Friday, August 19, 2016

Azizulhasni Mahu Bersemuka Dengan MB Terengganu


Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio, Azizulhasni Awang menjelaskan beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai susulan isu dibangkitkannya sebelum ini.

Enggan mengulas lanjut perkara itu, atlet berbasikal kebangaan negara tersebut berharap orang ramai lebih memberi fokus kepada kejayaannya, bukan isu tersebut.

"Buat masa sekarang saya tak nak komen lebih pasal MB (menteri besar), saya percaya beliau seorang yang prihatin terhadap rakyatnya, mungkin ada salah faham atau terlepas pandang.

"Bagi masa untuk saya dan beliau bersemuka. Insya-Allah selepas saya jumpa anak dan keluarga dan balik ke Terengganu saya akan bertemu beliau," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang hari ini.

Selepas meraih pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Rabu lalu, Azizulhasni menjadi tumpuan ramai selepas membuat kenyataan terbuka menyindir Ahmad Razif di Facebook.


Dalam kenyataan itu beliau mendakwa Ahmad Razif tidak pernah membantunya termasuk permintaan membeli basikal Roadbike.

Ahmad Razif kemudian berkata beliau tidak tahu menahu sebarang permintaan untuk mendapatkan bantuan kerajaan negeri daripada Azizulhasni.

"Saya ingin menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Azizulhasni, yang sedang tersebar di media sosial, tidak dibawa ke perhatian saya," katanya.

Azizulhasni berkata dia tergamam apabila tiba di KLIA kira-kira jam 3 petang tadi kerana diberi sambutan bermakna, termasuk pancutan air - dari dua jentera bomba - ke atas pesawat udara yang dinaikinya.


Menurut atlet kelahiran Dungun itu, dia juga berharap kisahnya akan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya harap ini akan jadi inspirasi buat rakyat Malaysia, walaupun kita datang dari negara yang kecil, walaupun saiz badan kita kecil, kita bukan saja dapat bersaing tapi setanding, malah lebih bagus daripada mereka (atlet lain).

"Saya harap kisah ini jadi inspirasi kepada rakyat Malaysia tak kira apa jua pekerjaan, kita rakyat malaysia boleh lakukan semua benda," katanya yang disambut kira-kira 100 peminat termasuk ahli keluarga.

Sementara itu, Azizul yang dikenali dengan gelaran 'Rocket Pocket Man' berkata, dengan kejayaannya di Rio de Janeiro mudah-mudahan akan mewujudkan perkembangan bermakna dalam arena sukan khususnya acara berbasikal.

"Menjelang Olimpik 2020, dengan kemenangan ini (diharap) akan ada perkembangan besar dalam arena sukan berbasikal dan sukan (lain) di Malaysia.


"Saya harap valedrom kita akan siap secepat mungkin dan saya harap kita boleh membina valedrom di setiap negeri," ujarnya.

Thursday, August 18, 2016

Khairy Minta Azizulhasni Dapatkan Penjelasan Daripada Pejabat MB


Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, Azizulhasni Awang dinasihat mendapatkan penjelasan daripada pejabat Menteri Besar Terengganu selepas mendakwa permohonan bantuan yang dimintanya tidak dilayan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Azizulhasni tidak harus membiarkan rungutannya ke atas Menteri Besar Ahmad Rafiz Abdul Rahman, merosakkan kegembiraannya selepas meraih gangsa dalam acara keirin semalam.

Mengulas luahan jaguh trek negara dalam laman Facebooknya sejurus mendapat pingat pertama untuk Malaysia dalam acara berbasikal Sukan Olimpik, Khairy percaya ia hanya salah faham dan mudah diselesaikan.

"Azizulhasni tidak harus membenarkan perkara itu membayangi pencapaiannya di Rio," katanya selepas menyaksikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir selepas menang 21-9, 21-15 ke atas Chou Tien Chen dari Taiwan di suku akhir.

Khairy...jangan rosakkan kegembiraan
Dalam laman Facebooknya, Azizulhasni, 28, mendakwa Ahmad Razif tidak memberikan sebarang reaksi kepada permintaan mendapatkan basikal RoadBike untuk dirinya dan Fatehah Mustapa, kedua-duanya pelumba kelahiran Terengganu, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi Azizulhasni mendapat sokongan penuh daripada kementerian saya dan Yayasan Sime Darby...mungkin dia mahu bantuan tambahan dan memohonnya di Terengganu," kata Khairy.

Menteri Besar Terengganu pula semalam menjelaskan, beliau tidak tahu-menahu mengenai sebarang permintaan untuk mendapatkan bantuan kerajaan negeri oleh pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang sebelum ini.

"Saya ingin menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Azizulhasni, yang sedang tersebar di media sosial, tidak dibawa ke perhatian saya," katanya dalam kenyataan.

Azizulhasni yang memenangi pingat gangsa dalam acara berbasikal keirin di Sukan Olimpik Rio 2016 yang sedang berlangsung sebelum ini secara sinis mengucapkan terima kasih kepada MB Terengganu kerana tidak membantunya apabila beliau meminta kerajaan negeri membantunya membeli basikal untuk tujuan latihan.


Katanya, permintaan beliau yang kemudiannya disusuli oleh pasukan pengurusannya juga tidak mendapat sebarang jawapan.

Bagaimanapun, ujar Azizulhasni, pihaknya berharap MB akan melihat perkara ini dalam semangat positif sebagai pembuka mata kepada semua yang terlibat dalam membangunkan sukan negara.

Dalam semangat yang sama, Ahmad Razif berkata, beliau bersedia untuk bertemu Azizulhasni secara peribadi bagi menyampaikan rasa bangga semua rakyat Terengganu atas pencapaian tersebut serta mendengar apa-apa jua perkara yang ingin dibangkitkan.

"Saya bersedia untuk bertemu dengan Azizul dan mendengar apa jua luahan dengan hati yang terbuka," tambah Ahmad Razif.

Beliau menambah perkara ini berlaku mungkin kerana terlepas pandang dan tidak mendapat maklumat lengkap isu berkenaan.

Beliau juga bersedia mendengar sendiri luahan hati Azizul dengan hati yang terbuka.

‘Saya dalam pengetahuan saya (tiada makluman) dan sama ada (mungkin) terlepas pandang wallahualam’.

‘Saya tidak kenal manager Azizul dan saya akan dapat pengesahan dulu ‘.Dan jika ia benar ia berlaku ianya saya amat terkilan’.

Sementara itu, chef-de-mission negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid turut berkongsi pandangan dengan Khairy dan berkata perkara tersebut boleh diselesaikan dengan mudah.

"Atlet itu hanya perlu menulis kepada menteri besar kerana permohonan tersebut mungkin tidak sampai ke pengetahuannya.

"Saya akan bercakap dengan Azizulhasni sebelum beliau berlepas pulang ke tanah air malam ini," katanya.

Wednesday, August 17, 2016

Pingat Gangsa Keirin - Ganjaran RM100,000 Untuk Azizulhasni Daripada YSD


Ketika kerajaan negeri Terengganu masih memikir dan berkira-kira apa akan dianugerahkan kepada Mohd Azizulhasni Awang, Sime Darby Foundation (YSD) memberi ganjaran RM100,000 kepada pelumba basikal trek kebangsaan itu.

Azizulhasni memenangi pingat gangsa pada acara akhir Keirin lelaki di Sukan Olimpik Rio pagi ini.

Pengerusi YSD Tun Musa Hitam mengumumkan pemberian ganjaran tersebut kepada atlet digelar 'The Rocket Pocket Man' itu yang mendapatkan pingat Olimpik pertama bagi Malaysia dalam acara keirin.

"Anda telah berusaha memberi yang terbaik dan kami berbangga dengan pencapaian anda. Walaupun mengalami gangguan pada peringkat akhir, anda tidak patah semangat dan berjuang hingga ke gariasan penamat. Prestasi anda dalam keadaan demikian menjadikan anda lebih berhak untuk mendapat kemenangan.

"Seluruh negara bergembira bersama anda. Tidak lupa juga kepada jurulatih John Beasley dan seluruh pasukan kerana kegigihan anda semua, ia membuahkan hasil dan anda membuat Malaysia berasa bangga," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Azizulhasni menerima ucapan tahniah daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini berkata, kerajaan negeri akan menyediakan insentif khas untuk Azizulhasni atas kejayaan itu.

Ahmad Razif mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni yang melakar sejarah meraih pingat gangsa berbasikal Sukan Olimpik Rio itu amat membanggakan dan sangat bermakna bagi Terengganu kerana anak jati Dungun itu mampu seiring dengan jaguh dunia.

"Terima kasih Azizulhasni yang tidak pernah lelah membawa semangat Malaysia ke persada dunia. Terima kasih juga kepada semua jurulatih dan keluarganya. Rakyat Terengganu bangga dengan 'The Pocket Rocket Man'," katanya.

Sementara itu, pada pusingan akhir yang penuh dramatik, perlumbaan lapan pusingan itu terpaksa dilepaskan semula dua kali kerana pelumba melanggar peraturan teknikal dan pada kali ketiga, Azizulhasni memotong juara dunia, Joachim Eilers dari Jerman untuk menamatkan perlumban di tempat ketiga.

Pelumba berpangkalan di Melbourne itu melintasi garis penamat di belakang juara bertahan Jason Kenny dari Britain dan pelumba Belanda Dutchman Matthijs Buchli.

Azizulhasni, 28, yang diyakini mempunyai prospek untuk memenangi emas, memenangi pingat gangsa Olimpik itu dalam cubaan kali ketiganya setelah gagal melayakkan diri ke pusingan akhir pada Olimpik Beijing 2008 dan menduduki tempat keenam pada Olimpik London 2012.


Ketika berlumba pada pusingan akhir keirin kejohanan Piala Dunia Trek London 2011, Azizulhasni terlibat dengan kemalangan bersama-sama tiga pelumba lain.

Bagaimanapun, dia tidak patah semangat dan meneruskan kembali perlumbaan untuk memenangi tempat ketiga bagi acara itu.

Azizulhasni adalah anggota program YSD Track Cycling Team 'Road to London Olympics 2012' yang dibiayai YSD dengan tajaan berjumlah RM2 juta bagi tempoh 2009 hingga 2012.

YSD menyambung sumbangannya dengan tajaan berjumlah RM2.85 juta untuk Azizulhasni dan Fatehah Mustapa melalui program 'Road to Rio'.

Mengenai perancangannya, Azizulhasni berkata beliau mahu menamatkan tahun akhir kursus pengurusan sukan di sebuah universiti di Melbourne, Australia, tempat beliau berpusat sejak 2007.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Bealsey berkata beliau gembira dengan pencapaian Azizulhasni meskipun pelumba itu berhasrat membawa pulang pingat emas.

Beliau berkata Azizulhasni akan menamatkan pengajian ijazahnya pada Januari dan perkara itu akan menjadi tumpuan beliau sehingga akhir tahun ini.

Katanya pelumba itu juga berhasrat untuk bertanding dan memenangi pingat emas dalam perlumbaan keirin dan pecut individu dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

"Beliau belum pernah menang pingat dalam acara individu Sukan SEA dan amat berharap untuk melakukannya tahun depan," kata Beasley.

Jurulatih Australia itu melatih Azizulhasni dan penunggang basikal trek lain selama hampir sedekad dan telah dimasukkan dalam Program Podium.

Podium adalah program yang diwujudkan khas untuk menyediakan atlet terpilih bagi menyumbang pingat dalam temasya sukan serantau dan antarabangsa.

Monday, August 15, 2016

Ikan Buruk, Busuk Kepala - Kepimpinan Melalui Teladan di Malaysia


(Ahli Parlimen, Kuala Terengganu, Pemimpin AMANAH)
  
Rakyat Malaysia membaca dengan penuh harapan kenyataan ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan amaran "hentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa atau hadapi tindakan SPRM".

Datuk Dzulkifli Ahmad juga menyaran pesalah untuk menyerah diri secara sukarela untuk pertimbangan hukum yang lebih ringan.

Saya rasa hampir semua akan bersetuju saranan tersebut. Sebenarnya semua kes mesti disiasat secara terperinci.

Bagaimanapun saya ingin membuat beberapa cadangan untuk memastikan kejayaan dan untuk membuat cadangan tersebut lebih praktikal.

Dzulkifli....hadapi tindakan SPRM
Sebelum ini pun kita percaya pihak SPRM di bawah bekas ketua pesuruhjaya, Tan Sri Abu Kassim memang cuba menjalankan tugas mereka dengan telus dan bersungguh-sungguh.

Masalahnya kebanyakan siasatan mereka, terutamanya yg melibatkan orang kenamaan, tidak diambil tindakan sewajarnya oleh Pejabat Peguam Negara.

Contoh yang paling terkemuka dan ketara adalah yang melibatkan penukaran mengejut pegawai siasatan kanan SPRM yang menyiasat kes 1MDB.

Malahan lebih mengejut lagi apabila peguam negara baru mengambil alih tugas, beliau telah secepat kilat menutup siasatan kes 1MDB sementara kerajaan Singapura, Switzerland dan Amerika sedang rancak menjalankan siasatan ke atas kes 1MDB.

Tutup kes

SPRM terpaksa tangguh kes, peguam negara tutup kes, Malaysia jadi "meletup" kes!

Dua tahun lalu, saya hadir dalam satu perjumpaan bersama Abu Kassim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dengan ahli ahli parlimen.

Kami telah mencadang kuasa pendakwaan diberikan kepada SPRM. Abu Kassim bersetuju cadangan tersebut malahan itulah harapan SPRM selama ini, katanya.

Sebelum ini SPRM yang bertungkus lumus menyediakan laporan siasatan tetapi dikecewakan dengan tindakan kelihatan secara terpilih oleh peguam negara di mana banyak kes melibatkan VIP tidak dibawa kepada pendakwaan sepatutnya.

Peguam Negara...tutup kes
Dzulkifli Ahmad yang asalnya merupakan pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, sebagai ketua SPRM sekarang sudah tentu tahu masalah yangw ujud selama ini dan boleh membuat perubahan positif yg berkesan.

Kalau tidak petukaran beliau ke SPRM tidak akan membawa apa-apa pembaharuan positif malahan mungkin akan dilihat akan melemahkan lagi SPRM dengan bekas pegawai peguam negara "menyusup" menerajui SPRM dan bukan pegawai dari dalam SPRM sendiri.

Selama ini Jabatan Peguam Negara yang dilihat sebagai penghalang banyak pendakwaan hasil siasatan SPRM. Ini akan menjadi persepsi ramai rakyat Malaysia.

Kepimpinan melalui teladan?

Satu lagi laporan kenyataan oleh Dzukifli menyebut SPRM berhasrat membersihkan kakitangan perkhidmatan kerajaan dari rasuah.

Kami bersetuju dengan saranan tersebut tetapi persoalannya kenapa hanya ditujukan hanya kepada pegawai khidmat kerajaan sahaja dan bukan kepada kerajaan keseluruhannya?

Ahli-ahli politik kerajaan yang meluluskan undang-undang memikul tanggung jawap yang lebih besar.

Tidakkah kerajaan hari ini mengamalkan lagi konsep kepimpinan melalui teladan?

Ahli politik kerajaan di parlimen mengluluskan undang-undang pengubalan wang haram tetapi kerajaan sendiri melalui 1MDB melanggar undang-undang tersebut di Singapura, Switzerkand dan Amerika.

1MDB juga membawa wang rakyat Malaysia ke pusat penggubalan wang haram dan judi Utama dunia di Cayman Island. Adakah orang paling berkuasa 1MDB, iaitu ‘Malaysian Officer 1', pegawai kerajaan atau ahli politik?

Pukat terlalu rapoh

Dalam usaha SPRM dan Jabatan Peguam Negara menangkap mereka yang mengamalkan rasuah mereka hendaklah menggunakan pukat tunda yang kukuh supaya ikan kecil dan besar semuanya ditangkap.

Masalahnya hari ini pukat yang digunakan hari ini terlalu rapoh.

Hanya ikan kecil yang lemah ditangkap sementara yg besar terlalu gagah lalu bolos dan bebas berenang sehingga sampai ke Singapura, Switzerland dan Amerika hingga boleh tinggal di pangsa puri mewah di sana!

Ikan dikatakan mulai buruk dan busuk dari kepalanya, hingga sampai ke ekornya! Buruk kepala buruklah badannya.


Buruk ketua buruklah pengikutnya! 

Itulah kepimpinan melalui teladan yang kita lihat hari ini di Malaysia.