga ketua Amanah Terengganu.

Lim Lip Eng...bidas Idris
Seorang ahli parlimen DAP turut membidas Ketua Menteri Melaka itu dengan mengatakan jika dakwaan itu benar, maka Putrajaya perlu bertindak dan bukannya mendiamkan diri.

Lim Lip Eng berkata Idris mesti menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kerana telah memalukan Malaysia di mata dunia.

Beliau juga mempersoalkan menteri kabinet yang hanya membisu berhubung dakwaan itu.

“Adakah ini bermakna BN dan seluruh kabinet bersetuju bahawa Amerika sedang merancang untuk menghapuskan orang Melayu menggunakan Jabatan Keadilan (DOJ)?” katanya.

Selain itu katanya, jika demikian tindakan Amerika Syarikat, Malaysia sepatutnya menghantar pulang Duta Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap negara tersebut.

Benar apa yang dikatakan oleh Raja Bahrin bahawa kenyataan Idris itu sesuatu yang kelakar, kalaupun tidak sampai ke kategori bodoh kerana Perdana Menteri amat   rapat dengan Presiden Barack Obama.

Malah Najib akur dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, walaupun dibantah rakyat.

Kerana itu,  tiada negara luar, apalagi Amerika Syarikat  mahu menyerang Malaysia.

No comments:

Post a Comment