Saturday, September 24, 2016

Gani Patail - PM Boleh Singkir Peguam Negara ‘Sesuka Hatinya’...


Tan Sri Abdul Ghani Patail semalam mengakui pemecatannya sebagai Peguam Negara (AG) mengikut peraturan dan TIDAK SALAH.

Yang penting, walaupun AG dianggap sebagai kakitangan kerajaan dan terikat oleh perintah kerajaan, ia tidak sama seperti hakim atau Ketua Audit Negara.

"Itu adalah kedudukan paling lucu yang anda temui pada AG.

"Terdapat pindaan kepada peruntukan suatu masa dulu dan inilah sebab mereka mahu membawa masuk atau sudah dibawa masuk seorang ahli politik untuk menjadi Peguam Negara.

"Oleh itu, terpulang kepada kuasa PM (Perdana Menteri) untuk menyingkirkan (peguam negara) sesuka hati (beliau) ... Ermm maaf, dan apabila didapatinya perlu," katanya.

Gani yang sebelum ini mengetuai pasukan petugas khas menyiasat 1Mlaysia Development Bank (1MDB) sebelum diketepikan daripada jawatannya 14 bulan lalu.

Dalam komen terbuka pertamanya sejak disingkirkan daripada AG, Gani menjelaskan, tindakan memecatnya dibuat selaras dengan Perintah Am kerajaan.

Gani menyatakannya ketika sesi soal jawab bersama beliau.  Gani dijemput sebagai speaker di sesi wacana “Kebebasan Institusi Dalam Demokrasi” bersempena Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia di Kuala Lumpur semalam..

Beliau menjelaskan pada tempoh awal selepas kemerdekaan, kerajaan mahu melantik ahli politik sebagai Peguam Negara dan Perlembagaan direka untuk membolehkan Perdana Menteri menyingkir mereka.

Dua ahli politik, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf dan Tan Sri Hamzah Abu Samah, menggalas tanggungjawab Peguam Negara.

Sejak Tan Sri Abu Talib Othman, hampir semua penasihat undang-undang kanan merangkap pendakwa raya adalah daripada perkhidmatan undang-undang dan kehakiman.

Gani berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 13 tahun sejak 2003 dan perkhidmatannya ditamatkan secara mendadak pada 27 Julai tahun lalu.

Gani membuat kenyataan selepas seorang anggota kanan Majlis Peguam mencadangkan beliau mengambil tindakan undang-undang atas penyingkirannya.

Peguam Syahredzan Johan bertanya sama ada berlaku pelanggaran perlembagaan apabila seorang pegawai perkhidmatan awam diberhentikan tanpa memberi ruang perbicaraan yang adil.

Bekas presiden Majlis Peguam Khuthubul Zaman Bukhari pula berkata, Gani wajar membawa isu penyingkirannya ke mahkamah bagi memastikan hak beliau terpelihara.

"Kita hidup di negara demokrasi dan badan kehakiman berperanan memastikan situasi itu (tidak berlaku).

"Perlu ada semak dan imbang bagi kakitangan awam yang disingkirkan dan orang yang terlibat perlu membawanya ke mahkamah," katanya.

Gani dalam jawapan bersifat diplomatik  menjelaskan,  kini semua orang sudah melihatnya berlaku dan ia tidak salah.

"Sekarang anda telah melihat ia berlaku. Anda akan berkata macam-macam. Ini adalah isu (yang berlarutan) 50 lebih tahun dan tiada siapa yang membangkitkan apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun kata Gani tiada berlaku pindaan atau perubahan sehingga kini.

Jelas sudah kini bahawa Perdana Menteri melakukan pertukaran AG selaras dengan Perintah Am kerajaan.

Apandi...Peguam Negara sekarang.

Harap jangan ada yang mempersoalkannya.

Apa lagi yang menjawabnya adalah ‘tuan badan’ yang mengakui pemecatannya tidak salah.


Selepas Gani diketepikan kerajaan melantik  Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara. Bekas hakim itu pernah terlibat dengan politik  di Kelantan pada suatu ketika.

Tuesday, September 20, 2016

Jangan Panik, Najib Tidak Mungkin Tukar MB di Empat Negeri....


"Biar Ahmad Razif buktikan kepada PM bahawa UMNO Terengganu di bawah kepimpinannya lebih baik keputusan PRU daripada hasil keputusan Datuk Seri Ahmad Said 17-15 pada PRU 2013."

Blogger Zabidi Saidi (Catatan Zabidi) kelmarin (18 September 2016) meminta semua pihak, khususnya empat Menteri Besar, termasuk Ahmad Razif Abdul Rahman agar jangan panik.

Ini kerana berita yang ditulis oleh  Malaysiakini berdasarkan kolumnis mingguan The Star, Joceline Tan adalah  pandangan peribadi penulis semata-mata.

Ia bukannya berita (hard news) yang dilaporkan oleh The Star. Gambaran yang diberikan oleh Malaysiakini seolah-olah ia adalah berita rasmi daripada  akhbar The Star.

Beliau merujuk kepada tulisan Joceline dalam kolumnya berkata menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14)  akan datang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan membuat 'perubahan' untuk memastikan BN kekal berkuasa.

Kata Zabidi, PRU-14 mungkin dipercepatkan pada bulan Mei 2017, maka tidak mungkin Ahmad Razif digugurkan sebagai Menteri Besar.

Dalam tempoh lapan bulan, apa yang Menteri Besar baharu dapat buat  untuk hadapi PRU akan datang?

Oleh itu biar Ahmad Razif membuktikan kepada Perdana Menteri bahawa UMNO Terengganu di bawah kepimpinannya lebih baik keputusan PRU  daripada hasil keputusan Datuk Seri Ahmad Said 17-15 pada PRU 2013.


Berbeza dengan kedudukan Ahmad Razif, kata Zabidi,  berdasarkan keadaan semasa, kemungkinan tiga Menteri Besar yang sakit, Datuk Seri Ahmad Bashah, Datuk Seri Adnan Yaacob dan Datuk Seri Mohamad Hassan akan digugurkan dalam PRU akan datang.

Adnan sendiri sudah buat keputusan tidak mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang.

Walaupun tidak bertanding dalam PRU akan datang, beliau tetap akan mengetuai jentera PRU Pahang.

Apabila BN membentuk kerajaan semula, barulah beliau akan menyerahkan baton jawatan Menteri Besar kepada orang baru sama ada Datuk Mohd Shakar atau Datuk Shaharudin Moin atau Datuk Sheikh Fauzi.

Oleh itu tidak mungkin jawatan Menteri Besar bertukar sebelum PRU sama   ada di Pahang, Kedah atau Negeri Sembilan.

Joceline yang memetik sumber berkata, perubahan yang akan dilakukan termasuk menukar menteri besar di empat negeri- Pahang, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan.

"Perdana Menteri perlu pemimpin baru untuk menerajui jentera di negeri tersebut," kata sumber itu yang dipetik sebagai berkata.

Spekulasi mengenai perubahan dalam jentera kerajaan Umno telah giat diperkatakan selepas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini berkata mungkin tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pelangai yang telah disandangnya sejak 1986.
  
Adnan membuat kenyataan itu beberapa hari selepas dia mengejutkan Dewan DUN dengan meletakkan 'pen di antara jari di kakinya' bagi menolak khabar angin kononnya beliau tidak sihat.

Di Kedah pula, The Star melaporkan, perancangan Najib untuk menukar menteri besar itu ekoran kesihatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kerap ke hospital.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan, Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamad Hasan turut mempunyai masalah kesihatan ketika beliau dikatakan sakit semasa menghadiri Mesyuarat Agung Umno bahagian Rembau.


Sunday, September 18, 2016

Piala Malaysia - T-Team, Kedah, Selangor, Dan PDRM Ke Separuh Akhir

Pemain Felda United, Muhd Syahid Zaidon (dua, kanan) bersaing dengan pemain T-Team, Makan Konate pada perlawanan Piala Malaysia 2016 di Stadium Tun Abdul Razak malam semalam.
Terengganu FC II atau T-Team antara empat pasukan mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia 2016 selepas mengatasi lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua, malam tadi.

T-Team mencipta sejarah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United dengan agregat 2-1 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, malam semalam.

Pusingan separuh akhir nanti Kedah bakal berdepan PDRM, manakala Selangor bertemu T-Team.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Kelantan terpaksa akur apabila terkandas untuk ke peringkat seterusnya walaupun berjaya mengatasi PDRM 1-0.

PDRM mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2.

Pemain Selangor, Andik Vermansyah (kiri) diasak pemain PKNS FC, Khairu Azrin Khazali pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam.
Sementara itu di Stadium Shah Alam, juara bertahan - Selangor menepati jangkaan untuk ke separuh akhir dengan mengatasi PKNS FC 1-0 dan mara dengan agregat 5-3.

Dalam perlawanan timbal balik di Jengka semalam,   T-Team menang 1-0 selepas diikat 1-1 pada pertemuan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 28 Ogos lalu.

Pemain import kelahiran Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov muncul wira skuad The Titans apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-77 sekali gus memadamkan kelebihan tuan rumah yang turun beraksi dengan  mempunyai bekalan gol di tempat lawan.

Jaringan yang memusnahkan impian Felda United untuk mara lebih jauh dalam saingan merebut piala berprestij berkenaan berpunca daripada sepakan sudut oleh Mohd. Nor Hakim Hasan sebelum Sharofetdinov yang tidak dikawal menanduk bola ke dalam gawang The Fighters.

Pemain Kedah, Smeltz Shane Edward (tengah) meraikan jaringan pertama beliau pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam semalam.
Sementara itu, beraksi di gelangang sendiri, Kedah tampil garang membelasah Negeri Sembilan dengan jaringan 5-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kedah yang turun dengan misi 'mahu menang' ternyata tidak membuang masa dengan melakukan serangan ke gawang pasukan pelawat. 

Penyerang berpengalaman Kedah, Shane Smeltz yang dahagakan gol bertindak cemerlang dengan membuka tirai jaringan. Gol pertama pasukan 'Hijau Kuning' dihasilkan selepas Smeltz mendapat hantaran Rizal Ghazali pada minit ke-23.

Seperti mendapat tonik tambahan daripada gol itu, Kedah terus memberi tekanan terhadap skuad Negeri Sembilan yang lebih bertahan.

Tidak lama kemudian, Kedah memperolehi jaringan kedua juga menerusi Smeltz yang mendapat hantaran Syazwan Zainon. Gol yang dihasilkan pada minit ke-31 itu membuatkan stadium yang dipenuhi lautan hijau kuning semakin gamat.

Berselang lima minit, anak didik Tan Cheng Hoe terus mengukuh kedudukan untuk ke separuh akhir Piala Malaysia dan gol ketiga ini dihasilkan oleh Thiago Augusto.

Babak pertama ditamatkan dengan kedudukan 3-0 untuk memastikan matlamat untuk menang berjaya dicapai.

Jurang tiga gol yang diperolehi itu turut memberi pilihan kepada Cheng Hoe untuk melakukan pertukaran dengan mengeluarhan Smeltz dan memberi peluang kepada pemain muda seperti Farhan Roslan.

Empat minit babak kedua bersambung, kesebelasan utama Kedah terus membuktikan bisanya sebagai finalis Piala Malaysia musim lalu dengan menjaringkan gol keempat.

Gol itu dijaringkan oleh Augusto untuk turut sama merekodkan dua gol seperti Smeltz pada perlawanan berkenaan.Ketika pasukan pelawat seakan tidak mampu mendekatkan jurang jaringan, Liridon Krasnqi pula menjadikan kedudukan 5-0 ketka menyempurnakan sepakan percuma.

Dengan jaringan itu, Kedah yang menjadi pilihan untuk ke separuh akhir berjaya mengesahkan kedudukannya.


Kemenangan itu menyaksikan Kedah mara ke pusingan separuh akhir dengan agregat 5-0 selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 pada suku akhir pertama sebelum ini.