Thursday, October 20, 2016

Polis Tahan Suspek Bunuh Bakal Abang Ipar Di Manir

Noriah Lah, 34...balu mangsa.
Suspek utama berusia 29 tahun dalam kes bunuh bakal abang ipar yang diburu sejak empat hari lalu berjaya ditahan polis  kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Suspek kes bunuh  di pekarangan tempat letak kereta, Kompleks Seri Iman, di Kuala Terengganu Ahad lalu itu ditahan ketika berjalan di Jalan Jeram, Kampung Petai Bubus, Manir, di sini , tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata suspek yang ketika itu dilihat dalam keadaan keletihan dan kelaparan, hanya mampu menyerah diri semasa ditahan.

Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa, Mohd Shukri Husin, 34, yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan maut dipercayai ditikam sebanyak enam kali oleh suspek menggunakan pisau di dada dan di leher.

Insiden tersebut dikatakan bermula apabila mangsa hadir ke pejabat di situ bersama keluarganya bagi menyemak status perkahwinan suspek yang bakal berkahwin dengan adik mangsa.
  
Wan Abdul Aziz menunjukkan pisau yang dirampas, dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit. - Foto Sinar Harian
Setelah tembelang suspek yang sudah berkahwin diketahui, dipercayai berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan tersebut.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya, semalam Wan Abdul Aziz berkata hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dan dia akan dibawa untuk mendapat perintah tahanan reman di mahkamah untuk siasatan selanjutnya.

Selain kereta jenis Honda Ferio yang disorokkan di kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, Manir, polis turut merampas pisau yang digunakan suspek dalam kejadian terbabit.

Pisau tersebut diserahkan ke Balai Polis Kuala Terengganu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai rakan suspek pada Selasa lalu, kira-kira jam 1.40 petang iaitu selepas dua hari kejadian terbabit.

“Lelaki yang tinggal di Kampung Dusun Tembakau, Manir, di Kuala Terengganu, memberitahu yang suspek telah berjumpa dengannya pada jam 12.30 tengah hari (hari kejadian) dan memberitahu dia telah tikam orang sebelum meminta lelaki itu simpan pisau tersebut,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, lelaki berkenaan memberitahu yang dia cuma mengetahui suspek membunuh menggunakan senjata itu selepas terbaca dalam akhbar mengenai kejadian pembunuhan tersebut.

“Sejurus mengetahui kejadian sebenar, lelaki itu merasa takut, lalu mengambil keputusan untuk datang ke balai dan serahkan pisau sepanjang 35 sentimeter yang disimpan kepada pihak polis.

Sementara itu, balu mangsa yang maut ditikam berharap suspek akan mendapat balasan setimpal atas perbuatan kejamnya.

Noriah Lah, 34, yang sarat mengandung anak sulung dan dijangka bersalin bulan depan, berkata kematian suaminya Mohd Shukri Husin, 34, yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan begitu dirasai.

Namun beliau perlu menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Lega dengan penangkapan suspek utama kes itu semalam, Noriah berkata, sejak insiden Ahad lepas, beliau tidak lena tidur kerana bimbangkan suspek yang masih belum ditangkap.

"Alhamdulillah, kak (Noriah) rasa lega (dengan penangkapan suspek), harap dia (suspek) dapat balasan yang setimpal untuk arwah ni. Cuma kena kuatkan semangat, kita yang hidup kena teruskan hidup," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Kok Keli.


Sinar Harian & Bernama

Monday, October 17, 2016

Tak Sangka Bakal Suami Sanggup Tikam Abang - Adik Mangsa


Polis Terengganu meminta orang ramai agar tidak melindungi suspek yang sedang diburu berhubung kes pembunuhan seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) di Kuala Terengganu pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap individu yang berbuat demikian.

Beliau berkata polis sedang memburu suspek berusia 29 tahun itu, yang berasal dari Manir, kerana dipercayai menikam Mohd Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali sehingga maut.

Kejadian bermula apabila mangsa dari Kelantan datang bersama keluarganya ke pejabat Maidam bagi menyemak status suspek yang mendakwa dia masih bujang untuk berkahwin dengan adik mangsa.

Apabila tembelang sebenar suspek diketahui, berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan mangsa.


Wan Abd Aziz berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi yang sering dikunjungi mangsa termasuk di rumah anggota keluarganya.

Beliau berkata Ops Tutup turut dilancarkan bagi mengesan suspek dan seorang lagi rakannya.


Adik mangsa, Azlina Husin, 27 berkata dia tidak sangka bakalnya yang selama ini berperwatakan lembut sanggup bertindak agresif dan menikam abangnya.

Beliau bersama enam anggota keluarganya termasuk abangnya bertolak dari Kelantan kira-kira pukul 10 pagi Sabtu dan tiba di Pejabat Maidam pada pukul 10.30 pagi semalam  bagi mengesahkan status bakal suaminya itu.

Azlina berkata, beliau terkejut apabila diberitahu pihak Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu bahawa suspek yang berumur 29 tahun itu pernah berkahwin, sedangkan dia sebelum ini mempertahankan bahawa dia masih bujang.

"Selepas dimaklumkan dia telah berkahwin, saya terus berkata cukup setakat ini sahaja, kerana saya telah berjanji dengan keluarga saya untuk tidak bersamanya jika dia suami orang.

Dia dengan tenang menerimanya (keputusan).

"Sejurus itu abang saya mengajak dia pergi minum. Namun tiba-tiba kami terkejut, bila diberitahu abang saya telah ditikam," katanya kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Azlina berkata, dia mula mengenali lelaki tersebut enam tahun lalu menerusi telefon, namun hubungan mereka terputus seketika ekoran kekangan kerja dan kembali berhubung rapat dua tahun lepas.

Beliau berkata, hasrat untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki berkenaan dibuat tahun ini selepas beberapa kali lelaki itu menangguh perkara tersebut apabila diajak berkahwin sejak tahun lepas.

"Abang saya sebelum ini ada memaklumkan bahawa bakal suami itu telah berkahwin, namun saya enggan mempercayainya lantas saya membuat keputusan untuk menyemak statusnya," katanya.

Anak keenam daripada sembilan adik beradik ini berkata bakal suaminya itu adalah seorang yang berperwatakan lembut dan sentiasa prihatin, namun tidak menyangka dia bersikap seperti itu.

"Saya harap dia ditangkap segera sebab jika dia boleh lakukan perkara itu pada abang saya, mungkin juga dia boleh lakukan benda yang sama pada saya dan ahli keluarga saya yang lain.

"Sebelum ini abang saya selalu menasihatinya dan meminta saya agar membuat keputusan yang tepat. Abang juga seorang yang sangat bertanggungjawab. Saya sangat terkilan disebabkan saya, abang saya yang menjadi mangsa," katanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa ditikam sebanyak enam kali dengan pisau.

Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang rakannya dengan kereta.

Suspek dipercayai telah bersedia dengan pisau yang dibalut dengan kertas surat khabar dan disimpan di dalam poketnya.